YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Tuesday 31 March 2015

MB Saran ADUN Pembangkang Lawat Kawasan Orang Asli


Wakil rakyat pembangkang disaran mengadakan lawatan ke kawasan-kawasan Orang Asli di negeri ini bagi membolehkan mereka mendapat gambaran sebenar berhubung peranan kerajaan dalam membangunkan kehidupan golongan berkenaan.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, mereka jangan hanya berada di kawasan Orang Asli pada waktu-waktu tertentu sahaja dan membangkitkan isu seolah-olah wakil rakyat kerajaan langsung tidak membantu membangunkan kehidupan golongan terbabit.
"Saya menasihatkan pihak pembangkang melawat kawasan Orang Asli dan jangan hanya pada waktu tertentu sahaja, sebab kita wakil-wakil rakyat sentiasa berada di dalamnya.
"Semalam, antara isu yang dibangkitkan seolah-olah mengambarkan wakil daripada kerajaan tidak langsung berada untuk memberi bantuan, saya sendiri berada di sana dan di kawasan-kawasan yang terlibat.
"Sebab itu ADUN Temengor agak sensitif sikit sebab saya tahu bagaimana susahnya beliau bersama-sama dengan masyarakat orang asli di sana," katanya semasa menjawab soalan tambahan Wong May Ing (DAP-Pantai Remis) pada sidang Dewan Negeri di Ipoh pada Jumaat.
Menurut Dr Zambry, pendekatan yang diambil JAKOA, termasuk dari segi pendekatan bagaimana membantu kawasan Orang Asli juga melibatkan penebangan di kalangan mereka bagi meneruskan kehidupan.
Lantaran itu, katanya, JAKOA termasuk juga Jabatan Hutan umpamanya, bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli membantu mereka memaklumkan kepada mereka ada kawasan-kawsan tertentu yang tidak boleh diboleh tebang.
Selain itu, menurut beliau, JAKOA bersama Jabatan Hutan dan Kerajaan Negeri telah menjalankan pendekatan-pendekatan untuk mewujudkan kawasan penanaman-penanaman bagi kawasan orang asli.

Monday 30 March 2015

GST : Perak Seragamkan Kupon Parkir PBT


Kerajaan negeri Perak akan merujuk kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas kupon parkir di negeri itu diseragamkan.
Ini kerana terdapat sesetengah PBT yang telah mengenakan cukai berkenaan kepada pengguna.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, keseragaman itu akan diumumkan oleh kerajaan negeri selepas mesyuarat Exco diadakan dalam masa terdekat.
"Kita akan fikir kalau perkara itu dikenakan GST, maka cukai itu kena dibayar tetapi sama ada rakyat akan bayar atau ianya diserap oleh kerajaan negeri.
"Saya telah meminta kepada pihak Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melihat perkara ini untuk dibawa ke mesyuarat Exco dan apa pun, satu pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat," katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Jumaat.
Sementara itu, beliau juga memberitahu, pihaknya telah mengarahkan Pejabat Daerah dan PBT untuk menyenaraikan item yang dikenakan dan dikecualikan GST.
Menurutnya, daripada hasil senarai itu, berkemungkinan perkara-perkara yang berkepentingan rakyat di bawah GST akan diserap oleh kerajaan negeri.
"Dari senarai itu, kita akan lihat bagaimana perkara-perkara yang ada kepentingan rakyat, dapat diserap oleh kerajaan negeri," ujarnya.

Sunday 29 March 2015

MBN Perak Bantah Kebiadapan Pembangkang


Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menyerahkan memorandum kepada Yang Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri S.K Devamany membantah kebiadapan wakil rakyat pembangkang berpakaian hitam ketika Istiadat Pembukaan Sidang DUN pada Selasa.
Presidennya, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, MBN Perak kesal dengan sikap wakil pembangkang yang tidak menghormati Sultan Perak dan menarik Sultan Perak kekancah politik.
Katanya, tindakan berpakaian serba hitam dan sesetengah daripada mereka tidak memakai songkok menunjukkan sikap biadap dan wajar diambil tindakan.
"Apatah lagi ini adalah kali pertama Sultan merasmikan sidan DUN sebagai Sultan dan pemerintah Neeri Perak sejak baginda dimasyhurkan.
"Keengganan pakatan pembangkang mengenakan pakaian yang sesuai merupakan suatu penentangan terbuka terhadap Sultan Perak, sekaligus mencemarkan imej rakyat Perak," katanya pada sidang media selepas menyerahkan memorandum pada Rabu.
Justeru itu, beliau berkata, pihak Speaker dan kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas terhada semua yang terlibat supaya perkara yang memalukan tersebut tidak berulang.
"Kami juga ingin menyatakan sokongan serta ketaatan ke bawah Sultan Perak dan menentang segala bentuk perbuatan yang mencemar kedaulatan institusi Raja-raja Melayu," ujarnya.
Seramai 30 pemimpin dan ahli MBN telah hadir di pejabat Speaker untuk menyerahkan memorandum tersebut.

Saturday 28 March 2015

Majoriti Kaum Cina, India Turut Terguris Tindakan Pembangkang


Majoriti masyarakat Cina dan India di negeri Perak turut terguris dengan tindakan biadap pembangkang yang berpakaian hitam ketika perasmian Sidang DUN oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa.
Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon (BN - Chenderiang) ketika mencelah perbahasan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN - Slim), beliau berkatan majoriti masyarakat Cina di negeri ini sayang kepada Sultan Nazrin.
Oleh itu, kata beliau, perbuatan yang dilakukan oleh pembangkang semalam juga telah melukakan mereka.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC Perak, M. Veeran yang ditemui diluar Sidang DUN juga yakin majoriti masyarakat India di negeri ini tidak bersetuju dengan tindakan pembangkang itu.
"Saya percaya, majoriti kaum India di negeri ini juga sayangkan Tuanku dan turut terkesan dengan tindakan biadap pembangkang," katanya.
Sehubungan itu, Veeran berharap rakyat dapat menilai tindakan wakil rakyat pembangkang itu dan menghukum mereka apabila sampai masanya.
"Sebagai wakil rakyat, mereka sepatutnya menunjukkan contoh yang baik, saya yakin rakyat juga tidak setuju dengan tindakan mereka semalam," ujarnya.

