YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 30 April 2015

6 Mei Cuti Umum Pertabalan Sultan Perak - MB



Kerajaan Perak mengumumkan tarikh 6 Mei sebagai hari cuti umum di negeri itu sempena Istiadat Pertabalan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Sultan Perak Ke-35. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata kerajaan negeri sudah mewartakan tarikh berkenaan yang jatuh pada Rabu sebagai cuti umum. Beliau mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di sini, sebentar tadi.

Wednesday 29 April 2015

Program Kembara Qiam Bersama Menteri Besar

Yayasan Pembangunan Islam Darul Ridzuan (KADIR) melaksanakan satu lagi aktiviti tahun ini, Kembara Qiam Bersama Menteri Besar, sebagai tambahan kepada pelbagai program yang dianjurkan sejak lebih lima tahun lalu.
Pengerusinya, Datuk Azhar Ahmad berkata, sebagai permulaan, program akan diadakan di Majlis Felda Besout 1 di Daerah Batang Padang, pada 1 Mei ini.
Menurut beliau, sekiranya tiada halangan, program itu akan diadakan dua kali sebulan, dengan pelbagai aktiviti seperti tazkirah oleh Menteri Besar dan pemeriksaan kesihatan.
"Buat pertama kalinya, kita akan membawa ambulans KADIR bersama-sama pasukan doktor sukarelawan KADIR untuk melakukan pemeriksaan kesihatan," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini pada Isnin.
Menurut Azhar, selain daripada tazkirah Dr Zambry yang diadakan selepas solat Subuh, aktiviti lain yang turut diadakan ialah zikir munajat bersama-sama anak-anak tahfiz, ramah mesra dan sarapan bersama rakyat.
Beliau menambah, Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) juga akan melaksanakan beberapa aktiviti seperti Kedai Bergerak 1 Amanjaya dan penyerahan kiosk Amanjaya.
Di samping itu, kata Azhar, Menteri Besar turut akan melakukan upacara pecah tanah projek Dewan Semaibakti Felda Besout 2
Beliau berharap penduduk yang tinggal di sekitar kawasan tersebut dapat bersama-sama menghadiri program itu dan mengambil bahagian di dalam aktiviti yang akan diadakan.
Azhar memberitahu, selain daripada kemudahan ambulan yang bernilai kira-kira RM200,000, KADIR juga bercadang untuk menyediakan kemudahan van jenazah bagi memberi perkhidmatan kepada golongan yang memerlukan.

Tuesday 28 April 2015

Perak Dalam Proses Wujud DUN Belia Negeri



Kerajaan negeri Perak kini dalam proses membuat kaji selidik tentang pewujudan Dewan Undangan Negeri (DUN) Belia Negeri Perak.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, pewujudan DUN Belia Negeri Perak mengambil iktibar daripada Parlimen Belia Malaysia yang telah ditubuhkan baru-baru ini.
Beliau mahukan supaya DUN Belia itu nanti akan mewakili semua peringkat belia mengikut agama dan etnik termasuk golongan orang asli, pemimpin pelajar dan golongan profesional.
"Saya mengharapkan ia akan menjadi satu kumpulan pemikir belia sebagaimana yang diaspirasikan dalam Gagasan Perak Amanjaya," katanya semasa berucap merasmikan Festival Belia Perak di Kompleks Belia dan Sukan Negeri di Ipoh pada Sabtu.
Dr Zambry juga mahukan supaya Festival Belia Perak 2015 itu dijadikan festival penyerlahan bakat (Festival of Talent) yang dimulakan pada tahun ini.
Beliau juga mahukan supaya ianya dikembangkan lagi memandangkan Perak mempunyai ramai golongan belia yang berbakat yang perlu diketengahkan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya ketika diminta mengulas isu DUN Belia Perak berkata, beliau tidak mahu isu DUN Belia ini dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
"Buat masa ini kita berfikiran tidak perlu mengadakan proses pilihan raya untuk memilih ahli-ahli DUN Belia ini tetapi cukup sekadar majlis-majlis belia daerah menamakan wakil ataupun calon yang difikirkan sesuai dan kita akan membuat sesi temuduga dan sebagainya," ujarnya.
Katanya, pihaknya akan meminta persatuan-persatuan belia OKU dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk mengemukakan calon-calon yang sesuai menjadi ahli DUN Belia Negeri Perak.
"Kita turut akan memilih calon-calon belia yang tidak berpersatuan tetapi mereka mempunyai kumpulan dan minat yang tertentu yang perlu diwakili menjadi ahli DUN Belia Negeri Perak," tambahnya.
Shahrul Zaman juga berkata, sidang DUN Belia Negeri ini akan bersidang pada tahun ini dengan diwakili seramai 63 orang ahli Dewan.
Pada majlis itu Dr Zambry telah menyampaikan mok cek RM500,000 kepada Majlis Belia Negeri Perak untuk tujuan pengupayaan generasi muda.

