YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Sunday 31 May 2015

Lawatan Dato' Sham Mat Sahat di Kg. Pt. Hj. Amin







Lawatan Dato' Sham Mat Sahat di Kg. Pt. Hj. Amin , rumah Ghani b. Ali . Kerosakan bumbung rumah akibat pokok tumbang tersasar kerumah

Saturday 30 May 2015

Isu Kubur Besar: Media Thailand Persenda Malaysia



PETALING JAYA: Malaysia menjadi bahan ‘mainan’ oleh media negara jiran, Thailand berhubung isu penemuan tapak kubur besar-besaran di Wang Kelian baru-baru ini.
Ia berikutan apabila media berkenaan telahmempersendakan tentang sikap Malaysia dalam menangani isu pelarian Rohingya dan Bangladesh di negara ini.
Menerusi imej kartun berkenaan, sebuah akhbar di Bangkok, Thailand itu,pelukis imej berkenaan mendakwa “Malaysia benar-benar memalukan’ selepas penemuan kubur berkenaan.
Memetik laporan daripada mStar, imej berkenaan telah dikongsikan di laman media sosial Facebook oleh bekas wartawan AFP, Parameswaran Ponnudurai yang mana imej berkenaan telah disiarkan di akhbar The Nation.
Provokasi yang dilakukan melalui imej kartun itu turut mempermainkan kempen pelancongan negara apabila media Thailand meniru logo ‘Year of Festival 2015’.
Pelukis kartun berkenaan menggambarkan situasi yang berlaku di utara tanah air itu dengan menyelitkan kenyataan ‘Don’t visit Malaysia 2015 if you are a Rohingya’ dan ‘Malaysia truly embarrassed’.
Dalam imej yang sama juga terdapat watak anggota polis yang berpeluh menunjukkan reaksi terkejut dengan penemuan beberapa tengkorak manusia di dalam sebuah lubang yang mana disampingnya berdiri tiga orang wanita berpakaian tradisional mewakili Melayu, Cina dan India yang menggambarkan tiga kumpulan etnik terbesar di Malaysia.
Sementara itu turut mengambarkan tentang kekecewaan masyarakat dunia tentang penemuan kubur dan kem pelarian yang dipercayai milik masyarakat Rohingya dan Bangladesh.
Pelukis turut melukis seorang lelaki yang mirip Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dengan kata-kata “Obviously this cartoon is eligible for sedition charges!” yang membawa maksud ‘Jelas kartun ini boleh didakwa di bawah Akta Hasutan’.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Seri Khalid Abu Bakar telah mengesahkan penemuan 139 kubur dan 28 kem transit yang telah ditinggalkan oleh sindiket pemerdagangan manusia di Wang Kelian, Perlis.
Menurutnya, penemuan kubur itu termasuklah satu kawasan kubur yang mayatnya sudah reput dan hanya tinggal kulit dan tulang sahaja.
Kubur berkenaan dipercaya baharu sahaja ditinggalkan dalam tempoh tidak sampai dua minggu.

Friday 29 May 2015

Menteri kena tanggungjawab jawapan di Parlimen



SHAH ALAM – Perdana menteri atau menteri perlu bertanggungjawab dengan segala isi kandungan jawapan yang dikeluarkan di Parlimen meskipun ia disediakan oleh pegawai-pegawainya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, meskipun prosiding dalam Parlimen kebal dari undang-undang namun jika jawapan yang dikemukakan tidak benar, namun menteri masih perlu bertanggungjawab.
Malah katanya, pegawai yang berkaitan juga boleh didakwa atas tuduhan membohong dan boleh dituduh bersama menteri berkenaan.
“Pegawai-pegawai yang menyediakan jawapan tidak kebal. Mereka masih bertanggungjawab terhadap isi kandungan jawapan. Jika didapati mereka tidak tentukan jawapan yang disediakan oleh mereka berasas kepada kebenaran, kerana tidak berasas kepada maklumat dan bukti yang sahih, mereka boleh dituduh sengaja mencuba melindungi menteri kerana menyembunyikan kebenaran.
“Dengan perkataan lain menteri masih boleh dituduh membohong dan pegawai juga akan dituduh bersama. Menteri lebih bertanggungjawab kerana dikehendaki menyemak dan menentukan jawapan yang dibuat atas namanya adalah benar,” katanya melalui catatan terbaharu di blognya, hari ini.
Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pindaan kepada jawapan kerajaan pada Mac lepas di Parlimen bahawa baki pelaburan 1MDB yang diuruskan oleh Cayman Monetary Authority sebanyak US$1.103 bilion, telah ditebus dalam bentuk aset dan bukannya wang tunai.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir mendakwa kemungkinan 1MDB terlibat dengan penggubahan wang haram.
“Perdana Menteri telah jelaskan bahawa wang sebanyak USD 1 bilion tidak dibawa balik ke Malaysia kerana Bank Negara akan mengganggu urusan keluar masuk wang yang lebih dari 50 juta. Setahu saya bank-bank telah diarah menyoal urusan yang lebih dari RM50,000. Jika urusan tidak ada kaitan dengan ‘money laundering’, iaitu yang didapati secara haram, ia tidak jadi masalah.
“Soalnya apakah 1MDB dengan pengetahuan penasihatnya terlibat dengan ‘money laundering’, sehingga wang dari Cayman Islands terpaksa disimpan di Singapura? Singapura juga memeriksa dengan teliti wang yang masuk-keluar negara itu bagi mengelak jenayah ‘money laundering’. Apakah 1MDB tidak tahu akan peraturan Monetary Authority of Singapore?
“Atau apakah tujuan sebenar untuk berbohong berkenaan penyimpanan wang ini di Singapura, iaitu sebenarnya tidak ada wang yang disimpan di sana, bahawa wang sebanyak lebih USD 1 bilion sudah hilang? Jika tidak dapat dibuktikan wang ini ada di Singapura, maka sekali lagi, pegawai dan menteri bersalah kerana berbohong,” katanya.
Menurutnya lagi, Bank Negara Malaysia (BNM) juga bersalah berdasarkan undang-undang negara jika didapati melindungi pembohongan berkaitan wang 1MDB tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut melahirkan kekesalan apabila berlaku pilih kasih dalam siasatan sebarang jenayah di negara ini.
“Pegawai-pegawai kerajaan yang hidup lebih mewah daripada pendapatan mereka biasanya disiasat oleh jabatan hasil dalam negeri. Tetapi apabila Menteri atau orang awam tertentu diketahui hidup terlalu mewah, siasatan tidak dibuat. Sebaliknya orang yang membuat laporan polis berkenaan perkara tertentu disiasat.
“Amatlah menyedihkan apabila ternampak ada pilih kasih dalam siasatan jenayah. Hari ini, Malaysia sudah disenaraikan sebagai antara 10 negara yang rasuah berleluasa. Rakyat Malaysia tertakluk kepada undang-undang yang sama. Janganlah hendaknya ada pilih kasih dan diskriminasi dalam menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
-Sinar Harian