Friday 27 March 2015

Dr Zambry Dedah Sultan Perak Memang Murka



Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendedahkan bahawa Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memang murka dengan tindakan wakil rakyat pembangkang mengenakan pakaian hitam semasa perasmian Sidang DUN pada Selasa.
Sehubungan itu, Dr Zambry mengherdik wakil rakyat pembangkang yang masih mempersoalkan kesahihan kemurkaan tuanku dan mendakwa kononnya beliau dan Speaker DUN yang membuat interpritasi sendiri.
"Saya terkejut dengan soalan mereka bertanya apakah tuanku benar-benar murka ataupun tidak, saya nak jawablah, tuanku murka lah, senang saya cerita. Sebab kalau tidak, dalam soalan Dewan tadi kata, tuanku tidak murka langsung," katanya pada sidang media pada Rabu.
Sebelum ini, dalam usaha mempertahankan tindakan mereka berpakaian hitam pada hari pertama Sultan Nazrin merasmikan Sidang DUN sebagai Sultan Perak, wakil-wakil rakyat pembangkang mendakwa bahawa baginda sebenarnya tidak murka.
Sebaliknya mereka menuduh pihak Menteri Besar, Speaker DUN dan wakil rakyat kerajaan menggunakan nama tuanku untuk menutup isu-isu lain.
Dr Zambry berkata, beliau sendiri bersama dengan Sultan Perak semalam dan selepas perasmian tuanku sepatutnya berangkat ke bilik diraja untuk santapan ringkas, kemudiannya turun mencemar duli untuk bergambar bersama dengan wakil-wakil rakyat, seterusnya menerima mengadap dan bersalam setiap wakil rakyat seperti tradisinya.
"Tapi apabila keadaan sebegitu semalam, habis saja titah ucapan, terus tuanku memaklumkan kepada saya, tuanku perlu berangkat pulang.
"Takkan yang itupun kita tidak faham dan ada di antara mereka yang berkata, tuanku tidak murka, takkanlah kita tidak faham apabila tuanku bertindak begitu," ujarnya.
Menteri Besar mengulangi rasa kecewanya dengan tindakan wakil rakyat pembangkang pada hari bersejarah yang akan menjadi lipatan sejarah, termasuk sejarah hitam yang dilakukan pembangkang.
Sambil menyifatkan tindakan pembangkang itu sebagai biadap dan tidak menghormati institusi raja, beliau menempelak mereka kerana masih cuba menegakkan benang basah.
"Saya ingin bertanya, jika mereka benar-benar ikhlas, kenapa dibuat semalam, bukan hari ini. Mereka ada empat hari lain tetapi kenapa pada hari pertama.
"Kalau membantah mengenai GST, kenapa tidak dilakukan hari ini kerana GST dilaksanakan hari in," ujarnya.


Thursday 26 March 2015

Nizar Ditegur Pertahan Tindakan Pembangkang


Nizar Ditegur Pertahan Tindakan Pembangkang
Wakil Barisan Nasional (BN) Pengkalan Baru, Datuk Abdul Manaf Hashim menegur Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin (PAS - Changkat Jering) yang masih mempertahankan tindakan pembangkang yang berpakaian serba hitam semasa menghadiri Istiadaan Pembukaan DUN atas alasan solidariti.
Menurut beliau, apa juga alasan yang diberikan berhubung isu itu, ia tidak dapat diterima sama sekali dan tetap dianggap sebagai tindakan biadap.
Katanya, tindakan 26 anggota pembangkang yang diketuai Nizar hadir pada istiadat pembukaan Dewan Negeri Perak pagi semalam tidak mengikut protokol.
"Kita ada protokol, bila ada istiadat pakai sut kena pakai songkok tetapi ada ADUN pembangkang yang tidak memakai songkok, tidak ikut protocol, bermakna apa alasan yang diberikan tidak betul," katanya.
Beliau membuat teguran itu semasa mencelah sesi perbahasan Nizar yang membahas titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada sidang DUN di Ipoh pada Rabu.
Nizar semasa membahas titah ucapan Sultan mempertahankan tindakan anggota adun pembangkang memakai pakaian serba hitam kerana memprotes Ketua Umum Parti Keadila Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipenjarakan 5 tahun, kononnya secara tidak adil.
Tindakan itu juga diambil kerana pemenjaraan dan hukuman denda terhadap 13 ahli parti yang membantah pengulingan kerajaan Pakatan Rakyat yang dipilih rakyat secara tidak demokratik.
Penahanan ADUN Teja, Chang Lih Kang dan ADUN Simpang Pulai, Tan Kar Hing dan lain-lain pemimpin Pakatan Rakyat serta bantahan terhadap cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Wednesday 25 March 2015

Perhimpunan Bantah Tindakan Biadap Wakil Pembangkang


Satu perhimpunan aman telah diadakan di pintu masuk Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi membantah tindakan wakil pembangkang yang mengenakan pakaian serba hitam ketika Istiadat Pembukaan sidang DUN pada Selasa.
Pengerusi Kelab Bekas ADUN Barisan Nasional (BN), Datuk Nadzri Ismail berkata, himpunan aman itu diadakan sebagai membantah tindakan wakil pembangkang yang dikatakan menghina institusi Kesultanan Perak.
"Perkara yang dilakukan oleh pihak pebangkang adalah biadap. Mereka sepatutnya memakai pakaian rasmi sebagai tanda hormat kepada Sultan.
"Ia telah mencemar sejarah negeri ini kerana Sultan Perak memakai pakaian rasminya buat pertama kali tetapi pembangkang memakai pakaian hitam yang melambangkan berkabung dan sedih," katanya pada sidang media ketika perhimpunan itu berlangsung.
Menurut Nadzri, perhimpunan itu juga diadakan sebagai tanda menjunjung kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berkenan berangkat merasmikan pembukaan sidang.
Perhimpunan yang berlangsung selama tiga jam itu disertai oleh hampir 300 peserta daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara NGO yang mengambil bahagian ialah PERKASA Perak, Pertubuhan Ayahanda Penasihat Insan Malaysia (PAPIM) dan Pemuda UMNO Perak.
Pada Selasa, ketika Istiadat Pembukaan sidang DUN Perak kesemua 26 wakil pembangkang tidak memakai pakaian istiadat sebaliknya memakai sut atau baju melayu serba hitam.
Istiadat itu telah melakar sejarah dengan keberangkatan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak baharu merasmikan istiadat itu.