Monday 27 April 2015

Pertunjukan Tatu Sempena Pertabalan Sultan Perak

Pertunjukan tatu sempena Pertabalan Sultan Perak yang akan berlangsung pada 16 Mei depan di Stadium Indera Mulia, Ipoh bakal menjanjikan pengalaman unik kepada para pengunjung.
Panglima 2 Briged, Brigedier Jeneral Mohammad Ab. Rahman berkata, pertunjukan gabungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu akan bercirikan kenegerian Perak dan dijangka bakal menarik lebih 20,000 pengunjung.
"Selepas berpuluh tahun kewujudan Tatu, pada kali ini ia akan diadakan dengan mengambil kira objektifnya iaitu sempena pertabalan Sultan Perak yang baharu.
"Ianya akan menyajikan persembahan lagu-lagu negeri ini, tarian kebudayaan dan gimik pelancaran yang sangat unik daripada sebelum ini," katanya ketika perasmian promosi program itu di Lapang Sasar 2 Rejimen Renjer Diraja Kem Syed Putra Ipoh pada Khamis.
Beliau menambah, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim turut berkenan berangkat menyaksikan pertunjukan itu.
Kata beliau, antara pengisian menarik sepanjang program itu ialah persembahan pancaragam dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Polis Diraja Malaysia, pertunjukkan Gimnastik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pertunjukkan kepakaran Gerak Khas ATM.
"Ianya akan melibatkan 1,430 anggota yang akan menjayakan tatu ini termasuk dari ATM, PDRM serta orang awam.
"Pada 14 Mei ini juga, kita sudah mulakan pameran-pameran yang melibatkan ATM dan juga kerjaya sehingga acara kemuncak iaitu pada 16 Mei," ujarnya.
Tambah beliau, pameran yang bermula 14 hingga 16 Mei itu juga akan melibatkan pameran kesenjataan, ketenteraan dan kenderaan bersenjata.
Orang ramai dijemput hadir ke program itu yang bermula 14 Mei ini dan acara kemuncaknya pada 16 Mei 2015, jam 7.30 malam.

Sunday 26 April 2015

Raja Permaisuri Luang Masa Ke Program Mari Membaca Bersama



Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melawat Perpustakaan Awam Negeri Perak sempena program Mari Membaca Bersama yang dijalankan serentak di seluruh negara pada Khamis.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Salbiah Mohamed, Yang Dipertua Negeri Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi.
Dalam lawatan itu, baginda meluangkan masa untuk Sesi Berkongsi Cerita yang merupakan sebahagian daripada aktiviti Jom Baca Bersama bersama murid-murid sekolah rendah dan memperdengarkan bacaan buku cerita "Awie dan Shasha ke Sekolah" selama 10 minit kepada kanak-kanak yang hadir.
Program membaca 10 minit tersebut adalah inisiatif yang diterapkan oleh negeri Perak sejak tahun 2008 sempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia pada 23 April.
Dalam pada itu, Tuanku Zara Salim turut menyampaikan hadiah kepada tiga orang penerima Anugerah Pembaca Aktif dan melancarkan E-Library Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Baginda kemudiannya berkesempatan meluangkan masa meninjau persekitaran perpustakaan tersebut di samping beramah mesra bersama murid-murid dari sekolah rendah di sekitar Ipoh.
Rata-rata pelajar dan pengunjung dan perpustakaan berbesar hati kerana berpeluang bersua muka dengan permaisuri kesayangan mereka yang sudi hadir untuk menyempurnakan program bertaraf kebangsaan itu.
Justin Chan Wei Hao, 13 tahun dan adiknya, Joan Chan She Yan, 10, merupakan penerima Anugerah Pembaca Aktif dan ada rahsia di sebalik kejayaan dua beradik ini disamping dorongan ibu bapa mereka.
"Setiap minggu bapa akan temani saya dan adik ke sini, buat latihan dan kerja sekolah. Selain itu kami turut meminjam empat buah buku setiap kali datang ke sini. Rasa seronok dan bangga sebab dapat jumpa Permaisuri dan terima anugerah," katanya.
Justin berjaya menerima anugerah dengan pinjaman dan bacaan sebanyak 233 buah buku dan Joan dengan 275 buah buku.
Chang Boon Kiat, 46 yang merupakan bapa kepada dua beradik itu berkata, galakan perlu diberikan kepada anak-anak dalam menyatakan sokongan dari sudut pembelajaran mereka.
"Minat boleh dipupuk, saya akan pastikan dapat temani mereka di sini mahupun ibu mereka. Ini penting untuk kita tunjuk keprihatinan, barulah mereka ada semangat untuk belajar," katanya.

Saturday 25 April 2015

Isu Dibangkitkan Tun M Perlu Dijelaskan

Isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed perlu diberi penjelasan secara terperinci oleh pihak yang terlibat bagi meredakan keadaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Kementerian Kewangan khususnya perlu memberi penerangan yang lebih terperinci berkenaan soalan-soalan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Menurut beliau, penjelasan yang diberikan akan menyakinkan bukan sahaja Tun Mahathir tetapi juga rakyat.
“Kita sedar dan tahu PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam) akan mempersoalkan tidak lama lagi, di samping itu penjelasan perlu dibuat.
“Penting kepada siapa yang mempunyai maklumat khususnya Kementerian Kewangan dapat menerangkan lebih terperinci tentang perkara-perkara yang dilontarkan,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Kempen Penambahan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Ipoh pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai desakan Tun Dr Mahathir untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya, Shafie memberitahu Mahathir juga pernah bertindak demikian sebelum ini.
“Bukan sahaja ketika Najib tetapi Perdana Menteri sebelum ini juga beliau pernah mendesak perkara yang sama.
“You know Tun Mahathir, you know his character, you know his DNA,” katanya menjawab soalan wartawan.