Thursday 28 May 2015

Najib Jelajah Seluruh Negara, Beri Penjelasan



PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa beliau tidak akan tunduk kepada mana-mana tekanan untuk melepaskan jawatannya.
Memetik laporan daripada portal mStar, Najib dijadualkan akan ke Perlis untuk bertemu dengan barisan kepimpinan UMNO negeri meskipun beliau baharu sahaja pulang daripada urusan rasminya di Jepun pada malam Selasa lalu.
Beliau telah dijadualkan untuk menghadiri majlis makan di Dewan Wawasan 2020 di Kangar selain menyampaikan hadiah kepada pemenang ‘Desa Sejahtera 1Malaysia di Kampung Kurong Tengar, Kuala Perlis.
Sebelum ini, Perdana Menteri turut menghadiri beberapa perhimpunan besar yang lain di seluruh negara antaranya di Kota Belud, Tawau, Johor Bahru, Gopeng serta Pekan.
Najib mengambil peluang dalam majlis tersebut untuk menjelaskan segala isu yang menjadi kontroversi termasuklah isu berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), pembelian tanah di Tun Razak Exchange oleh Tabung Haji, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tekanan daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melepaskan jawatan.
Menurut seorang pemimpin UMNO Johor, kehadiran ramai rakyat dalam setiap majlis yang dihadiri oleh Perdana Menteri menunjukkan bahawa beliau masih mendapat sokongan daripada rakyat meskipun pelbagai tohmahan diterima oleh beliau.
“Mereka datang untuk mendengar sendiri penjelasan terhadap isu-isu yang berlaku.
“Apa pun, Najib perlu membela diri sendiri dan menyakinkan rakyat bahawa beliau komited untuk menyelesaikan isu-isu yang timbul,” kata pemimpin tersebut.
Sementara itu, Veteran UMNO, Tan Sri Abdul Aziz Rahman pula berkata, Najib perlu turun padang dan menyangkal segala dakwaan dan tuduhan yang dilakukan terhadapnya dan beliau tidak perlu menyerang Tun Mahathir.

Wednesday 27 May 2015

Bantu Pantau Gejala Negatif



Ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk memantau kegiatan yang bertentangan dengan Islam dan gejala negatif seperti ajaran sesat dan masalah sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mereka perlu menyalurkan maklumat yang diperolehi kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam dan polis.
Menurut beliau, sebagai orang yang berada di lapangan, AJK masjid dan surau sepatutnya tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu mengatasinya.
"Mereka bukan hanya menjaga pengurusan masjid dan surau tetapi memantau apa yang berlaku di peringkat akar umbi di negeri ini," katanya selepas merasmikan Surau Nur Hidayah, Ban Abu Hassan di Alor Pongsu pada Rabu.
Drs Nizar berpendapat, masjid dan surau perlu dijadikan platform untuk 'check and balance' dalam kehidupan masyarakat setempat, baik dalam soal keagamaan, mahupun dalam kehidupan seharian.
"Jangan jadikan rumah ibadat kita sebagai tempat untuk memecah-belahkan ummah dengan menabur fitnah, singkirkan perkara-perkara negatif yang merugikan kita sendiri," ujarnya.
Menurut beliau, di samping kegiatan keagamaan, jawatankuasa masjid dan surau juga hendaklah bijak mengatur pelbagai program untuk merapatkan silaturrahim melalui kerjasama dengan pihak-pihak lain seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penghulu.
Beliau memberi jaminan, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan beribadah yang baik, termasuk membaik pulih atau membina surau dan masjid baharu.
Beliau memberitahu, setakat ini, terdapat 601 buah masjid, 60 buah surau diri Jumaat dan 1,973 surau di seluruh negeri.
"Bilangan ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan tempat ibadat yang selesa kepada umat Islam, baik di bandar, mahupun di kampung-kampung," ujarnya.