Tuesday 24 March 2015

Hari Pertama Sidang DUN Kecoh




Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini kecoh apabila berlaku pertikaman lidah antara wakil rakyat kerajaan dan pembangkang pada sesi perbahasan yang hampir mencetuskan pergaduhan.
Ia bermula apabila Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) mempersoalkan tindakan pihak kerajaan mengkritik tindakan pembangkang berpakaian hitam ketika istiadat pembukaan sidang DUN Perak semalam.
Persoalan itu dilemparkan ketika mencelah sewaktu Datuk Khusairi Talib (BN-Slim) membahaskan usul menjunjung kasih terhadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Khusairi dalam ucapannya menyatakan tindakan wakil rakyat pembangkang berpakaian hitam ketika istiadat perasmian adalah perbuatan kurang ajar kerana jelas dalam surat jemputan meminta ahli dewan memakai pakaian rasmi nombor satu.
Tambahan pula, kata beliau, ia adalah acara rasmi pertama di DUN Perak selepas Sultan Nazrin dimasyhurkan sebagai Sultan Perak.
Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN - Rungkup) kemudiannya bangun dan mempersoalkan mengapa wakil rakyat pembangkang tidak berpakaian hitam hari ini.
Selepas itu berlaku cabar mencabar antara kedua-dua mereka yang turut disertai oleh wakil rakyat kedua-dua belah pihak.
Kedua-dua mereka kemudiannya keluar Dewan tetapi tiada apa-apa yang tidak diingini berlaku selepas itu.

Sunday 22 March 2015

GST... Peniaga Diberi Masa 14 Hari Tukar Tanda Harga


Semua peniaga di negara ini diberi tempoh selama 14 hari untuk menukar tanda harga mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDNKK Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, peniaga perlu memastikan tanda harga baharu yang dipamerkan pada produk adalah termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Harga yang mereka tetapkan dan tunjukkan itu perlu memasukkan cukai GST, mereka tidak boleh asingkan cukai itu pada tanda harga," katanya.
Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantaun bersama 30 anggota KPNKK dan Kastam di Ipoh Parade pada Rabu.
Menurut beliau, pihaknya serta Kastam DiRaja Malaysia kini sedang giat menjalankan pemantauan di seluruh negara bagi memastikan pelaksanaan GST dapat dijalankan dengan berkesan.
Katanya, jika terdapat sebarang aktiviti pencatutan dan tidak mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan berkenaan GST, peniaga boleh didakwa di mahkamah.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai untuk membuat aduan secara terus kepada bilik gerakan KPDNKK yang telah dibuka seluruh negara jika mengesan berlakunya perkara tersebut.
"Kita beroperasi selama 24 jam dan sekiranya ada aduan kita akan siasat, kalau ada pencatutan atau mengambil untung berlebihan kita akan dakwa mereka di mahkamah," ujarnya.
Iskandar juga memberitahu, seramai 190 pegawai KPDNKK akan digerakkan seluruh Perak bagi melakukan pemantauan.

Saturday 21 March 2015

Sekolah Bantu Semai Semangat Patriotik


Pihak sekolah, terutama sekolah bukan aliran kebangsaan mempunyai tanggungjawab besar dan bersama-sama untuk menyemaikan semangat patriotik dan pengetahuan ketatanegaraan kepada setiap pelajar.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tidak ada makna jika sekolah hanya berjaya melahirkan ramai pelajar yang mencapai keputusan akademik cemerlang tetapi tidak memiliki pengetahuan asas kenegaraan dan tidak boleh menguasai bahasa kebangsaan.
Titah baginda, negara memerlukan platfom yang sama yang dapat menyatukan padukan warga dalam kehidupan yang harmoni dan bersatu-padu.
"Dasar terbuka kerajaan Persekutuan terhadap aliran bahasa penghantar di sekolah tidak bermakna kerajaan boleh terlepas pandang kepada aspek memastikan setiap warga Malaysia dididik daripada alam sekolah untuk berupaya menguasai bahasa kebangsaan negara," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Perak ke-13 pada Selasa.
Titah baginda, keupayaan berkomunikasi amat penting untuk menjalin perpaduan dan warga sewajibnya berupaya berkomunikasi antara satu sama lain untuk meningkatkan perhubungan.
"Apalah ertinya menjadi warga kepada sebuah negara jika seseorang itu langsung tidak memahami, jauh sekali daripada boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan negaranya," titah baginda.

Friday 20 March 2015

Perak Rancang Bina Loji Rawatan Air Baharu


Kerajaan negeri sedang dalam perancangan untuk membina sebuah loji rawatan air baharu yang dapat menampung sebanyak 40 juta liter air di kawasan Sungai Raub, Perak.
PengerusiJawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, perancangan tersebut adalah hasil kerjasama bersama pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad yang kini telah memasuki fasa perbincangan lanjut.
Menurut beliau, dengan adanya loji rawatan tersebut, maka ia dapat membekalkan air buat penduduk sekitar kawasan Gunung Semanggol dan sekitarnya.
"Loji tersebut bakal menggunakan air daripada empangan Bukit Merah yang akan dipantau dan ditambahbaik oleh Lembaga Air Perak kelak," katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Sham Mat Sahat( Alor Pongsu-BN) dalam sidang Dewan Undangan Negeri pada Rabu.
Zainol berkata, loji rawatan air yang menampung kapasiti sebanyak 20 juta liter yang tersedia di Gunung Semanggol kini merupakan sebahagian daripada perancangan yang mempunyai dua fasa yang berbeza.
Jelasnya, keseluruhan projek yang akan menyediakan loji air berkapasiti 34 juta liter tersebut akan siap sepenuhnya kelak dan akan membekalkan air secara konsisten sehingga tahun 2020.
"Pihak LAP sentiasa menyediakan pelan kontigensi dengan mengambil kira keperluan dan permintaan masyarakat, perubahan cuaca mutakhir dan sebarang penambahbaikan infrastruktur untuk penggunaan air yang berkualiti kepada masyarakat setempat," ujarnya.

Thursday 19 March 2015

Sultan Nazrin Mahu Urusan Kutipan Hasil Diutamakan


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mahu kerajaan negeri memberi keutamaan kepada urusan kutipan hasil yang lebih efisien.
Titah baginda, langkah penguatkuasaan wajib ditegaskan dan mekanisme lebih berkesan perlu diperkenalkan demi memastikan tunggakan kutipan cukai diminimumkan.
"Prestasi kutipan hasil yang baik membolehkan kerajaan Beta pada tahun ini menyuntikkan RM342.71 juta untuk tujuan pembangunan," titah baginda pada Istiadat Pembukaan Rasmi Penggal Ketiga Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Baginda bertitah, kutipan hasil negeri meningkat kepada RM927.83 juta, mencatatkan lebihan bajet RM7.73 juta.
"Kutipan pelbagai hasil tanah merupakan sumber pendapatan terbesar, memberikan sumbangan hampir 60 peratus kepada kutipan hasil negeri keseluruhannya," titah baginda.
Baginda turut menyentuh pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijangka memberi kesan sementara kepada pengguna.
Namun titah baginda, Bank Negara berkeyakinan pengguna- pengguna akan meningkat susulan peningkatan pendapatan boleh guna kerana pengguna akan mendapat manfaat daripada pelarasan menurun harga bahan api yang dijangka berupaya meningkat RM7.5 bilion pendapatan boleh guna.
Sultan Nazrin juga mahu kerajaan dan rakyat berupaya melakukan analisis tepat serta mengatur strategi secara arif menghadapi senario semasa negara dan dunia.
"Dalam setiap senario yang menghamparkan cabaran, sebenarnya turut terselit pelbagai peluang dan ketika menghadapi ujian berat, keupayaan mengenalpasti peluang baru serta kebijaksanaan menerokai pemikiran baru adalah kunci yang akan menentukan kejayaan," titah baginda.

