YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Tuesday 17 March 2015

Kerajaan Perlu Pelan Jangka Panjang Tangani Banjir - Sultan Nazrin




Kerajaan negeri dan Persekutuan perlu melakukan pelaburan modal bagi merangka pelan induk jangka panjang untuk menangani masalah banjir di negeri ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, banjir adalah bencana berulang yang berlaku setiap tahun dan ia telah membebankan ramai rakyat, khususnya yang berpendapatan rendah.
"Banjir adalah bencana berulang yang telah berlaku dan akan berlaku. Jika banjir merupakan medan pertarungan, kita tidak dapat lari darinya setiap tahun.
"Kebanyakan mangsa banjir adalah dari kalangan rakyat berpendapatan rendah, ramai yang berada dalam kategori miskin. Bencana banjir akan menambah beratkan beban tanggungan mereka," titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan istiadat pembukaan rasmi Penggal Ketiga Dewan Negeri yang ke-13 Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh pada Selasa.
Baginda bertitah, banjir besar tahun lalu telah menjejaskan kehidupan 2,896 keluarga dan mengakibatkan kemusnahan infrastruktur dan aset awam yang dianggar mencecah RM270 juta manakala lebih RM63 juta bagi rumah dan aset persendirian.
Titah baginda, keseluruhan kerosakan yang dinilai sehingga kini berjumlah hampir RM380 juta di mana RM104 juta perlu ditanggung oleh kerajaan negeri sementara RM276 juta melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam kerajaan Persekutuan.
Justeru itu, Sultan Nazrin bertitah, pelan induk jangka panjang menangani banjir amat diperlukan untuk mengatasi masalah dan kesusahan rakyat di kawasan-kawasan yang terlibat banjir.
Titah baginda lagi, aset logistik yang sedia ada juga perlu ditambah serta dinaik taraf bagi memudahkan aktiviti komunikasi dan menyelamat.
"Kerajaan beta dan kerajaan Persekutuan hendaklah bersedia melakukan komitmen pelaburan modal jangka panjang dan merangka pelan induk jangka panjang untuk menghadapi dan menangani bencana banjir.
"Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Secara Bersepadu juga hendaklah terus dikemaskinikan dan semua jabatan serta agensi hendaklah mematuhi tatacara yang digariskan dalam pelan pengurusan ini.
"Beta menzahirkan penghargaan semua pihak yang telah membuktikan komitmendan pengorbanan bekerja siang dan malam tanpa mengira waktu menghulurkan khidmat untuk meringankan tanggungan mangsa-mangsa," titah baginda.

No comments:

Post a Comment