Tuesday 26 May 2015

KADIR Hantar Bantuan Kepada Pelarian Rohingya

Sebagai tanda simpati terhadap penderitaan yang dialami pelarian Rohingya, Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) akan menghantar bantuan kemanusiaan mulai hari ini (Selasa).
Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, Misi Bantuan Masyarakat Rohingya itu adalah sebahagian daripada program Kembara Ummah yang dilaksanakan yayasan berkenaan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Menurut beliau, sebagai permulaan, sukarelawan KADIR yang diketuai, Mohd Najib Datuk Ahmad akan menghantar satu lori tiga tan bantuan dalam bentuk makanan dan pakaian ke depoh pengumpulan di Pejabat Imigresen Anak Bukit di Kedah.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan apa sahaja bantuan untuk disalurkan kepada pelarian berkenaan.
"Kita terima apa sahaja, pakaian, makanan, minuman dan wang tunai untuk disalurkan kepada saudara kita yang melarikan diri demi untuk meneruskan kehidupan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ipoh pada Selasa.
Beliau berkata, mereka yang berminat untuk menghulurkan sumbangan boleh menghantar terus ke pejabat KADIR di Meru, Ipoh atau menghubungi Pengurus Besar KADIR, Datuk Abdul Jamil Mat Kasa (no. h/p : 012-5241121) atau Mohd Najib (013-3033298).
Azhar memberitahu, program seumpama itu bukanlah pertama kali dianjurkan oleh KADIR, sebaliknya telah beberapa kali dilaksanakan oleh pihaknya, yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, ketika program pertama yang dianjurkan beberapa tahun lalu, kira-kira RM60,000 berjaya dikumpulkan yang kemudiannya diagihkan untuk bantuan rakyat Palestin di Gaza dan masyarakat Rohingya di Mynmar.
"Kerajaan negeri sentiasa sangat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan yang kurang bernasib baik, itu sebab kita sebagai NGO di negeri ini sentiasa tampil untuk membantu pada bila-bila masa," ujar beliau.
Sementara itu, tinjauan Peraknews mendapati beberapa sukarelawan KADIR sedang menjalankan kerja-kerja memuatkan bantuan itu ke dalam lori sebelum dihantar ke Kedah.

Monday 25 May 2015

Yakin Isu GST Diperbetulkan Dalam Tempoh Setahun

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan penuh yakin isu-isu yang berkaitan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) boleh diperbetulkan dalam tempoh setahun lagi.
Menurut beliau, hasil daripada kutipan GST yang dilakukan oleh kerajaan akan digunakan untuk dimanfaatkan rakyat.
“Kalau kita tambah hasil, saya akan bentangkan kepada rakyat setiap ringgit tambahan hasil negara melalui GST, saya akan bentangkan untuk pengetahuan rakyat,” katanya betika berucap di depan 20,000 orang di Majlis Lawatan Kerja Ke Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu.
Menurut beliau, sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab dengan mengeksploitasi GST telah menimbulkan persepsi buruk kepada kerajaan.
Najib berkata, kebanyakan permasalahan dan salah faham mengenai GST yang menimbulkan kemarahan rakyat adalah berpunca daripada sikap peniaga yang ingin mengaut keuntungan yang berlebihan.
“Kita punyai dasar yang baik, bila orang mengeksploitasikan keadaan ini, mereka salahkan kerajaan, walhal, niat di hati saya ialah untuk mengukuhkan keadaan kewangan negara untuk kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan telah berusaha untuk membantu rakyat dengan memansuhkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan menggantikannya dengan GST.
“Ada barang yang orang tidak tahu dulu ada SST, tetapi yang masalahnya SST dulu patut dikurangkan harga, bukan dikurangkan, malah ditambahnya lagi enam peratus. “Inilah punca masalahnya rakyat marah kepada kerajaan, ini bukan soal dasar, tetapi dalam tempoh satu tahun lagi, saya yakin dan percaya, perkara ini boleh dibetulkan,’’ katanya.
Sehubungan dengan itu, Najib meminta langkah penguatkuasaan dipertingkatkan bagi mengheret peniaga-peniaga yang tidak bertanggungjawab itu ke muka pengadilan.

Sunday 24 May 2015

Najib Pemimpin Berkualiti, Sentiasa Utamakan Rakyat - Dr Zambry


Rakyat harus berbangga kerana Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak merupakan seorang pemimpin negara yang mempunyai kualiti.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Abd Kadir, sebagai Perdana Menteri, Najib sentiasa mengambil berat hal-hal dan masalah rakyat.
Beliau berkata, sepanjang Najib menjadi Perdana Menteri dan beliau pula sebagai Menteri Besar, setiap kali mengadu hal berkaitan masalah negeri Perak termasuk yang tidak ada tercatat dalam pembangunan bajet Rancangan Malaysia telah diluluskan oleh Perdana Menteri.
“Setiap kali kita mengemukakan agenda pembangunan negeri, adakalanya tidak adapun tercatat di dalam pembentangan bajet tetapi YAB Perdana Menteri seringkali bertanya apakah ini untuk rakyat Zambry?
“Saya kata pada dia yes sir…yang kita buat ini, yang kita kemukakan ini adalah untuk rakyat dan beliau sekaligus mengatakan kita buat untuk rakyat, saya luluskan untuk rakyat,” katanya disambut tepukan 20,000 rakyat yang hadir.
Dr Zambry berkata demikian semasa berucap di Majlis Lawatan Kerja Perdana Menteri Ke Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu.
Beliau juga menarik perhatian hadirin semasa ketibaan Najib di Sekolah Menengah Simpang Pulai untuk ke majlis itu, semasa bersalaman dengan warga pendididik tiba-tiba Yang Dipertua PIBG sekolah itu menyerahkan sampul surat kepada Perdana Menteri.
“Buka surat itu… ini untuk apa ?, Yang Dipertua PIBG lalu menjawab YAB sekolah kami perlukan dewan bolehka YAB...dia kata insyallah saya lulus untuk itu,” kata Dr Zambry lagi.
Menurutnya, semasa menaiki bas menuju ke RTC pula, seorang ADUN turut menyerahkan surat kepada Perdana Menteri berhubung permohonan infrastruktur di kampung-kampung.
“Inilah keikhlasan dan kualiti seorang Perdana Menteri yang kita ada kerana sentiasa mengambil berat untuk menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya.
Dr Zambry turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana Perak merupakan antara negeri yang banyak menerima faedah pembangunan dalam RMK-11.
Beliau juga menzahirkan sokongan barisan kepimpinan BN negeri kepada Najib untuk meneruskan agenda pembangunan negara ke arah lebih cemerlang lagi.