Wednesday 18 March 2015

Pemuda UMNO Cadang Anugerah Nizar, Ngeh Ditarik Balik




Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak mencadangkan supaya anugerah yang membawa gelaran Dato' Seri dan Dato' kepada Ir Mohd Nizar Jamaluddin dan Ngeh Koo Ham ditarik balik.
Ketuanya, Hairul Anwar Mohd Noor berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan menghantar memorandum kepada pihak istana secepat mungkin, ekoran tindakan wakil rakyat pembangkang semalam yang mereka sifatkan sebagai biadap dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Melayu.
Menurut beliau, selain cadangan itu, memorandum yang bakal dihantar juga akan menyatakan Pemuda UMNO menjunjung kasih terhadap Sultan dan bersedia mempertahankan institusi itu sehingga ke titisan darah terakhir.
Beliau berkata, Pemuda UMNO juga mahu kerajaan negeri Perak mengambil tindakan tegas dan tidak berkompromi terhadap ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang kerana sikap kurang ajar dan tidak bertamaddun yang ditunjukkan oleh mereka ketika Sultan Perak merasmikan sidang DUN pada Selasa.
"Sikap yang ditunjukkan oleh ADUN-ADUN pembangkang Perak menunjukkan mereka tiada rasa hormat serta tidak memberi pengiktirafan terhadap institusi Raja-Raja Melayu seperti yang dinyatakan di bawah Perlembagaan negara," katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.
Sebelum itu, beliau bersama-sama beberapa pemimpin pertubuhan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Speaker DUN yang diterima oleh Timbalan Speaker, Datuk Nasarudin Hashim.
Hairul berkata, memorandum itu antara lain meminta Speaker DUN Perak mengambil tindakan terhadap kesemua ADUN yang terlibat, termasuk mengusulkan supaya mereka dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Perak.
Menurutnya, telah menjadi amalan, setiap kali menghadiri aturcara yang melibatkan keberangkatan Sultan, terdapat kod etika pakaian yang wajib dipatuhi.
"Kami difahamkan, kad jemputan untuk perasmian Dewan Negeri jelas menerangkan kod etika pakaian iaitu Pakaian Nombor Satu (Hari Kalong).
'Bermakna, semua ADUN dan jemputan hendaklah memakai pakaian istiadat dan mereka sengaja membuat provokasi kerana selama ini, mereka terlepas daripada apa-apa hukuman walaupun mereka melanggar undang-undang serta peraturan," ujarnya.
Beliau memberi contoh, tindakan ganas pembangkang ketika perasmian Sidang DUN pada 9 Mei 2009 sehingga pemangku raja ketika itu terpaksa menangguhkan keberangkatan baginda ke dalam Dewan, tetapi tiada satu hukuman pun dikenakan kepada mereka.
"Ini adalah punca mereka bertindak mengikut hawa nafsu serakah tanpa menghormati mana-mana institusi. Oleh itu, sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Perak mahu Speaker dan kerajaan negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka ini," tegasnya.
Hairul melahirkan rasa hairan mengapa pembangkang menyatakan protes pada hari perasmian Sidang DUN dengan keberangkatan Sultan Perak yang pertama kali merasmikan persidangan itu.
"Ini jelas menunjukkan mereka tidak menghormati Sultan dan yang lebih memeranjatkan apabila dua wakil rakyat Melayu dari PAS yang turut serta tidak menghormati Sultan," kata beliau.

Tuesday 17 March 2015

Kerajaan Perlu Pelan Jangka Panjang Tangani Banjir - Sultan Nazrin




Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu melakukan pelaburan modal bagi merangka pelan induk jangka panjang untuk menangani masalah banjir di negeri ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, banjir adalah bencana berulang yang berlaku setiap tahun dan ia telah membebankan ramai rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.
"Banjir adalah bencana berulang yang telah berlaku dan akan berlaku. Jika banjir merupakan medan pertarungan, kita tidak dapat lari darinya setiap tahun.
"Kebanyakan mangsa banjir adalah dari kalangan rakyat berpendapatan rendah, ramai yang berada dalam kategori miskin. Bencana banjir akan menambah beratkan beban tanggungan mereka," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan istiadat pembukaan rasmi Penggal Ketiga Dewan Negeri yang ke-13 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Selasa.
Baginda bertitah, banjir besar tahun lalu telah menjejaskan kehidupan 2,896 keluarga dan mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dan aset awam yang dianggar mencecah RM270 juta manakala lebih RM63 juta bagi rumah dan aset persendirian.
Titah baginda, keseluruhan kerosakan yang dinilai sehingga kini berjumlah hampir RM380 juta di mana RM104 juta perlu ditanggung oleh kerajaan negeri sementara RM276 juta melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam kerajaan Persekutuan.
Justeru itu, Sultan Nazrin bertitah, pelan induk jangka panjang menangani banjir amat diperlukan untuk mengatasi masalah dan kesusahan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat banjir.
Titah baginda lagi, aset logistik yang sedia ada juga perlu ditambah serta dinaik taraf bagi memudahkan aktiviti komunikasi dan menyelamat.
"Kerajaan beta dan kerajaan Persekutuan hendaklah bersedia melakukan komitmen pelaburan modal jangka panjang dan merangka pelan induk jangka panjang untuk menghadapi dan menangani bencana banjir.
"Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu juga hendaklah terus dikemaskinikan dan semua jabatan serta agensi hendaklah mematuhi tatacara yang digariskan dalam pelan pengurusan ini.
"Beta menzahirkan penghargaan semua pihak yang telah membuktikan komitmendan pengorbanan bekerja siang dan malam tanpa mengira waktu menghulurkan khidmat untuk meringankan tanggungan mangsa-mangsa," titah baginda.

