YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Sunday 21 December 2014

Perbezaan Pendapat Dari Sudut Negatif Boleh Gugat Keharmonian Kaum:- Sultan Perak



Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa perbezaan pendapat yang dilihat dari sudut negatif mampu menggugat hubungan harmoni sesama manusia.
Titah baginda lagi, atas faktor yang sama ianya juga boleh memberi kesan kepada keseimbangan dalam hubungan antara kaum dan agama.
“Kelainan pandangan dan pendapat membenarkan berlangsungnya percambahan pemikiran.
“Ia akan berkembang sehingga membolehkan tercetusnya idea yang bernas serta penemuan baharu untuk manfaat manusia sejagat.
“Justeru, kelainan tersebut hendaklah diuruskan secara positif, konstruktif dan disediakan platform konsultasi serta forum perundingan untuk menerokai titik pertemuan, selain menghormati sempadan perbezaan,” titah baginda ketika menyempurnakan Istiadat Kon­vokesyen Ke-7 Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) membabitkan 235 graduan dalam pelbagai bidang di sini hari ini.
Turut hadir mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Baginda bertitah, ia adalah sesuatu yang malang kepada tamadun sesuatu bangsa dan manusia sejagat jika kelainan dan perbezaan dilihat daripada lensa negatif yang sarat dengan buruk sangka.
Titah baginda lagi, sikap negatif sedemikian hanya merosakkan hubungan harmoni sesama manusia dan semestinya akan menjejaskan paksi keseimbangan dalam hubungan antara kaum dan agama.

No comments:

Post a Comment