Friday 24 April 2015

Bersama Penduduk Kampung Pandak Putih










Dato Sham Mat Sahat Beramah Mesra Dengan Penduduk Kampung Pandak Putih,dan disamping itu juga menyelesaikan masalah rakyat yang di alami oleh penduduk di situ.Alhamdullilah semuanya berjalan dengan lancar dan baik amin..


Thursday 23 April 2015

Tuesday 21 April 2015

Majlis pelancaran Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2020











Majlis pelancaran Publisiti & Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Kerian 2020 (Pengubahan) anjuran Majlis Daerah Kerian yang di rasmi oleh YB Dato' Sham Mat Sahat

Monday 20 April 2015

Saya Tidak Mainkan Sentimen Raja' - Dr Zambry


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan beliau tidak bermain sentimen raja tetapi hendak menyampaikan perasaan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang murka di atas perbuatan anggota pembangkang yang berpakaian hitam sempena pembukaan hari pertama Sidang DUN ke-13.
Katanya, beliau juga tidak menggunakan nama Sultan tetapi hendak menyampaikan perasaan baginda yang datang dalam keadaan seronok tiba-tiba bertukar duka apabila melihat anggota-anggota pembangkang berpakaian hitam.
Beliau menyelar anggota pembangkang yang diketuai Datuk Seri Nizar Jamaluddin kerana masih mempertahankan tindakan mereka atas empat perkara termasuk atas dasar solidariti kerana pemenjaraan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Saya sedih melihat YB sekelian tidak langsung menunjukkan rasa hormat kepada seorang raja," katanya semasa menggulung perbahasan ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas titah ucapan Sultan Perak di Sidang DUN Perak pada Isnin.
Sehubungan dengan itu, Dr Zambry berharap ianya dapat dijadikan peringatan kepada semua anggota Dewan agar peristiwa hitam itu tidak berulang lagi di masa akan datang. Pada akhir penutup penggulungannya, Dr Zambry membalas seloka Nga Kor Ming (DAP - Kepayang) pada perbahasan kelmarin yang menyentuh tentang kehancuran Barisan Nasional (BN).
Katanya, seloka yang dilontarkan oleh wakil Kepayang itu semacam ada simbiosis ritual politik antara DAP dan PAS.
"Kepayang melaungkan slogan hancurkan BN dan dan sekutunya menadah tangan berdoa BN dihancurkan, seruan menghancurkan ini saya kira ajaran baru yang dibawa pakatan," ujarnya.
Beliau kemudian membacakan selokanya yang berbunyi:
Pejuang dibawa sarat fitnah
Benda yang baik dikata salah
Mimpi berkuasa mimpi kita hilang
Namun BN Dikasihi Allah
Hancur BN Tempik Kepayang
Tukar kerajaan kerana hasad
Rahmat Allah BN menang
Petanda bakti dinikmati rakyat
Lama mengidam untuk berkuasa
Dendam dan hasad ditanam subur
Tidur sebantal, mimpi berbeza Petanda pakatan akan lebur
Pepatah Melayu banyak yang masyhur
Antaranya nasi menjadi bubur
Insya Allah bukan BN yang bakal hancur
Rasanya pakatan yang bakal terkubur

Sunday 19 April 2015

Perak Sokong Penuh Kepimpinan Najib

Kerajaan negeri Perak menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk terus menerajui negara.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sokongan yang diberikan itu juga seiring dengan sokongan yang dinyatakan oleh Kelab Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BNBBC) Perak baru-baru ini.
Menurut beliau, adalah tidak adil bagi barisan kepimpinan negeri yang berperanan sebagai pentadbir jika tidak bersama-sama dengan pemimpin nombor satu itu dalam mentadbir negara.
"Bayangkan dalam keadaan sukar yang dihadapi oleh Najib kita membiarkan beliau bersendirian. Tentunya adalah tidak adil bagi kita sebagai pentadbir yang mengetuai negeri, tidak bersama dan menyokong beliau," katanya dalam satu sidang media di Ipoh pada Selasa.
Dr Zambry berkata, segala kritikan yang dilemparkan terhadap Najib termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini adalah satu tindakan tidak wajar.
"Itu hanyalah pandangannya, kita yang mentadbir ini perlu teruskan perjuangan dan tak diganggu oleh satu pandangan.
"Selain itu, mengaitkankan beliau dengan kes yang telah pun diputuskan oleh mahkamah, bagaimana perkara seperti itu tiba-tiba menjadi sesuatu yang sahih?" ujar beliau.
Dr. Zambry juga menyatakan keyakinannya bahawa segala tuduhan yang dilemparkan terhadap pemimpin nombor satu negara itu akan terjawab tidak lama lagi.
"Yang paling penting ketika ini adalah meneruskan kecermelangan kepimpinan dan juga membukti serta memperjelaskan bahawa apa yang dilemparkan itu adalah tidak benar. Saya percaya Perdana Menteri akan melakukan kesemuanya itu," kata beliau.