27,000 Syarikat Daftar GST Di Perak


Sejumlah 27,000 syarikat di Perak telah mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sehingga 27 Mac 2015.
Timbalan Pengarah Kastam Bahagian GST Negeri Perak, Mohd Nasir Yusoff berkata, jumlah syarikat yang mendaftar untuk GST di negeri ini telah melepasi sasaran 17,000 dan tiada lagi syarikat yang belum mendaftar.
Menurut beliau, ia sekaligus telah meletakkan Perak di tempat pertama bagi jumlah pendfataran seluruh negara mewakili 6.9 peratus.
"Kejayaan ini adalah jasil daripada kerjasama yang amat mengalakkan diberi oleh syarikat serta individu terhadap cukai tersebut di negeri ini," katanya ditemui pada Program Promosi GST di Ipoh pada Sabtu malam.
Program tersebut merupakan anjuran Kastam DiRaja Malaysia Perak dengan kerjasama kerajaan negeri.
Mohd Nasir memberitahu, pada 1 April ini seramai 100 pegawai kastam akan dihantar ke seluruh negeri untuk memantau dan memastikan GST dijalankan dengan betul oleh syarikat-syarikat berdaftar.
Jelasnya, pegawai itu juga akan memberi bimbingan kepada syarikat-syarikat yang didapati tidak melaksanakan cukai itu dengan cara betul.
"Kita tidak akan denda syarikat itu pada hari berkenaan, sebaliknya kita hanya akan beri nasihat dan bimbing mereka secara praktikal," ujarnya.
Beliau menambah, mulai 2 April pula, pihaknya akan bersama-sama KPDNKK Perak turun padang untuk membuat pemantaun selama seminggu bagi memastikan kelancaran perjalanan GST.

Monday 16 March 2015

Tinjauan singkat ke Balai Bomba Sukarela Bagan Serai











Hari ini Dato Sham Mat Sahat Dan Dato Hamzah(DO Parit Buntar) Melakukan Tinjauan singkat ke Balai Bomba Sukarela Bagan Serai.Insyallah kami akan buat yang terbaik.

Sunday 15 March 2015

Memberi Sumbangan Kotak Makanan YBU Kepada Penduduk Cina Bagan Serai Sempena Tahun Baru Cina



Datuk Sham Mat Sahat Menyampaikan Sumbangan Kotak Makanan YBU Kepada Penduduk Cina Bagan Serai Sempena Tahun Baru Cina.

Saturday 14 March 2015

30,000 Sertai Malam Cinta Rasul Kerian Berselawat



Malam Cinta Rasul Kerian Berselawat yang berlangsung di Mini Stadium Bagan Serai pada Khamis mendapat sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran kira-kira 30,000 umat Islam.
Mereka yang terdiri daripada penduduk dalam daerah Kerian dan kawasan sekitar datang seawal jam 6 petang ke mini stadium itu untuk mendengar persembahan qasidah dan selawat nabi daripada tokoh nusantara, Habib Syech Abdul Qadir As-Seggaf bersama kumpulan anak-anak al-Barakah dan al-Ansori.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bersama-sama pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Ghazali Jalal, ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, Ahli Parlimen Bagan Serai, Dr Noor Azmi Ghazali dan Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Datuk Azhar Ahmad turut hadir pada program itu.
Menurut Azhar, kehadiran umat Islam membanjiri Mini Stadium Bagan Serai itu adalah semata-mata kerana rasa cinta dan kasih sayang kepada Rasulullah S.A.W.
"Sambutan adalah diluar jangkaan dengan kehadiran 30,000 pengunjung dan ini jelas membuktikan mereka datang semata-mata kerana rasa cinta dan kasih saying kepada Rasulullah S.A.W," katanya ketika ditemui selepas program itu.
Beliau yakin, program itu juga merupakan hiburan alternatif yang tidak melanggari hukum Allah.
Selain program di sebelah malam, pelbagai aktiviti dianjurkan di sebelah siang, antaranya karnival jualan dan pertandingan nasyid


Friday 13 March 2015

Politik Janggal Azmin Ali



BLOG BELANTAN - Ibarat beradu silat, Azmin Ali berjaya mengunci langkah pendahulunya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Abdul Khalid yang diangkat oleh pakatan pembangkang sebagai menteri besar paling bersih, cekap dan prorakyat dilayan seperti tidak ada meninggalkan sebarang legasi.

Nol, tiada warisan bernilai yang boleh dibanggakan. Inilah yang sekurang-kurangnya mahu digambarkan. Abdul Khalid yang pernah dipuja dan diagung-agungkan untuk memancing undi rakyat itu mahu dilupakan begitu sahaja, ibarat habis manis sepah dibuang.

Azmin bahkan sanggup 'memukulnya' semasa beliau sudah melangkah keluar daripada kerusi menteri besar. Pentadbiran Azmin mengambil langkah luar biasa apabila menarik balik pampasan RM2.6 juta lapan pegawai kanan Abdul Khalid termasuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), Faekah Husin.

Kerajaan negeri pimpinan Azmin menggunakan alasan pembayaran wang melalui Skim Pengasingan Bersama (MSS) dibuat secara salah dan tanpa mendapat kelulusan. Isu itu kini diselesaikan mengikut undang-undang.

Dengan kata lain, Azmin seperti mahu menyatakan Abdul Khalid yang menjadi seteru dalam PKR tidaklah bersih seperti diuar-uarkan. Ahli Parlimen Bandar Tun Razak ini dan pegawai-pegawai yang dilantiknya mahu digambarkan sebagai tidak amanah dan sanggup menggunakan wang rakyat untuk kepentingan diri.

Azmin seperti berjaya memberi gambaran itu. Langkah Abdul Khalid dan orang-orangnya terlihat benar-benar terkunci. Menangkis tuduhan pun seperti hilang daya apatah lagi untuk membuat serangan balas ke atas Azmin. Yang ada hanyalah sekali-sekala suara daripada Faekah bagi mempertahankan pentadbiran dahulu.

Yang dulu dianggap seperti bukan kerajaan PKR. Yang dulu dianggap seperti Kerajaan Abdul Khalid. Apa yang dibuat dahulu serba-serbinya salah. Yang dulu perlu diperbetulkan malah sampai ke peringkat dibatalkan.

Ini sama dengan tanggapan yang mereka mahu paksakan ke atas Kerajaan Persekutuan. Apa yang dilakukan Kerajaan Persekutuan semuanya dituduh berbau kronisme dan tidak menguntungkan rakyat.

