YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 24 December 2014

Cabaran KUISAS Lahirkan Graduan Berminda Terbuka

Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) mempunyai cabaran yang lebih besar untuk melahirkan graduan yang memiliki minda terbuka kepada realiti dunia yang dihuni pelbagai umat manusia.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, KUISAS juga perlu melahirkan graduan yang bersedia menerima kepelbagaian perbezaan, memilik kemahiran dan berjaya melakukan penyatuan dalam kepelbagaian.
Titah baginda, hakikat kepelbagaian agama, kaum, budaya dan bahasa di negara ini perlu difahami kerana hakikat itu adalah juga realiti yang telah dicipta oleh Allah.
"Kesediaan saudara saudari menerima hakikat kepelbagaian ini akan menentukan dan mempengaruhi penerimaan warga dunia terhadap saudara saudari.
"Jika saudara saudari memilih berfikiran tertutup, saudara saudari dengan sendirinya telah menutup pintu dan jendela dan telah menghalang minda saudara saudari daripada dapat mengembara melihat realiti dunia yang lebih luas," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen KUISAS ke - 7 di Kuala Kangsar pada Khamis yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Rektor KUISAS, Prof Tan Sri Dr Nordin Kardi.
Sultan Nazrin bertitah, Allah telah mengurniakan umat manusia akal untuk berfikir dan manusia yang bijaksana akan mentafsir kepelbagaian ciptaan itu sebagai aset berharga.
Titah baginda, perbezaan pandangan dan pendapat mampu melahirkan idea yang bernas serta penemuan baharu untuk manfaat manusia
Baginda bertitah, amatlah malang kepada tamadun sesuatu bangsa dan peradaban manusia sejagat jika kelainan serta perbezaan dilihat dari lensa negatif yang sarat dengan buruk sangka.
Titah baginda lagi, kelainan pendapat dan pandangan hendaklah diuruskan secara positif, disediakan platform konsultasi untuk menerokai titik pertemuan di samping menghormati sempadan perbezaan.
"Islam mengharuskan dan membolehkan berlakunya kelainan pendapat dan pandangan hingga terbentuknya empat mazhab utama," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, perdebatan secara konstruktif, amalan konsultasi dan perundingan berlaku pada era Rasulullah diteruskan oleh para sahabat dan dilanjutkan oleh ulama tersohor.
Pada majlis itu Sultan Nazrin berkenan menyampaikan anugerah kepada seramai 233 graduan.
Pada konvokesyen itu, graduan Diploma Syariah Islamiyyah, Fakulti Pengajian Islam, Nur Hidayah Yusoff diumumkan sebagai penerima Anugerah Diraja.
Graduan Diploma Kaunseling Islami, Rodhiyah Shahimi menerima Anugerah Menteri Besar Perak manakala graduan Diploma Pengajian Islam, Nurul Husna Junus menerima Anugerah Rektor KUISAS.


No comments:

Post a Comment