YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Friday 22 May 2015

Perak Terus Perkasa Seni Budaya

Perak terus memacu pemerkasaan seni dan kebudayaan dengan pembangunan projek Kampung Karyawan Malim yang akan direalisasikan dengan kerjasama kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi berkata, pihaknya berharap perkampungan kesenian,kesusasteraan dan karya yang pertama di Malaysia itu bakal menjadi ruang kondusif bagi semua yang berjiwa seni untuk mencurahkan idea masing-masing.
Menurut beliau, adalah amat penting sekiranya platform kesenian di mukim Kampar yang amat meluas interpretasinya itu diusahakan bersama oleh generasi muda dan yang lebih berpengalaman.
"Kalau kita teliti dari sudut seni, ada banyak perbezaannya di antara ilham, karya dan hasil kerja antara golongan muda dan tua, namun itu tidak menjadi halangan untuk mereka menggembeling tenaga menaikkan perkampungan seni ini bersama.
"Setakat ini saya lihat, mana-mana program kolaborasi di antara kedua-dua generasi telah mencetuskan idea kesenian yang cukup kreatif, versatil dan merangkumi kepelbagaian genre dan sumber," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam 'Inspirasi Kreatif' Yayasan Perkampungan Karyawan Malim (YKKM) di Amanjaya Convention Centre, Hotel Casuarina Meru pada malam Jumaat.
Turut hadir memeriahkan majlis, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli. Dr Zambry turut tidak melepaskan peluang untuk menonjolkan bakat terpendam dengan mendeklamasikan sebuah sajak khas sempena majlis itu sebelum melancarkan buku bertajuk "Memoir: Di Sudut Duniaku" dan album "Benarkah Laut itu Biru" hasil nukilan Pak Malim.
Pengerusi YKKM, Mohamed Ghozali Abdul Rashid atau lebih dikenali dengan nama pentas, Pak Malim, meluahkan rasa syukur dan terima kasih terhadap kerajaan negeri yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada perjuangan seni di negeri ini.
"Saya hanya boleh mengucapkan syukur dan akan memastikan impian perkampungan seni yang ditubuhkan untuk mengumpulkan seniman tempatan dan antarabangsa dapat menjadi nyata," katanya kepada Peraknews.
Beliau yang amat terkenal dengan sajak seperti 'Pentas', 'Hampa' dan pelbagai lagi karya agung, berpesan kepada generasi baru untuk tidak mudah mengalah dalam memperbaiki sebarang cacat cela dalam hasil seni dan sentiasa berkongsi idea bersama mereka yang lebih pakar dan berpengalaman dalam bidang masing-masing.

No comments:

Post a Comment