Inilah yang berlaku ke atas Projek Lebuh Raya Damansara-Kinrara (Kidex) bernilai bilion ringgit yang dibangunkan untuk mengurangkan kesesakan teruk di kawasan itu. Projek kontroversi yang diuar-uarkan politikus pakatan pembangkang ada kepentingan politik UMNO itu dibatalkan.

Sia-sialah usaha Abdul Khalid yang menentang arus politik pakatan pembangkang terutama PKR dan DAP apabila meluluskan projek persekutuan itu. Yang menentang projek ini sebenarnya kelompok kecil tetapi mempunyai pengaruh dan mendapat sokongan ahli politik DAP. Projek ini pun mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan.

Mangsa

Yang majoriti, kumpulan se­nyap akhirnya menjadi mangsa politik Azmin ini. Mungkin se­telah menyedari hal itu dan men­dapat teguran, Azmin se­perti mahu berpatah balik apabila menyatakan projek ber­kenaan tidak dibatalkan.

Hanya kelulusan pembangu­nan yang dibatalkan. Kenyata­an terbaharu Azmin itu me­nye­babkan rakyat biasa ke­­li­ru. Dari satu segi beliau meng­­gambarkan sanggup meng­gotorkan diri demi rakyat te­ta­pi seringkali bertingkah se­baliknya dengan menjadikan rakyat sebagai mangsa.

Tidak tahulah mungkin ‘run­dingan semula’ sedang diatur. Peliknya kerajaan Azmin tidak pula memberikan alternatif ba­gi mengurangkan kesesakan di kawasan berkenaan. Yang me­reka tahu batal sahaja tanpa melihat kesannya. Ada yang tersiratkah?

Isu Kidex belum selesai, Azmin terus mempertontonkan jurus janggal. Lagi-lagi keputusan yang dimuktamadkan antara kerajaan Abdul Khalid dahulu dengan Kerajaan Persekutuan dibatalkan.

Seperti juga Kidex, Azmin bertindak melulu dengan membatalkan perjanjian penstrukturan industri air dengan Putrajaya. Memang dari awal projek ini tidak mendapat sokongan penuh kepemimpinan PKR dan DAP.

Kebijaksanaan Abdul Khalid untuk memuktamadkan penstrukturan air Selangor termasuk mengambil alih syarikat konsesi dianggap sebaliknya oleh ahli politik pakatan pembangkang. Tidak tahulah nasib siapa sebenarnya yang mereka mahu perjuangkan.

Hujah Abdul Khalid bahawa perjanjian itu penting demi rakyat Selangor nampaknya tidak dikongsi oleh kerajaan negeri sekarang. Jika dahulu mereka marah kononnya dasar kerajaan bertukar apabila ada menteri baharu, kini mereka benar-benar melakukan hal berkenaan.

Tetapi di depan rakyat, Azmin menggunakan dalih demi rakyat sebagai hujah membatalkan projek penting berkenaan.

Atas kertas, keputusan ini hanya akan merugikan kerajaan negeri. Ini akan menyebabkan syarikat konsesi menaikkan tarif air sebanyak 52 peratus. Tindakan itu juga bakal menutup peluang kerajaan negeri mengambil alih ekuiti empat syarikat konsesi air yang selama ini didakwa mengaut keuntungan tidak munasabah atas kesusahan rakyat.

Tanpa kawalan sepenuhnya terhadap industri air, kerajaan Selangor berkemungkinan besar tidak mampu meneruskan pemberian air percuma 20 meter padu setiap bulan yang dilaksanakan sejak Jun 2008 kerana kekurangan dana. Jadi, apakah perhitungan sebenar Azmin? Sekali lagi Azmin mahu melakukan rundingan semula dengan Kerajaan Persekutuan.

Yang dapat kita lihat, ternyata Azmin tidak mahu kehebatan pentadbiran Abdul Khalid membayanginya. Sejarah peninggalan Abdul Khalid seperti lebuh raya dan penstrukturan air mahu ditulis semula.

Beliau mahu memahat nama sebagai menteri besar yang menyelesaikan masalah, punya pencapaian hebat berbanding menteri besar terdahulu. Cuma caranya janggal yakni, dengan menimbulkan masalah.

Thursday 12 March 2015

'Tiada Sokongan Antarabangsa' Penipuan Pembangkang, Kata Ahli Parlimen



Pakatan pembangkang hari ini didakwa menipu rakyat negara apabila menafikan mendapat sokongan antarabangsa khususnya daripada Amerika Syarikat.

Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata, permohonan petisyen yang difailkan menerusi laman sesawang milik Rumah Putih Amerika Syarikat bukti bahawa ada sokongan antarabangsa untuk mencampuri urusan pentadbiran negara.

"Pembangkang minta White House (Rumah Putih) campurtangan. Mereka memfailkan petisyen untuk campurtangan antarabangsa dengan mengutip 100,000 tandatangan digital bagi membenarkan Presiden Amerika (Barrack Obama) campurtangan bagi membebaskan (Ketua Pembangkang) Anwar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Ujarnya, penafian pembangkang mendapat sokongan antarabangsa juga pernah didedahkan sebelum ini namun perkara tersebut terus dinafikan.

"Sebelum ini dalam temubual antara media Merdekaonline dan bekas Timbalan Presiden Indonesia Jusuf Kala, beliau mengakui Anwar mendapat sokongan antarabangsa khususnya dari Amerika Syarikat dan Asia Tengah," ujarnya lagi.

1MDB : Kerajaan Suntik Dana RM950 Juta



Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata kerajaan menyuntik dana sebanyak RM950 juta kepada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai kredit tersedia.

Beliau berkata, dana berkenaan adalah bagi membantu menyelesaikan masalah aliran tunai 1MDB secara sementara sebelum syarikat itu membuat tawaran awam permulaan (IPO) yang dijangka pada September ini.

"Kerajaan tidak pernah memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB sebaliknya menyutik dana RM950 juta sebagai 'standby credit' bagi membantu aliran tunai.

"Kerajaan yakin 1MDB akan kembali kukuh selepas IPO selain pelaburan dalam sektor tenaga dan hartanahnya," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rafizi Ramli (PKR-Pandan) yang bertanya mengenai kebenaran dakwaan kerajaan memberi pinjaman RM2 bilion kepada 1MDB pada persidagangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

1MDB mencetus kontroversi kerana dana pembangunan strategik milik penuh kerajaan itu kini mempunyai hutang hampir RM42 bilion dan menghadapi masalah aliran tunai kerana pendapatan daripada aset tidak dapat menampung kos operasi dan bayaran faedah.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 4 Mac mengarahkan Ketua Audit Negara mengesahkan secara bebas akaun 1MDB manakala timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan berasingan menjelaskan tidak akan usaha menyelamat daripada dana awam terhadap syarikat itu.