Saturday 18 April 2015

UMNO Perak Sebulat Suara Berdiri di Belakang PM

UMNO Perak sebulat suara mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan kepimpinan mentadbir Negara bagi kepentingan Negara dan keutuhan parti.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu mesyuarat pada Jumaat juga bersetuju bahawa pendekatan Perdana Menteri dalam menerajui Negara tidak wajar dipertikai dan dikaburi dengan pelbagai persepsi sehingga membawa kepada tuduhan serta fitnah melampau.
Katanya kritikan sedemikian adalah tidak wajar meskipun keterbukaan menerima pandangan, nasihat dan kritikan membina dialu-alukan Perdana Menteri.
Menurutnya lagi kepimpinan beliau dalam membawa perjuangan UMNO yang digagaskan pemimpin terdahulu, merupakan kesinambungan dan menjadi tanggungjawab seluruh ahli parti untuk sama-sama membantu beliau menjayakan agenda parti.
“Maka dengan itu, Badan Perhubungan UMNO Perak berpendapat, kesediaan Perdana Menteri tampil secara terbuka menjawab kritikan, tuduhan dan dakwaan memperlihatkan sikap keterbukaan dan bertanggungjawab beliau sebagai pemimpin.
Justeru, UMNO Perak menyeru semua pihak agar memberikan ruang kepada kepimpinan negara dan parti sekarang untuk melaksanakan agenda transformasi yang sedang berjalan,” kata Menteri Besar itu dalam satu kenyataan medianya.
Katanya lagi UMNO Perak akan memastikan kesatuan keluarga besar UMNO negeri ini terus dimantapkan dan mengelakkan serangan dari dalam terhadap kepimpinan yang boleh melemah serta memporak perandakan parti.
Sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, UMNO Perak bertekad untuk memastikan Barisan Nasional terus menerajui pentadbiran negeri ini, kata beliau.

Friday 17 April 2015

Isu Dibangkitkan Tun M Perlu Dijelaskan

Isu-isu yang dibangkitkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamed perlu diberi penjelasan secara terperinci oleh pihak yang terlibat bagi meredakan keadaan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Kementerian Kewangan khususnya perlu memberi penerangan yang lebih terperinci berkenaan soalan-soalan yang dilontarkan oleh bekas Perdana Menteri itu.
Menurut beliau, penjelasan yang diberikan akan menyakinkan bukan sahaja Tun Mahathir tetapi juga rakyat.
“Kita sedar dan tahu PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam) akan mempersoalkan tidak lama lagi, di samping itu penjelasan perlu dibuat.
“Penting kepada siapa yang mempunyai maklumat khususnya Kementerian Kewangan dapat menerangkan lebih terperinci tentang perkara-perkara yang dilontarkan,” katanya selepas merasmikan Program Jelajah Kempen Penambahan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Ipoh pada Ahad.
Ketika ditanya mengenai desakan Tun Dr Mahathir untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatannya, Shafie memberitahu Mahathir juga pernah bertindak demikian sebelum ini.
“Bukan sahaja ketika Najib tetapi Perdana Menteri sebelum ini juga beliau pernah mendesak perkara yang sama.
“You know Tun Mahathir, you know his character, you know his DNA,” katanya menjawab soalan wartawan.