Saturday 23 May 2015

Bukan Saat Bercakaran, Bantu Teruskan Agenda Rakyat - PM

Datuk Seri Najib Razak meminta segenap lapisan rakyat terus memberi kepercayaan dan sokongan padu kepadanya dalam menerajui negara.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, sekarang bukan masa untuk bercakaran sesama sendiri sebaliknya semua pihak perlu bersatu dan bekerja sama membantunya melaksanakan dasar dan agenda yang memberi manfaat besar kepada rakyat.
"Saya beriltizam untuk melakukan yang terbaik, tuan-tuan beri sokongan dan kepercayaan kepada saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk negara kita.
"Banyak lagi yang boleh dilakukan, agenda kita banyak lagi, tunggulah kita akan maklumkan kepada rakyat," katanya pada majlis Lawatan Kerja Ke Negeri Perak di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng pada Sabtu.
Perhimpunan itu dianjurkan oleh Kerajaan Perak dan BN negeri bagi menunjukkan sokongan kepada Najib.
Malah, Perak negeri pertama dilawati Perdana Menteri selepas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).
Turut hadir, Menteri Besar yang juga Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri Kedua II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Friday 22 May 2015

Perak Terus Perkasa Seni Budaya

Perak terus memacu pemerkasaan seni dan kebudayaan dengan pembangunan projek Kampung Karyawan Malim yang akan direalisasikan dengan kerjasama kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata, pihaknya berharap perkampungan kesenian,kesusasteraan dan karya yang pertama di Malaysia itu bakal menjadi ruang kondusif bagi semua yang berjiwa seni untuk mencurahkan idea masing-masing.
Menurut beliau, adalah amat penting sekiranya platform kesenian di mukim Kampar yang amat meluas interpretasinya itu diusahakan bersama oleh generasi muda dan yang lebih berpengalaman.
"Kalau kita teliti dari sudut seni, ada banyak perbezaannya di antara ilham, karya dan hasil kerja antara golongan muda dan tua, namun itu tidak menjadi halangan untuk mereka menggembeling tenaga menaikkan perkampungan seni ini bersama.
"Setakat ini saya lihat, mana-mana program kolaborasi di antara kedua-dua generasi telah mencetuskan idea kesenian yang cukup kreatif, versatil dan merangkumi kepelbagaian genre dan sumber," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam 'Inspirasi Kreatif' Yayasan Perkampungan Karyawan Malim (YKKM) di Amanjaya Convention Centre, Hotel Casuarina Meru pada malam Jumaat.
Turut hadir memeriahkan majlis, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli. Dr Zambry turut tidak melepaskan peluang untuk menonjolkan bakat terpendam dengan mendeklamasikan sebuah sajak khas sempena majlis itu sebelum melancarkan buku bertajuk "Memoir: Di Sudut Duniaku" dan album "Benarkah Laut itu Biru" hasil nukilan Pak Malim.
Pengerusi YKKM, Mohamed Ghozali Abdul Rashid atau lebih dikenali dengan nama pentas, Pak Malim, meluahkan rasa syukur dan terima kasih terhadap kerajaan negeri yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada perjuangan seni di negeri ini.
"Saya hanya boleh mengucapkan syukur dan akan memastikan impian perkampungan seni yang ditubuhkan untuk mengumpulkan seniman tempatan dan antarabangsa dapat menjadi nyata," katanya kepada Peraknews.
Beliau yang amat terkenal dengan sajak seperti 'Pentas', 'Hampa' dan pelbagai lagi karya agung, berpesan kepada generasi baru untuk tidak mudah mengalah dalam memperbaiki sebarang cacat cela dalam hasil seni dan sentiasa berkongsi idea bersama mereka yang lebih pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