Tuesday 10 March 2015

PM : Tiada Keperluan Tubuh RCI Banjir




Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada keperluan untuk membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji kelemahan dan kekurangan kerajaan dalam menangani insiden banjir teruk yang melanda negara, akhir tahun lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan akan mengkaji, menyemak dan mengemaskini peraturan tetap operasi (PTO) pengendalian bencana banjir dan Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi pelaksana supaya berkeupayaan dalam menghadapi situasi banjir besar.

Justeru itu, katanya berdasarkan kajian banjir yang dianggap terburuk dalam tempoh 100 tahun itu, beberapa isu dikenal pasti dan memerlukan penambahbaikan antaranya peningkatan kompetensi dan kemahiran kepemimpinan dalam agensi di peringkat daerah, negeri serta pusat.

"Antaranya, kaedah perintah dan kawalan pembangunan keupayaan sistem amaran awal yang lebih tepat dan berkeupayaan memberi amaran dalam tempoh masa yang lebih lama.

"Peningkatan keupayaan aset dan logistik yang bersesuaian bagi penggunaan operasi mencari dan menyelamat dalam keadaan bencana ekstrim antaranya bot berkeupayaan tinggi `amphibious vehicles' serta helikopter yang berkeupayaan untuk beroperasi dalam situasi lebih serius.

"Di samping itu penempatan pegawai berkemahiran dalam pengurusan bencana terutama di peringkat daerah dan negeri bagi memastikan bencana dapat diselaras dan dikendalikan dengan lebih berkesan," katanya menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang).

Perdana Menteri berkata, bagi tempoh jangka sederhana dan panjang, kerajaan akan membina projek pencegahan banjir terutama projek yang mampu menghasilkan pendapatan seperti pembinaan empangan yang boleh menjana bekalan elektrik.

Selain itu, katanya, kerajaan sedang mengkaji modul terbaik pengurusan bencana yang dipraktikkan negara yang sering dilanda malapetaka.

"Kesimpulannya, sebarang bentuk pembangunan mesti bersifat lestari dan mapan, merangkumi pelaksanaan projek pembangunan, perlombongan, pembukaan tanah dan pembalakan.

"Jelasnya pembangunan yang tidak mementingkan kelestarian alam sekitar akan membawa mudarat kepada manusia, inilah pengajaran penting daripada banjir besar ini," katanya.

Monday 9 March 2015

UMNO Takkan Berjaya Jika Ahli Berpecah-Belah - Najib




UMNO tidak akan berjaya pada pilihan raya umum akan datang sekiranya ahli parti itu bersengketa dan berpecah-belah, kata Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Perdana Menteri, berkata untuk itu, ahli UMNO seharusnya mengamalkan solidariti, kesepakatan dan bekerja sama sesama mereka.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya mengurangkan permasalahan dalaman dan cantas-mencantas antara satu sama lain selain mengelakkan daripada mewujudkan dua pasukan dalam bahagian parti itu.

"Sentiasa pastikan kita tidak lupa tugas utama kita, iaitu pastikan UMNO terus berkuasa memimpin dan memperjuangkan hak rakyat yang sentiasa dekat di hati," katanya dalam tulisan menerusi blognya, NajibRazak.com, hari ini.

Najib turut melahirkan rasa syukur dengan semangat baharu dalam kalangan anggota UMNO Kedah yang hadir pada Konvensyen UMNO Kedah 2015 bertemakan 'UMNO Tonggak Transformasi' semalam.

"Alhamdulillah saya lihat sebuah semangat baharu dalam kalangan ahli UMNO Kedah yang hadir, dan mudah-mudahan pada konvensyen akan datang kita akan lihat semangat ini kekal subur dan dijadikan suatu punca inspirasi untuk kita terus berjuang," katanya.

Najib berkata, ahli UMNO negeri itu perlu menjadikan faktor kejayaan merampas Kedah daripada pembangkang sebagai iktibar dalam perjuangan.

"Tahniah kepada jentera UMNO Kedah kerana Alhamdulillah kita bertemu di Konvensyen UMNO Kedah pagi semalam dalam keadaan kita sebagai parti pemerintah negeri Kedah.

"Kita perlu mengambil kegagalan Kerajaan Kedah sebelum ini dan apa yang menjadi faktor kejayaan kita memenangi Kedah sebagai iktibar untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang," katanya.

Najib berkata, antara faktor penyumbang kemenangan itu adalah permuafakatan dan semangat sepasukan.

Sunday 8 March 2015

Jumlah Projek Rumah Mampu Milik Akan Ditambah



 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan komited kepada agenda membina rumah mampu milik untuk rakyat.

Katanya, melalui program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), impian lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rumah sendiri akan menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah. Kerajaan komi­ted kepada agenda membina rumah-rumah mampu milik dan Insya-Allah, melalui PR1MA Homes impian lebih ramai rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri akan jadi kenyataan,” katanya menerusi catatan terbaru di akaun Facebooknya.

Dalam catatannya itu, Najib turut berkongsi video berdurasi 3.15 minit dari akaun Facebook 1Malaysia yang memaparkan kisah keluarga Norazam Azman yang merupakan antara pembeli terawal rumah PR1MA.

Ia menceritakan bagaimana golongan kurang berkemampuan seperti Norazam, 33, berkeluarga dan mempunyai dua anak terpaksa duduk menumpang di rumah mentua serta menyewa di rumah kos rendah sebelum akhirnya dapat memiliki kediaman sendiri dengan adanya program PR1MA itu.

Sabtu lalu, Perdana Menteri menyerahkan kunci kepada sebahagian daripada 560 pemilik rumah PR1MA di tapak pertama projek itu di Presint 11, Putrajaya.

PR1MA ditawarkan kepada rak­yat Malaysia yang berpendapatan isi rumah purata bulanan antara RM2,500 hingga RM10,000 untuk memiliki kediaman berkualiti tinggi di lokasi-lokasi strategik dengan harga antara RM100,000 hingga RM400,000.

