YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 27 May 2015

Bantu Pantau Gejala Negatif



Ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau diminta menjadi mata dan telinga pihak berkuasa untuk memantau kegiatan yang bertentangan dengan Islam dan gejala negatif seperti ajaran sesat dan masalah sosial.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mereka perlu menyalurkan maklumat yang diperolehi kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam dan polis.
Menurut beliau, sebagai orang yang berada di lapangan, AJK masjid dan surau sepatutnya tahu apa yang berlaku di sekeliling mereka dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu mengatasinya.
"Mereka bukan hanya menjaga pengurusan masjid dan surau tetapi memantau apa yang berlaku di peringkat akar umbi di negeri ini," katanya selepas merasmikan Surau Nur Hidayah, Ban Abu Hassan di Alor Pongsu pada Rabu.
Drs Nizar berpendapat, masjid dan surau perlu dijadikan platform untuk 'check and balance' dalam kehidupan masyarakat setempat, baik dalam soal keagamaan, mahupun dalam kehidupan seharian.
"Jangan jadikan rumah ibadat kita sebagai tempat untuk memecah-belahkan ummah dengan menabur fitnah, singkirkan perkara-perkara negatif yang merugikan kita sendiri," ujarnya.
Menurut beliau, di samping kegiatan keagamaan, jawatankuasa masjid dan surau juga hendaklah bijak mengatur pelbagai program untuk merapatkan silaturrahim melalui kerjasama dengan pihak-pihak lain seperti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan penghulu.
Beliau memberi jaminan, kerajaan negeri sentiasa prihatin dan sentiasa berusaha untuk menyediakan kemudahan beribadah yang baik, termasuk membaik pulih atau membina surau dan masjid baharu.
Beliau memberitahu, setakat ini, terdapat 601 buah masjid, 60 buah surau diri Jumaat dan 1,973 surau di seluruh negeri.
"Bilangan ini membuktikan keprihatinan kerajaan negeri untuk menyediakan kemudahan tempat ibadat yang selesa kepada umat Islam, baik di bandar, mahupun di kampung-kampung," ujarnya.

No comments:

Post a Comment