YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 16 May 2015

Istiadat Pertabalan Sultan Perak Ke-35 Selesai



Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengisytiharkan segala kerja berkaitan pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV sejak 3 Mei lalu telah selesai sepenuhnya.
Bertitah dalam Istiadat Menutup Kerja di Istana Iskandariah pada Ahad, baginda menzahirkan penghargaan kepada kesemua pihak terlibat menjayakan acara-acara yang telah disusun sepanjang istiadat pertabalan.
Baginda bertitah, kehadiran rakyat jelata yang keluar beramai-ramai menyambut keberangkatan baginda bersama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim di setiap tempat yang diziarahi dan majlis, amat dihargai. “Kehadiran rakyat jelata adalah hadiah amat berharga kepada Beta dan Raja Permaisuri.
“Kepada Allah Subhanahu Wata’ala hamba-Mu pohonkan rahmat pertolongan untuk membolehkan kasih sayang rakyat itu dibalas dengan limpahan rezeki dari Mu kepada mereka,” titah baginda.
Sultan Nazrin bertitah, pengalaman melawat makam dan menjejakkan kaki di Beting Beras Basah dalam istiadat pertabalan juga telah menginsafkan baginda dan baginda amat beryukur kepada Allah di atas penganjaran diperolehi.
Titah baginda, pengalaman dalam istiadat pertabalan itu telah menginsafkan baginda kepada tiga perkara. “ Pertama: darjat dan jawatan di dunia adalah sementara sifatnya, setiap insan akan dikembalikan kepada asal usul kejadiannya oleh ALLAH yang Maha Pencipta, dari tanah kita dicipta kepada tanah kita kembali.
“Kedua: setiap seorang Sultan terdahulu telah berjasa dan masing-masing mencipta sejarah pemerintahan. "Oleh itu, Sultan yang terkemudian tidak wajar bersifat membesar diri, membelakangi mereka, tetapi wajib mengambil pengajaran daripada pengalaman Sultan terdahulu untuk dijadikan pedoman," titah baginda.
Ketiga, baginda bertitah, menjejak kaki di Beting Beras Basah dan pengalaman menziarahi makam membawa minda baginda mengimbas peristiwa silam, betapa susah payah Sultan-sultan terdahulu dengan kemudahan yang sangat terbatas, mengasaskan sebuah negeri dan sebuah pemerintahan.
“Kejayaan Marhum-marhum itu membangunkan sebuah negeri berdaulat, negeri beraja-rakyat bersultan yang warganya terdiri daripada segala lapisan rakyat yang begitu pelbagai tetapi hidup bersatu di bawah payung naungan pemerintahan seorang Sultan. Jasa bakti Marhum-marhum itu tidak harus dimusnahkan.
“Pada hari ini adalah menjadi tanggung jawab besar hamba-Mu ini untuk memberikan payung naungan pemerintahan yang dapat menyatukan rakyat yang berbilang agama, berbilang kaum, berbilang budaya dari pelbagai latar belakang sosial, ekonomi, politik dan usia agar terus kekal bersatu, hidup dalam harmoni dan saling bekerjasama memakmurkan negeri Perak Darul Ridzuan,” titah baginda.
Selain itu, Sultan Nazrin bertitah, jalinan kerjasama yang tinggi antara pelbagai jabatan, agensi dan individu dalam menjayakan istiadat itu juga perlu diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan Perak.
Istiadat pertabalan itu telah berlangsung selama 15 hari bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada 3 Mei lepas.

No comments:

Post a Comment