YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Tuesday 26 May 2015

KADIR Hantar Bantuan Kepada Pelarian Rohingya

Sebagai tanda simpati terhadap penderitaan yang dialami pelarian Rohingya, Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) akan menghantar bantuan kemanusiaan mulai hari ini (Selasa).
Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad berkata, Misi Bantuan Masyarakat Rohingya itu adalah sebahagian daripada program Kembara Ummah yang dilaksanakan yayasan berkenaan untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik.
Menurut beliau, sebagai permulaan, sukarelawan KADIR yang diketuai, Mohd Najib Datuk Ahmad akan menghantar satu lori tiga tan bantuan dalam bentuk makanan dan pakaian ke depoh pengumpulan di Pejabat Imigresen Anak Bukit di Kedah.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak, termasuk badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghulurkan apa sahaja bantuan untuk disalurkan kepada pelarian berkenaan.
"Kita terima apa sahaja, pakaian, makanan, minuman dan wang tunai untuk disalurkan kepada saudara kita yang melarikan diri demi untuk meneruskan kehidupan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Ipoh pada Selasa.
Beliau berkata, mereka yang berminat untuk menghulurkan sumbangan boleh menghantar terus ke pejabat KADIR di Meru, Ipoh atau menghubungi Pengurus Besar KADIR, Datuk Abdul Jamil Mat Kasa (no. h/p : 012-5241121) atau Mohd Najib (013-3033298).
Azhar memberitahu, program seumpama itu bukanlah pertama kali dianjurkan oleh KADIR, sebaliknya telah beberapa kali dilaksanakan oleh pihaknya, yang mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menurut beliau, ketika program pertama yang dianjurkan beberapa tahun lalu, kira-kira RM60,000 berjaya dikumpulkan yang kemudiannya diagihkan untuk bantuan rakyat Palestin di Gaza dan masyarakat Rohingya di Mynmar.
"Kerajaan negeri sentiasa sangat prihatin terhadap nasib yang menimpa golongan yang kurang bernasib baik, itu sebab kita sebagai NGO di negeri ini sentiasa tampil untuk membantu pada bila-bila masa," ujar beliau.
Sementara itu, tinjauan Peraknews mendapati beberapa sukarelawan KADIR sedang menjalankan kerja-kerja memuatkan bantuan itu ke dalam lori sebelum dihantar ke Kedah.

No comments:

Post a Comment