Thursday 16 April 2015

Pertabalan Sultan Nazrin Tonjol Keunikan Istiadat Kesultanan Melayu Perak


Istiadat pertabalan Sultan Nazrin Shah sebagai Sultan Perak XXXV pada 6 Mei, bakal menonjolkan keunikan dan kekayaan adat Kesultanan Melayu Perak yang diwarisi sejak tahun 1528, selepas Sultan Mudzaffar Shah I dijemput memerintah Perak.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin berkata meskipun pelbagai aktiviti disusun, pihaknya memberi tumpuan kepada enam acara yang membabitkan adat istiadat pertabalan.
Jawatankuasa yang mengendalikannya turut berpandukan kepada adat istiadat yang berlangsung 30 tahun lepas iaitu semasa pertabalan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 1985.
"Perkara mustahak yang ditumpukan ialah Istiadat Meletak Kerja pada 3 Mei...paluan nobat akan dibunyikan bersama-sama dengan 17 das (tembakan) meriam oleh Angkatan Tentera Malaysia sebagai tanda bermulanya kerja-kerja untuk acara pertabalan," katanya dalam temu ramah baru-baru ini.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Seri Abdul Puhat Nayan dan Setiausaha Dewan Negara Perak Datuk Ayop Hashim. Istiadat 'Tabal Adat' pada 6 Mei akan menyaksikan dua perkara utama iaitu pengisytiharan pertabalan DYMM Paduka Seri Sultan Perak disusuli dengan pemasyhuran gelaran DYMM Raja Permaisuri Perak.
Kedua-dua pemasyhuran itu akan dilakukan oleh Mohd Zahidi dengan melaungkan 'Daulat Tuanku' bagi Sultan Nazrin dan 'Daulat' untuk Tuanku Zara sebanyak tiga kali.
Sedikit kelainan dalam istiadat perarakan membawa al-Quran semasa 'Tabal Adat' Sultan Nazrin, ialah al-Quran itu akan dibaca terlebih dahulu, sebelum diarak dan diserahkan kepada baginda.
"Sebelum ini Tuanku ada menitahkan bahawa dalam sesuatu majlis hendaklah diadakan bacaan al-Quran, jadi dalam majlis ini, al-Quran itu akan dibaca.
"Sultan Nazrin akan memegang dan mengucupnya terlebih dahulu sebelum meletakkan kitab suci itu di tempatnya selepas diarak," katanya.
Selesai perarakan itu, akan dituruti oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja dengan membacakan pengisytiharan pertabalan, dan menyerahkan Pedang Cura Si Manja Kini kepada Sultan Nazrin.
"Di Perak, kami tidak mempunyai mahkota dan kami menggunakan pedang ini sebagai simbolik penyerahan kuasa raja kepada Tuanku dan Tuanku akan mencabut pedang itu serta dicium sebelum Bendahara melaungkan 'Daulat Tuanku'.
"Pada masa yang sama nobat akan dipalu disertai tembakan meriam sebanyak 21 das," katanya.
Sultan Nazrin juga akan memeriksa kawalan kehormatan pada sebelah pagi di Dataran Istana Iskandariah, Kuala Kangsar dengan diiringi paluan nobat dan 21 das tembakan meriam.
Acara utama ketiga akan berlangsung pada sebelah pagi 7 Mei, iaitu istiadat mengambil air dari tujuh kuala sungai yang telah dinamakan, untuk 'Adat Bersiram Tabal'.
Mohd Zahidi berkata, acara keempat, istiadat 'Tabal Pusaka', iaitu upacara penyerahan 16 alat kebesaran seperti Pedang Cura Si Manja Kini dan Geliga Embun serta nobat kepada Sultan Nazrin, akan berlangsung pada sebelah malam.
"Yang kelima ialah istiadat menziarah makam. Ini adalah satu daripada adat yang memerlukan sultan yang dilantik, selepas ditabal adat dan juga ditabal pusaka, akan menziarahi makam Almarhum sultan-sultan terdahulu," katanya.
Istiadat menziarah makam ini akan bermula pada 8 Mei yang menyaksikan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berangkat menziarahi Makam Tok Temong di Kati, Kuala Kangsar.
"Oleh kerana pembangunan di negeri Perak, sebahagian daripada makam ini boleh diziarahi dengan menggunakan pengangkutan darat. Oleh itu, jawatankuasa mengekalkan sebahagian daripada istiadat ini untuk menggunakan rakit dikenali sebagai 'Balai Gambang', yang menyaksikan Tuanku menziarah lima makam di sepanjang Sungai Perak semasa pergerakan Balai Gambang dari Pasir Salak ke Teluk Intan," katanya.
Makam berkenaan ialah Makam Almarhum Sultan Mahmud Shah (Sultan Perak ke-16) di Kampung Pasir Pulai, Sultan Abdul Malik Mansur Shah (Sultan Perak ke-19) di Kampung Bandar Baru, Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda (Sultan ke-17) di Kampung Teluk Memali, Sultan Shahabuddin Riayat Shah (Sultan ke-21) di Tanjung Penangguh dan Sultan Iskandar Dzulkarnain (Sultan ke-15) di Pulau Indera Sakti Pasir Panjang Ulu.
Akhir sekali pada 14 Mei, Sultan Nazrin akan melawat serta menjejak kaki di 'Beting Beras Basah' yang terletak di muara Sungai Perak sementara istiadat 'Menutup Kerja' akan berlangsung pada 17 Mei.
Wanita mengandung atau yang uzur (datang haid) dinasihatkan agar tidak hadir pada istiadat Tabal Pusaka ini, yang bermula pada pukul 9 malam dan berakhir pada tengah malam.
Kaum wanita juga tidak digalakkan menyertai rombongan ke Beting Beras Basah ini, menurut Ayop.
"Acara ini hanya dilakukan oleh kaum lelaki. Ini bukan bermaksud ada diskriminasi terhadap golongan wanita, tetapi merupakan adat turun-temurun," katanya.
Terdahulu, Mohd Zahidi berkata, satu jawatankuasa induk pertabalan telah diwujudkan susulan mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 yang bersidang pada 20 Jun 2014 dan dipengerusikan Sultan Nazrin sendiri.
"Tuanku telah menitahkan saya sebagai pengerusi jawatankuasa induk dan (Datuk Seri) Abdul Puhat sebagai pengerusi bersama manakala (Datuk) Ayop menyandang jawatan setiausaha.
"Dalam mesyuarat jawatankuasa induk, kami telah mengadakan enam mesyuarat untuk membincangkan komposisi jawatankuasa dan pelaksanaan tugas secara terperinci.
"Jawatankuasa kecil turut mengadakan mesyuarat bagi menentukan kehalusan dan ketelitian tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk menyelaraskan acara sempena pertabalan Tuanku," kata Mohd Zahidi.

Wednesday 15 April 2015

Pemuda UMNO Perak Tambah Lebih 3,000 Ahli Baharu

Pergerakan Pemuda UMNO Perak berjaya menambah 3,397 ahli baharu sempena pelancaran Program Jelajah Kempen Penambahan Ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Naib Presiden UMNO Malaysia, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, angka itu mencerminkan usaha keras kepimpinan UMNO negeri ini dalam memastikan bilangan ahli parti itu terus berkembang.
Sambil mengucapkan syabas kepada Pemuda UMNO Perak, beliau menyifatkan ia sebagai usaha terbesar selama ini dengan penambahan ahli baharu UMNO.
“Usaha ini amat penting untuk kita bagi mempastikan kesiapsiagaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang,” katanya selepas merasmikan program itu di Bangunan UMNO Perak, Ipoh pada Ahad.
Beliau memberitahu, bagi persiapan PRU-14, UMNO tidak akan hanya menumpukan kepada usaha meramaikan ahli, tetapi dalam masa sama menggalakkan ahlinya mendaftar sebagai pengundi.
Jelas beliau, pendekatan itu bukan hanya akan digerakkan oleh UMNO tetapi juga akan menjadi budaya rakan-rakan komponen Barisan Nasional (BN).
Selain itu, kata Shafie, usaha menambat semula hati bekas ahli UMNO turut akan dilakukan bagi memastikan mereka kembali menyokong UMNO.
“Kita perlu tambat hati mereka kerana kita bukan hanya daftar ahli yang baru bahkan perlu ada usaha untuk memastikan yang dahulu memberikan sokongan kepada UMNO kembali," ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya kini juga mensasarkan untuk menarik seramai mungkin daripada tiga juta pengundi baharu di negara ini