Thursday 21 May 2015

Filipina mahu terus tuntut Sabah dari Malaysia – Presiden Aquino



Filipina tidak berhasrat untuk menggugurkan tuntutan terhadap Sabah, sebaliknya akan melakukan kajian terperinci sebelum mengambil tindakan lanjut berhubung isu tersebut.
Menurut transkrip wawancara Presiden Filipina, Benigno Aquino III dengan wartawan akhbar Philippine Star, Raussa Robles, mustahil untuk menamatkan tuntutan itu kerana perkara tersebut akan mengundang rasa tidak senang rakyat Filipina.
Jelas Aquino, Setiausaha Kehakiman, Leila de Lima telah menjalankan kajian tentang perkara itu dan berpendapat tuntutan Sabah adalah antara isu paling besar dalam penentuan hak dan maruah negara ini.
“Isu tuntutan Sabah ini sangat luas kerana melibatkan sejarah. Pada akhirnya, adakah orang yang tinggal disana akan ditanya sama ada mereka mahu kekal bersama Malaysia? Sepatutnya ada pungutan suara terlebih dulu,” katanya.
Filipina mengekalkan tuntutan wilayah di timur Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara dengan menyatakan penjanjian yang ditandatangani pada tahun 1878 antara Sultan Sulu dan Borneo Utara adalah pajakan semata-mata.
Malaysia mentafsirkan perjanjian 1878 sebagai satu penyerahkan dan merasakan rakyat di Sabah telah menentukan nasib mereka dengan menyertai Tanah Melayu pada tahun 1963.
Aquiono berkata, beliau tidak akan membiarkan media memainkan isu itu.
“Saya pernah diberitahu sebelum ini ada pungutan suara dan rata-rata mereka mahu kekal di Malaysia,” katanya.-18/5/2015/agendadaily

Wednesday 20 May 2015

MT UMNO Nyata Sokongan Terhadap PM, TPM



KUALA LUMPUR: Majlis tertinggi UMNO hari ini menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Meskipun diasak dengan pelbagai permasalahan serta isu-isu panas sejak kebelakangan ini, namun Najib selaku Perdana Menteri masih mendapat sokongan penuh dalam kalangan anggota UMNO.
Najib berkata, barisan kepimpinan UMNO mahu semua pemimpin bersatu bagi menangani cabaran dalam memperkukuhkan lagi parti itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di sini, petang tadi.
Ujarnya segala khabar angin yang tersebar sebelum mesyuarat berlangsung terbukti tidak benar dan pihak yang menyebarkan hal itu semestinya akan kecewa dengan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat hari ini.
Dalam pada itu, ujarnya, beliau telah mengadakan satu pertemuan secara peribadi bersama dengan Muhyiddin bagi membincangkan perihal parti itu.
Beliau turut menghargai segala idea bernas yang disampaikan oleh Timbalan Presiden Parti itu dalam mesyuarat Majlis Tertinggi yang berlangsung, hari ini.
Tegasnya, beliau akan memastikan tiada usaha untuk memecah belahkan pimpinan parti itu dilakukan khususnya terhadap beliau dan Muhyiddin.

Tuesday 19 May 2015

Setiap Perdana Menteri Lakukan Yang Terbaik Untuk Negara – Najib


KLANG: Setiap perdana menteri melakukan yang terbaik serta mempunyai jasa dan sumbangan buat negara pada zaman masing-masing, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Apa yang penting, (ialah) untuk kita lakukan yang terbaik dalam zaman kita kerana sejarah akan menilai kita, dan saya berazam untuk melakukan terbaik untuk rakyat,” katanya pada majlis ‘Sepetang bersama Perdana Menteri’ anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Selangor dengan kerjasama Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini, Sabtu.
Najib berkata: “Kita tahu jasa Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri PertamaTunku Abdul Rahman Putra Al-haj) kepada negara. Saya tidak boleh kata (saya) lebih baik daripada (ayahanda) Abdul Razak (Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein) dan juga pemimpin-pemimpin lain yang menjadi perdana menteri.”
Sehubungan itu, katanya, beliau tidak menganggap dirinya sebagai perdana menteri yang terbaik berbanding lima perdana menteri sebelum ini.
Najib mengulas kenyataan Yang Dipertua Mubarak Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar dalam ucapan aluannya yang menganggap beliau sebagai perdana menteri terbaik berbanding perdana-perdana menteri Malaysia sebelum ini.
Turut hadir Pengerusi UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar serta kira-kira 2,000 orang tetamu. Najib berkata beliau tidak mempunyai niat lain dalam menjalankan tugasnya memimpin negara selain berusaha dengan terbaik untuk bersikap telus kepada rakyat.
Malah, katanya usaha kerajaan melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah membantu dalam perkembangan ekonomi negara.
“Dari segi ETP dan GTP, kita telah capai kadar 6 peratus. Beberapa negara boleh capai kadar itu? Kita boleh bilang dengan jari sebelah tangan dan kita telah atasi banyak negara lain.
“Malah, sejak saya jadi perdana menteri, kadar penambahan GNI (ukuran kekayaan negara) dalam tempoh lima tahun bertambah 49 peratus dan ini bererti kekayaan negara kita telah bertambah,” katanya.
Najib turut mengulangi komitmennya untuk melakukan yang terbaik buat rakyat dan negara, walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kritikan daripada pelbagai pihak.
Mengulas mengenai kritikan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadapnya, beliau berkata setiap perdana menteri mempunyai cabaran dan ujian tersendiri ketika zaman masing-masing termasuk Dr Mahathir.
“Ketika berdepan ujian UMNO diharamkan pada 1987, Dr Mahathir berkata jika beliau menang satu undi pun, beliau akan tetap jadi perdana menteri…dan walaupun hampir 50 peratus anggota UMNO tolak kepimpinannya, beliau tetap tidak turun.
“Maknanya, saya juga amalkan prinsip yang sama. Kalau hari ini saya dapat sokongan, kenapa saya patut turun? Saya dipilih melalui proses demokrasi dan yang pilih saya ialah anda semua,” katanya.
Mengenai sistem pemilihan baharu UMNO dengen meminda Perlembagaan parti itu pada 2009 dan dilaksanakan pada pemilihan jawatan parti itu pada 2013, Najib berkata ia dilakukan bagi menjamin pemilihan yang lebih telus dan terbuka termasuk dalam pemilihan jawatan tertinggi parti.
“Jika ikut perlembagaan UMNO dahulu, kalau nak cabar presiden parti mesti dapat minimum undi daripada 63 bahagian. Jadi, Dr Mahathir bolehlah kekal selama 22 tahun menjadi presiden parti dan perdana menteri bila guna perlembagaan macam itu.
“Saya bagaimanapun nak UMNO lebih terbuka di mana kita biar, jika ada orang nak bertanding (untuk jawatan presiden parti) tetapi Alhamdulillah, saya menang tanpa bertanding dan saya tidak bergantung kepada kuota atau undi bonus,”katanya.
Sebelum pindaan Perlembagaan UMNO pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 Bahagian UMNO.
Mengulangi falsafah Bugis yang berbunyi “walau bumi berkeping dua, tak kanmungkin ku berbalik haluan’ sebagai pegangannya, Najib menegaskan beliau tetap meneruskan perjuangannya bukan kerana kuasa tetapi kerana iltizamnya untuk melakukan sebaik mungkin,termasuk meneruskan agenda dalam memastikan Malaysia mencapai status negara maju menjelang 2020.
“Agenda untuk pastikan UMNO dan BN terus berkuasa di bumi bertuah ini jugawajib kita perjuangkan. Kita akan rapatkan barisan kita dan berusaha lebih gigih lagi untuk pastikan PRU (Pilihan Raya Umum) ke-14, BN akan berjaya seterusnya pastikan bumi Malaysia ini terus dipimpin oleh BN,” katanya bersemangat sambil disambut dengan sorakan padu daripada mereka yang hadir.
-mstar