Saturday 7 March 2015

Hudud Bentuk Formula Perpaduan UMNO-PAS



BLOG AL-AZHARRI SIDDIQ - Menjelang pembentangan kanun jenayah syariah II (Hukum Hudud) di Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 18 Mac 2015, saya ingin mencadangkan kepada UMNO Kelantan supaya mengadakan pertemuan lebih kerap dengan kepimpinan kerajaan PAS di Kelantan. Kelihatannya, pertemuan Perdana Menteri dengan Menteri Besar Kelantan lebih kerap.

Mahu tidak mahu, PAS khususnya tidak ada perkataan yang lebih sesuai melainkan meneruskan pembentangan Hukum Hudud setelah lebih 20 tahun tertangguh. Jika dahulu, UMNO dan BN dikatakan sebagai penghalangnya, kini sebaliknya UMNO menjadi penyokong kuat kepada perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan.

Sebaliknya, DAP dan PKR menjadi duri dalam daging kepada cita-cita PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud, yang kini menjadi penantian seluruh umat Islam di Malaysia.


Implikasi Politik Kepada PAS
1. Sekiranya berjaya, saya percaya sokongan umat Islam kepada parti PAS akan bertambah semasa PRU14.

2. PAS hendaklah bersedia dengan kemungkinan besar terkeluar daripada gabungan Pakatan Rakyat, kerana jurucakap-jurucakap DAP seperti Gobind Singh Deo secara terang-terangan menentang hasrat PAS itu, dan memberi amaran bahawa tindakan PAS itu bermaksud PAS secara automatik terkeluar daripada PR.

3. Perpaduan PAS dengan UMNO bukanlah perkara asing dan bukan tidak pernah berlaku. Tun Razak dan Datuk Asri Muda selepas mengadakan pertemuan di luar negara, apabila balik ke Malaysia mengumumkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di bawah Barisan Nasional. Dalam kes terbaharu, saya menyatakan supaya usaha ke arah perpaduan ini tidak perlulah disembunyi-sembunyikan lagi.


Bentuk Perpaduan
1. PAS boleh kekal dengan identitinya, mengekalkan perjuangannya dan tidak lagi perlu merayu-rayu kepada DAP dan PKR untuk menghormati hasrat mereka melestarikan Hukum Hudud.

2. UMNO pula dengan kedudukannya yang kuat dan sebagai pemimpin utama dalam BN, tidak mempunyai masalah untuk menyokong perlaksanaan Hukum Hudud di Kelantan. Kerajaan Persekutuan telah menyediakan fasiliti yang lengkap kepada kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hukum Hudud seperti kompleks Mahkamah Syariah Kelantan dan sebagainya.

3. Sama ada PAS berada di luar PR, atau PAS menjadi komponen bersekutu kepada BN, atau PAS kekal bersendirian, itu terserah kepada PAS. Apa yang umat Islam teruja-uja hendak melihat ialah adakah Hukum Hudud akan terlaksana di Kelantan. Malah seluruh umat Islam di seluruh dunia tidak sabar menanti saat perlaksanaannya.
Formula Perpaduan UMNO-PAS?
Perkara di atas bukanlah asing juga kepada BN, kerana USNO dan PBS pernah bersama-sama berada dalam BN di peringkat pusat tetapi di peringkat negeri USNO berada di luar BN (1987). Apa pun, kerajaan negeri Sabah dan kerajaan persekutuan berjalan seperti biasa.

Sebagai permulaan, mungkinkah ini formula yang sesuai kepada perpaduan PAS dengan UMNO. Di peringkat negeri Kelantan, UMNO dan PAS boleh bergabung tetapi di peringkat pusat PAS boleh terus bersama PR.

Begitulah usaha ke arah perpaduan, bukannya semudah yang dibicarakan. Mungkin anda tidak bersetuju?

Friday 6 March 2015

Mustafa Ali : PAS Ikrar Gagalkan Usaha Guling Hadi Awang



PAS akan mempertahankan ke­dudukan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang daripada digulingkan dalam muktamar parti itu Jun ini.

Penegasan itu dinyatakan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sambil memberi jaminan bahawa tidak akan ada mana-mana pemimpin dalam kalangan parti itu sanggup mencabar Abdul Hadi untuk jawatan Presiden pada pemilihan kelak.

"Desas-desus kononya Abdul Hadi bakal digulingkan tidak mungkin menjadi kenyataan sebaliknya, beliau yakin Presiden PAS itu akan terus mendapat sokongan penuh bagi mengekalkan jawatan tersebut.

“Saya yakin tidak ada calon akan lawan presiden. Selepas tahun 2015 kita akan saksikan Abdul Hadi terus kekal menerajui PAS,” katanya kepada pemberita selepas majlis kutipan dana pasca banjir di Dewan Jubli Perak di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Datuk Hassan Mahmood.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desas-desus bahawa jawatan Abdul Hadi sebagai Presiden bakal dicabar dalam Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat yang akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-61, Jun depan.

Kepemimpinan Abdul Hadi kini berada dalam keadaan goyah berikutan gerakan tersusun kumpulan-kumpulan tertentu di dalam PAS yang ingin menjatuhkannya termasuk dalam kala­ngan pemimpin parti itu yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada Timbalan Presiden, Mohamad Sabu untuk bertanding jawatan Presiden.

Abdul Hadi bagaimanapun, masih mendapat sokongan padu kumpulan ulama dan perkara itu dinyatakan pada Multaqa Ulama SeMalaysia II baru-baru ini sehingga wujud desakan mahu Mohamad Sabu dan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Hatta Ramli dipecat.

Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda PAS Kuantan, Fadhli Ibrahim mendedahkan terdapat komplot terancang yang dipercayai didalangi sekumpulan pemimpin kanan PAS dengan matlamat menjatuhkan Abdul Hadi dan kepemimpinan ulama.

Sementara itu ketika ditanya kemungkinan jawatan Timbalan Presiden yang disandang oleh Mohamad Sabu akan dicabar sekali lagi pada pemilihan nanti, Mustafa berkata, jawatan tersebut dijangka bakal ada pertandingan.

“Saya yakin Abdul Hadi akan kekal sebagai presiden lagi, timbalan saya tidak tahu. Jawatan timbalan sentiasa berlawan, saya jangka memang ada pertandingan seperti biasa,” katanya.

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan terhadap dakwaan Mohamad Sabu dan Dr. Hatta yang menjadi dalang kepada gerakan menjatuhkan presiden, Mustafa berkata, setakat ini, kedua-kedua pemimpin itu masih belum dipanggil untuk memberi penjelasan.

“Kita belum lagi panggil kerana masing-masing sibuk. Kita akan panggil dalam masa terdekat. Yang buat tuduhan kita panggil, yang kena tuduh kita panggil,” katanya yang enggan mengulas lanjut.