Tuesday 14 April 2015

Perak Mahu Laksana Pelan Tebatan Banjir Jangka Panjang Berdasarkan Modul Austria


Perak bakal dapat atasi bencana banjir di masa hadapan berikutan satu pelan jangka panjang yang lebih efektif berkaitan pengurusan tebatan berdasarkan modul daripada negara Austria, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Bercakap selepas menghadiri beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan Austria’s Water Management Authority (WMA) dan International Commission for the Protection of the Danube River (ICPDR) di Vienna, beliau berkata, pelan jangka panjang itu perlu bagi memastikan kerajaan negeri dapat mengelak daripada menanggung kerugian akibat bencana banjir.
ICPDR merupakan satu badan dunia terbesar beroperasi di Pusat Antarabangsa Vienna yang bertanggungjawab dalam pengurusan lembangan sungai di Eropah dengan misi utamanya untuk menggalak serta menyelaras air yang mampan bagi penduduk manakala WMA berperanan menambahbaik pengurusan dan memelihara bekalan air bagi negara itu.
Dr Zambry berkata walaupun kerajaan Pusat memperuntukan RM450 juta bagi projek tebatan banjir di Utara Perak, masih banyak perlu dilakukan bagi mengelak bencana itu terus berulang.
“Austria mempunyai rancangan tebatan banjir 100 tahun dan 5,000 tahun, dan pelan itu dinilai semula setiap 10 tahun bagi memastikan ianya sentiasa efektif dan memenuhi keperluan semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Pengarah WMA dari Austria Wilfreid Schimon.
Badan itu yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar dan Pengurusan Air Austria, bukan sahaja bertanggungjawab untuk pengurusan bekalan air malah pengurusan tebatan banjir.
Dr Zambry berkata Perak juga akan melihat kemungkinan untuk mempelbagaikan sumber airnya dengan mendapatkan air daripada bawah tanah supaya ia tidak hanya bergantung dengan air sungai semata-mata.
Katanya sumber utama bekalan air Austria adalah daripada bawah tanah dan Negara itu juga telah berjaya mengatasi sebarang kesan negatif alam sekitar berhubung perlaksanaan itu.
“Kita juga ada mencadangkan perkara sama sebelum ini tetapi ada maklum balas negatif yang kita terima mengatakan pendekatan itu akan menyebabkan mendapan tanah,” katanya.
Dengan pengalaman Negara Austria itu, beliau berkata Lembaga Air Perak akan mengkaji semula pelan air bawah tanah.
Bercakap mengenai Non-Revenue water (NRW), Menteri Besar berkata walaupun Perak dan Vienna menggunakan dua modul berbeza dalam pembekalan air namun kejayaan badan pengurusan air Negara itu dalam menurunkan kadar NRW ke 11 peratus haruslah dikaji.
Sementara itu, Pengerus Besar Lembagai Air Perak Yusof Mohd Isa berkata ketika ini kadar NRW adalah pada 30 peratus namun kadar itu sentiasa menunjukkan penurunan sejak lima tahun kebelakangan ini.
Katanya kejayaan negara itu mengurangkan kadar NRW adalah kerana adanya penyelidikan dan kajian yang mendalam mengenainya.
“Kita masih menggunakan paip daripada bahan yang sama dalam membekalkan air, tetapi mereka telah membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi melaksanakan penyelidikan dan kajian bagi memantau NRW dan usaha ini ternyata berkesan sehingga mereka berjaya menurunkan kadar NRW kepada 11 peratus,” katanya.

Monday 13 April 2015

Sultan Perak Cipta Sejarah Berangkat Rumah Terbuka Vaisakhi


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi sultan pertama berkenan mencemar duli berangkat ke rumah terbuka sambutan Vaisakhi di kediaman persendirian.
Sambutan Vaisakhi itu diadakan di kediaman Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh), Tan Sri Darshan Singh Gill di Ipoh pada Selasa.
Menurut Darshan, keberangkatan Sultan Nazrin diiringi Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim ke kediamannya itu membuktikan baginda adalah sultan berjiwa rakyat dan mempunyai hubungan baik dengan penduduk di negeri ini.
Tambah beliau, sebelum ini sambutan Vaisakhi lazimnya diadakan di dewan besar dan ataupun hotel tetapi beliau tidak menyangka Sultan Nazrin akan mencemar duli untuk berangkat ke kediamannya.
"Keberangkatan Sultan Nazrin bersama-sama dengan Permaisuri Perak adalah satu tanda yang cukup baik bahawa Tuanku turun ke rumah rakyat biasa.
"Saya cukup gembira dan ini merupakan sejarah, bukan sahaja untuk rakyat Perak tetapi untuk kaum Sikh khususnya kerana pemerintah negeri sudi untuk berangkat ke rumah kami," katanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka itu.
Turut hadir pada rumah terbuka tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan pembesar negeri dan barisan Exco kerajaan negeri.
Hampir 300 tetamu daripada pelbagai bangsa turut telah memeriahkan majlis rumah terbuka itu.
Sementara itu, seorang pengunjung, Dr Harjit Singh, 39 berkata, tetamu yang hadir juga menunjukkan konsep 1Malaysia itu kini telah diterima pakai oleh rakyat di negara ini.
"Ini menunjukkan usaha kerajaan untuk menyemai konsep 1Malaysia di kalangan kita telah berjaya, contohnya adalah hari ini.
"Saya juga rasa kita patut berbangga kerana Tuanku Sultan turut sudi datang ke rumah seorang rakyat biasa, ini contoh yang cukup bagus," katanya.