Monday 18 May 2015

YBU Bantu Ringankan Kesulitan Warga Emas



Kesulitan yang dialami seorang warga emas yang terpaksa menggunakan lilin di waktu malam selepas bekalan elektrik di rumahnya terputus lebih dua minggu lalu mendapat perhatian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).
Selain membantu membiayai pendawaian semula di rumah Haneam Azahar Harun, 75, di Kampung Sungai Rokam, YBU turut membersihkan kawasan sekeliling rumah warga emas itu.
Seramai 15 sukarelawan YBU bersama-sama empat anggota RELA menebang pokok, memotong rumput dan membersihkan sampah sarap di sekeliling rumah tersebut pada Jumaat.
Haneam menceritakan, rumahnya terputus bekalan elektrik kerana disambar kilat kira-kira dua minggu lalu ketika dia dan beberapa cucu dan cicitnya berada di dalam rumah, sekitar jam 4 petang.
Lebih menyukarkan ibu tunggal itu, dia terpaksa turun naik tangga di rumahnya dengan hanya ditemani cahaya lilin dan mengheret kaki kirinya yang lemah akibat sekarang strok sejak tahun 2008.
"Opah terpaksa mengheret kaki kirinya untuk turun naik tangga, kususnya untuk ke dapur," kata cucunya, Siti Zainab Zainal, 21, yang sedang sarat mengandung yang menemani neneknya sejak beberapa hari lalu.
Menurut Siti Zainab, pada waktu siang, neneknya tidak menghadapi masalah kerana lazimnya akan ditemani beberapa orang cucu dan cicit, tetapi akan berseorang selepas mereka balik ke rumah masing-masing pada waktu malam.
Sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada YBU kerana tampil membantu neneknya yang hanya mendapat bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal.
Sementara itu, Pengurus Unit Hubungan Antarabangsa dan Sukarelawan YBU, Mohd Jeffery Abd Hamid berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kesulitan Haneam daripada sukarelawan YBU, Fauziah Mohamad, 43, yang juga anak keempat ibu tunggal itu.
"Kita agak kesal kerana wakil rakyat di sini membiarkan warga emas ini bergelap selama dua minggu, sepatutnya wakil rakyat perlu lebih peka dengan masalah rakyat, jangan hanya datang ketika hendak undi sahaja," ujarnya.
Jeffery berkata, selain membiayai kos pendawaian semula, pihaknya akan cuba membantu membaik pulih rumah warga emas itu yang kelihatan usang.
Dalam pada itu, ketua kampung Sungai Rokam, Yahya Zainuddin memberitahu, selain memanjangkan permohonan bantuan, pihaknya juga akan cuba membantu ibu tunggal itu melalui pejabat Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim.

Sunday 17 May 2015

'Terima Kasih Cikgu' - Dr Zambry



Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada sekalian guru yang mengajar dengan penuh dedikasi di negeri Perak dan juga di mana mereka berada,
Guru yang terus mendidik anak-anak kita daripada awal hinggalah ke peringkat tinggi dalam memastikan kejayaan anak-anak, sama ada dalam kehidupan mereka, mahupun dalam membentuk keperibadian mereka menjadi manusia yang baik, manusia yang sempurna.
Jasa para guru terlalu besar dan kita tahu bahawa guru sentiasa menjadi pembimbing, menjadi pembawa obor bagi melahirkan generasi-generasi yang berguna untuk negara kita.
Oleh yang demikian, saya mewakili kerajaan negeri mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru dan Terima Kasih Cikgu.

