YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Monday 18 May 2015

YBU Bantu Ringankan Kesulitan Warga Emas



Kesulitan yang dialami seorang warga emas yang terpaksa menggunakan lilin di waktu malam selepas bekalan elektrik di rumahnya terputus lebih dua minggu lalu mendapat perhatian Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).
Selain membantu membiayai pendawaian semula di rumah Haneam Azahar Harun, 75, di Kampung Sungai Rokam, YBU turut membersihkan kawasan sekeliling rumah warga emas itu.
Seramai 15 sukarelawan YBU bersama-sama empat anggota RELA menebang pokok, memotong rumput dan membersihkan sampah sarap di sekeliling rumah tersebut pada Jumaat.
Haneam menceritakan, rumahnya terputus bekalan elektrik kerana disambar kilat kira-kira dua minggu lalu ketika dia dan beberapa cucu dan cicitnya berada di dalam rumah, sekitar jam 4 petang.
Lebih menyukarkan ibu tunggal itu, dia terpaksa turun naik tangga di rumahnya dengan hanya ditemani cahaya lilin dan mengheret kaki kirinya yang lemah akibat sekarang strok sejak tahun 2008.
"Opah terpaksa mengheret kaki kirinya untuk turun naik tangga, kususnya untuk ke dapur," kata cucunya, Siti Zainab Zainal, 21, yang sedang sarat mengandung yang menemani neneknya sejak beberapa hari lalu.
Menurut Siti Zainab, pada waktu siang, neneknya tidak menghadapi masalah kerana lazimnya akan ditemani beberapa orang cucu dan cicit, tetapi akan berseorang selepas mereka balik ke rumah masing-masing pada waktu malam.
Sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada YBU kerana tampil membantu neneknya yang hanya mendapat bantuan bulanan RM300 daripada Baitulmal.
Sementara itu, Pengurus Unit Hubungan Antarabangsa dan Sukarelawan YBU, Mohd Jeffery Abd Hamid berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kesulitan Haneam daripada sukarelawan YBU, Fauziah Mohamad, 43, yang juga anak keempat ibu tunggal itu.
"Kita agak kesal kerana wakil rakyat di sini membiarkan warga emas ini bergelap selama dua minggu, sepatutnya wakil rakyat perlu lebih peka dengan masalah rakyat, jangan hanya datang ketika hendak undi sahaja," ujarnya.
Jeffery berkata, selain membiayai kos pendawaian semula, pihaknya akan cuba membantu membaik pulih rumah warga emas itu yang kelihatan usang.
Dalam pada itu, ketua kampung Sungai Rokam, Yahya Zainuddin memberitahu, selain memanjangkan permohonan bantuan, pihaknya juga akan cuba membantu ibu tunggal itu melalui pejabat Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim.

No comments:

Post a Comment