Sunday 12 April 2015

UMNO Perak Beri Sokongan Penuh Buat Datuk Seri Najib




IPOH: Badan Perhubungan UMNO Perak sebulat suara bagi memberikan sokongan padu serta akan terus bersama-sama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak dalam perjuangannya selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO Malaysia.
Pendirian itu di sampaikan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir  melalui kenyataan media yang dikeluarkan pihaknya sebentar tadi.
UMNO Perak tegasnya berpendirian, bahawa pendekatan Perdana Menteri dalam menerajui Negara tidak wajar dipertikai dan dikaburi dengan persepsi yang membawa kepada tuduhan serta fitnah terlampau.
“Kepimpinan Datuk Seri Najib membawa perjuangan UMNO yang digagaskan pemimpin terdahulu, dan menjadi tanggungjawab seluruh ahli parti untuk sama-sama membantu beliau menjayakan agenda parti,” kata beliau.
Tambah Zambry, kesediaan Perdana Menteri untuk menjawab segala kritika, tuduhan dan dakwaan memperlihatkan sikap keterbukaan dan tanggungjawab Perdana Menteri sebagai pemimpin Negara dan parti.
“UMNO Perak menyeru agar memberikan ruang kepada pucuk pimpinan Negara dan parti sekarang untuk melaksanakan agenda transformasi yang sedang berjalan.
“Sebagai tanda sokongan kepada Presiden Parti selaku Perdana Menteri, UMNO Perak bertekad untuk memastikan Barisan Nasional terus menerajui pentadbiran negeri dan menyumbang kepada keutuhan parti di peringkat Nasional menjelang Pilihanraya Umum ke-14,” tegasnya.

Saturday 11 April 2015

Pendekatan Kerajaan Melalui MB Inc. Tambah Hasil Negeri




Pendekatan kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) adalah untuk memastikan hasil negeri bertambah, bukannya untuk diberi kepada kroni.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, MB Inc merupakan sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan sumber mineral dan juga pasir bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.
"Berkali-kali saya telah menyebut bahawa pendekatan kerajaan negeri melalui MB Inc adalah untuk memastikan hasil negeri kita bertambah dan bukan untuk memberi kepada kroni," katanya kepada pemberita di bilik media Dewan Negeri Perak, Ipoh pada Jumaat.
Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan negeri Perak telah membuat beberapa kajian untuk mencari model yang terbaik bagi menambah hasil.
Tambah beliau, salah satu daripada model yang dianggap terbaik ialah dengan menggunakan pendekatan MB Inc, sebab itulah perbadanan itu diaktifkan semula.
Menurut Dr Zambry, setiap negeri mempunyai Perbadanan Menteri Besar masing-masing, contohnyaPerbadanan Menteri Besar Selangor.
"Kita melihat contoh yang ada, sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim mengurus semula untuk mengelakkan daripada ketirisan yang besar dan telah memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan negeri Selangor," ujarnya.
Dr Zambry berkata, menerusi beberapa pendekatan yang digunakan kerajaan melalui MB Inc telah menambah hasil negeri daripada RM7.6 juta sebelum ini, meningkat kepada RM8.1 juta.
Beliau mengambil contoh, hasil usaha yang dijalankan MB Inc berhubung penggunaan tanah liat di sebuah kawasan di Trong yang sebelum ini memberikan hasil kepada negeri hanya RM40,000 setahun tetapi dengan adanya pendekatan baru melalui MB Inc, hasilnya meningkat kepada RM40,000 sebulan secara purata.
Dr Zambry juga menafikan tuduhan berulang kali oleh pihak pembangkang, seolah-olah kerajaan tidak mengamalkan tender terbuka dan sebagainya.
"Jadi membuat tuduhan seolah-olah kita tidak mengamalkan 'open tender' dan sebagainya adalah tidak benar dan kita perlu mengambil beberapa pendekatan yang lebih bagi menambahkan hasil negeri," ujarnya.
Menurut beliau, sistem tender terbuka terdedah kepada kemungkinan harga yang mereka tawarkan lebih rendah daripada yang sepatutnya.
Beliau memberi contoh, apabila tender terbuka dilaksanakan untuk kawasan pembalakan, harga yang ditawarkan lebih rendah daripada anggaran Jabatan Perhutanan.