Saturday 16 May 2015

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35 Selesai



Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengisytiharkan segala kerja berkaitan pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV sejak 3 Mei lalu telah selesai sepenuhnya.
Bertitah dalam Istiadat Menutup Kerja di Istana Iskandariah pada Ahad, baginda menzahirkan penghargaan kepada kesemua pihak terlibat menjayakan acara-acara yang telah disusun sepanjang istiadat pertabalan.
Baginda bertitah, kehadiran rakyat jelata yang keluar beramai-ramai menyambut keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di setiap tempat yang diziarahi dan majlis, amat dihargai. “Kehadiran rakyat jelata adalah hadiah amat berharga kepada Beta dan Raja Permaisuri.
“Kepada Allah Subhanahu Wata’ala hamba-Mu pohonkan rahmat pertolongan untuk membolehkan kasih sayang rakyat itu dibalas dengan limpahan rezeki dari Mu kepada mereka,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, pengalaman melawat makam dan menjejakkan kaki di Beting Beras Basah dalam istiadat pertabalan juga telah menginsafkan baginda dan baginda amat beryukur kepada Allah di atas penganjaran diperolehi.
Titah baginda, pengalaman dalam istiadat pertabalan itu telah menginsafkan baginda kepada tiga perkara. “ Pertama: darjat dan jawatan di dunia adalah sementara sifatnya, setiap insan akan dikembalikan kepada asal usul kejadiannya oleh ALLAH yang Maha Pencipta, dari tanah kita dicipta kepada tanah kita kembali.
“Kedua: setiap seorang Sultan terdahulu telah berjasa dan masing-masing mencipta sejarah pemerintahan. "Oleh itu, Sultan yang terkemudian tidak wajar bersifat membesar diri, membelakangi mereka, tetapi wajib mengambil pengajaran daripada pengalaman Sultan terdahulu untuk dijadikan pedoman," titah baginda.
Ketiga, baginda bertitah, menjejak kaki di Beting Beras Basah dan pengalaman menziarahi makam membawa minda baginda mengimbas peristiwa silam, betapa susah payah Sultan-sultan terdahulu dengan kemudahan yang sangat terbatas, mengasaskan sebuah negeri dan sebuah pemerintahan.
“Kejayaan Marhum-marhum itu membangunkan sebuah negeri berdaulat, negeri beraja-rakyat bersultan yang warganya terdiri daripada segala lapisan rakyat yang begitu pelbagai tetapi hidup bersatu di bawah payung naungan pemerintahan seorang Sultan. Jasa bakti Marhum-marhum itu tidak harus dimusnahkan.
“Pada hari ini adalah menjadi tanggung jawab besar hamba-Mu ini untuk memberikan payung naungan pemerintahan yang dapat menyatukan rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, politik dan usia agar terus kekal bersatu, hidup dalam harmoni dan saling bekerjasama memakmurkan negeri Perak Darul Ridzuan,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, jalinan kerjasama yang tinggi antara pelbagai jabatan, agensi dan individu dalam menjayakan istiadat itu juga perlu diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan Perak.
Istiadat pertabalan itu telah berlangsung selama 15 hari bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada 3 Mei lepas.

Friday 15 May 2015

Istiadat Menutup Kerja Pertabalan Tuanku Sultan Perak



Istiadat Menutup Kerja Pertabalan Tuanku Sultan Perak. Tuanku sebak ketika bertitah betapa Baginda menghargai rakyat jelata sanggup berpanas & berhujan sambut Baginda ketika ziarah ke makam-makam. Baginda mendoakan agar seluruh rakyat jelata dilimpahi rezeki yg mencurah-curah dr Allah SWT. Daulat Tuanku!

Thursday 14 May 2015

Ziarah kasih di Kampung Matang Jelutung Dun Alor Pongsu



















Dato Sham Mat Sahat Serta Rombongan Umno Bahagian Bagan Serai Dan Dun Alor Pongsu Melakukan lawatan  Ziarah kasih di Kampung Matang Jelutung Dun Alor Pongsu.Alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar dan baik serta Terima kasih kepada semua yang terlibat.Insyallah Dengan bantuan yang di berikan ini dapatlah meringankan beban penduduk miskin serta yang memerlukan amin.

Wednesday 13 May 2015

Sudut Pandang Hishammuddin Isu 1MDB, Tabung Haji



Berikut merupakan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, selaku Menteri Pertahanan dan Naib Presiden UMNO berhubung isu 1MDB :-
Isu 1MDB merupakan isu hangat yang menjadi perhatian dan tumpuan rakyat Malaysia ketika ini. Justeru, bagi saya kerajaan sememangnya harus menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan untuk menangkis persepsi negatif berkenaan syarikat pelaburan ini.
Selaku Menteri Kabinet dan Naib Presiden UMNO, saya berdiri teguh dengan pendirian saya sebelum ini yang menegaskan bahawa jika ada sebarang salah laku dalam isu 1MDB, tindakan undang-undang harus diambil dengan segera.
Saya berkongsi kegelisahan masyarakat tentang satu pendedahan baru-baru ini berkenaan transaksi hartanah yang signifikan di antara 1MDB dan Tabung Haji Properties di Tun Razak Exchange (TRX). Lembaga Tabung Haji merupakan salah satu institusi yang dihormati, justeru, integriti dan nilai pelabuhan pencarum Tabung Haji perlu dilindungi dan ini seharusnya menjadi prioriti kerajaan. Saya yakin, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji mengambil kira risiko perniagaan dan berusaha untuk memastikan kepentingan terbaik pencarum dari segenap lapisan masyarakat dijamin setiap masa.
Namun demikian, kita perlu segera memadam persepsi negatif dan syak wasangka di pasaran dan pandangan masyarakat bahawa penjualan hartanah 1MDB ini merupakan simptom beban kewangan yang dihadapi oleh syarikat pelaburan tersebut.
Justeru, kita seharusnya mempercepatkan proses untuk mengetahui kedudukan kewangan sebenar 1MDB. Kita tidak seharusnya menunggu sahaja hasil siasatan Ketua Audit Negara. Dalam konteks ini, saya menggesa Ketua Audit Negara segera mengemukakan laporannya dan memanjangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Dan demi menjaga reputasi syarikat pelaburan ini serta menjawab persoalan umum, saya mencadangkan agar lembaga pengarah 1MDB melantik satu lagi firma audit antarabangsa yang bebas untuk memeriksa, memberi verifikasi dan mendedahkan kepada umum nilai semua aset, liabiliti syarikat serta status portfolio pelaburan dan kedudukan aliran tunai.
Firma audit ini juga seharusnya melaksanakan audit forensik kepada semua transaksi 1MDB sejak penubuhannya untuk membantu 1MDB menjawab segala isu yang dibangkitkan. Saya yakin hasil audit bebas ini berserta siasatan Ketua Audit Negara akan dapat membantu 1MDB meyakinkan rakyat tentang status kewangan syarikat pelaburan tersebut.
-Tamat -