Friday 10 April 2015

Menghadiri majlis perkahwinan puteri kesayangan Dr Thaherah, Pegawai Kesihatan Daerah Kerian



Menghadiri majlis perkahwinan puteri kesayangan Dr Thaherah, Pegawai Kesihatan Daerah Kerian. Tahniah Dr kerana terima menantu. YB Dato Sham & isteri dan Tuan Khair YDP Majlis Daerah Kerian bersama keluarga turut hadir

Thursday 9 April 2015

Menyampaikan Sumbangan Kepada Mangsa Ribut Yang Melanda Kg Parit Gabis, Bagan Serai








Dato Sham Mat Sahat Menyampaikan sumbangan tabung bencana daerah kepada mangsa ribut yang melanda Kampung Parit Gabis, Bagan Serai 

Wednesday 8 April 2015

Perlawanan persahabatan bolasepak









Hari ini Dato Sham Mat Sahat hadir dan beraksi dalam Perlawanan persahabatan bola sepak UMNO Bahagian Bagan Serai vs Pemuda UMNO Bahagian Bagan Serai. Keputusan seri 4-4

Tuesday 7 April 2015

Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Bagi Pembinaan Baru Surau Kg Sg Baru, Selinsing.












Dato Sham Hadir ke Majlis Penyerahan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Bagi Pembinaan Baru Surau Kg Sg Baru, Selinsing. Setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Menteri Besar Perak yang telah meluluskan sumbangan ini.

Monday 6 April 2015

Bersama Sesi Penerangan Dengan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai









Hari ini Dato Sham Mat Sahat hadir ke  Sesi Penerangan Dengan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Bagan Serai dan merasmikannya.Tahniah kepada kepimpinan yang berhormat.

Sunday 5 April 2015

Wakil Rakyat Kerajaan Lawat Bilik Media


Kesibukan perbahasan pada Sidang Dewan Undangan Negeri tidak menghalang wakil rakyat kerajaan untuk meluangkan masa melawat petugas media di bilik media pada Jumaat.
Lawatan diketuai oleh Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan BN (BNBC) Negeri, Datuk Khusairi Abu Talib (BN-Slim) turut disertai dengan pemberian pizza sebagai juadah minum petang untuk setiap petugas media.
Hadir sama, wakil rakyat BN seperti Maslin Sham Razman (Bukit Chandan), Mohd Azhar Jamaluddin (Changkat Jong), Salbiah Mohamed (Temengor), Siti Salmah Mat Jusak (Lubok Merbau), Aznel Ibrahim (Pengkalan Hulu), Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu), Abdullah Fauzi Ahmad Razali (Kampung Gajah), Mohamad Kamil Shafie (Manong) dan Datuk Mohd Tarmizi Idris (Kenering).
Wakil-wakil rakyat juga meluangkan masa beramah mesra dan bertanyakan mengenai penyediaan makanan dan keselesaan bilik media sepanjang persidangan berlangsung.
Setelah memerah otak dalam menyediakan bahan berita selama tiga hari berturut-berturut, petugas terasa amat dihargai dengan lawatan itu dengan harapan ia akan berterusan di masa akan datang.

Saturday 4 April 2015

'Saya Tidak Mainkan Sentimen Raja' - Dr Zambry




Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menegaskan beliau tidak bermain sentimen raja tetapi hendak menyampaikan perasaan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang murka di atas perbuatan anggota pembangkang yang berpakaian hitam sempena pembukaan hari pertama Sidang DUN ke-13.
Katanya, beliau juga tidak menggunakan nama Sultan tetapi hendak menyampaikan perasaan baginda yang datang dalam keadaan seronok tiba-tiba bertukar duka apabila melihat anggota-anggota pembangkang berpakaian hitam.
Beliau menyelar anggota pembangkang yang diketuai Datuk Seri Nizar Jamaluddin kerana masih mempertahankan tindakan mereka atas empat perkara termasuk atas dasar solidariti kerana pemenjaraan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
"Saya sedih melihat YB sekelian tidak langsung menunjukkan rasa hormat kepada seorang raja," katanya semasa menggulung perbahasan ucapan tahniah serta menjunjung kasih atas titah ucapan Sultan Perak di Sidang DUN Perak pada Isnin.
Sehubungan dengan itu, Dr Zambry berharap ianya dapat dijadikan peringatan kepada semua anggota Dewan agar peristiwa hitam itu tidak berulang lagi di masa akan datang. Pada akhir penutup penggulungannya, Dr Zambry membalas seloka Nga Kor Ming (DAP - Kepayang) pada perbahasan kelmarin yang menyentuh tentang kehancuran Barisan Nasional (BN).
Katanya, seloka yang dilontarkan oleh wakil Kepayang itu semacam ada simbiosis ritual politik antara DAP dan PAS.
"Kepayang melaungkan slogan hancurkan BN dan dan sekutunya menadah tangan berdoa BN dihancurkan, seruan menghancurkan ini saya kira ajaran baru yang dibawa pakatan," ujarnya.
Beliau kemudian membacakan selokanya yang berbunyi:
Pejuang dibawa sarat fitnah
Benda yang baik dikata salah
Mimpi berkuasa mimpi kita hilang
Namun BN Dikasihi Allah
Hancur BN Tempik Kepayang
Tukar kerajaan kerana hasad
Rahmat Allah BN menang
Petanda bakti dinikmati rakyat
Lama mengidam untuk berkuasa
Dendam dan hasad ditanam subur
Tidur sebantal, mimpi berbeza Petanda pakatan akan lebur
Pepatah Melayu banyak yang masyhur
Antaranya nasi menjadi bubur
Insya Allah bukan BN yang bakal hancur
Rasanya pakatan yang bakal terkubur