Tuesday 12 May 2015

Azmin Biadab Gelar Polis Barua UMNO - Syed Ali



Menteri Besar Selangor, Azmin Ali disifatkan terlalu biadab apabila menuduh polis menjadi barua UMNO dan Barisan Nasional (BN), tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

Tegasnya, PKR kini semakin terdesak sehingga membuat tuduhan kurang siuman terhadap pihak polis dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Tindakan Azmin itu juga berbau hasutan dengan mengajak rakyat membenci pasukan keselamatan.

"Ia satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan terhadap seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Menteri Besar Selangor itu sudah melampau batas dan bersikap kurang ajar apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.

Ketika berucap di satu majlis ceramah politik di Permatang Pauh pada malam Isnin, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dilaporkan sebuah portal bertanya kepada hadirin sekiranya pegawai cawangan khas (SB) turut serta di ceramah itu.

"SB ada di belakang? Kalau ada datang depan. Saya tak takut. Beritahu Ketua Polis Negara, tolonglah, nak jadi Ketua Polis yang menjaga keselamatan rakyat atau nak jadi barua UMNO dan BN?" kata Azmin yang disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.

Selepas itu, Azmin kemudian sekali lagi dilaporkan mengajukan soalan dan meminta hadirin menjawab sama ada Khalid menjaga keselamatan negara atau UMNO.

"Saya nak tanya orang Permatang Pauh, orang Permatang Pauh kena jawab malam ini. Ketua Polis yang ada sekarang menjaga keselamatan negara atau keselamatan UMNO dan BN?" soal Azmin.

Dalam pada itu jelas Syed Ali, penghinaan yang dilakukan Azmin tidak boleh diterima dan sekali gus mencerminkan PKR sangup mengetepikan undang-undang kerana desakan politik.

"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden PKR itu.

"Pembangkang sanggup menghalalkan cara untuk mengekalkan kuasa politik. Azmin sengaja melakukan provokasi jahat bagi mencetuskan kegelisahan orang awam dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap polis.

"Tuduhan Azmin itu amat serius dan jika dibiarkan tanpa tindakan undang-undang, dikhuatiri akan mencetuskan persepsi negatif masyarakat terhadap pasukan keselamatan secara keseluruhannya," tegasnya.

Tambah Syed Ali lagi, tugas pihak polis selama ini tidak mencampuri urusan politik sebaliknya menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam.

"Apabila ada yang langgar undang-undang termasuk dilakukan oleh pemimpin politik, maka pihak polis terpaksa bertindak berasaskan prosedur sedia ada.

"Tuduhan kesat Azmin terhadap pihak polis khususnya kepada Khalid dilihat amat keterlaluan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Syed Ali menegaskan Azmin tidak sepatutnya menggunakan pentas politik  untuk membuat tuduhan terhadap IGP dan mengaitkannya dengan UMNO mahupun BN.

"Mengapa kaitkan UMNO, apakah selama ini orang UMNO tidak ada yang ditahan polis, apakah orang UMNO kebal?

"Sebagai Menteri Besar Selangor, Azmin sepatutnya berfikiran lebih rasional kerana undang-undang sedia ada di negara ini tidak mengecualikan seseorang individu atau kumpulan tertentu.

"Dia (Azmin) sengaja ambil kesempatan dalam ceramah politik untuk melepaskan geram dengan menghina pasukan polis dan Khalid, ini perlakuan yang tidak bermoral," katanya.

Syed Ali turut menyatakan rasa kesal kerana pemimpin pembangkang sering menunding jari kepada pihak polis di atas kesalahan yang mereka lakukan.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sependapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyertai pembangkang walaupun beliau dilihat banyak mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pada hemat saya, tidak mungkin Dr Mahathir akan membelakangkan UMNO walaupun dia dilihat mengkritik kerajaan yang ada sekarang.

"Dr Mahathir merupakan negarawan dan pemimpin UMNO yang sayangkan kepada parti dan rakyat serta negara ini.

"Selama ini pembangkang sengaja memutarbelitkan teguran Dr Mahathir dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyebelahi mereka," katanya.

Jelasnya, pembangkang juga dilihat sengaja memperalatkan nama Dr Mahathir untuk meraih sokongan seperti yang didakwa dakwaan Mukhriz kononnya Dr Mahathir akan turun ke PRK Rompin dan menyertai perhimpunan haram di Sogo baru-baru ini.