YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 2 April 2015

Hala Tuju Konsisten Pembangunan Ekonomi Perak


Perak mempunyai halatuju yang konsisten ke arah membina sebuah struktur negeri yang maju khususnya dari segi ekonomi, kata Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan Dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid ketika menggulung teks perbahasan di sidang DUN pada Isnin.
Beliau berkata demikian untuk menyangkal kenyataan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP – Sitiawan) yang mengandaikan kerajaan negeri tidak mempunyai pelan strategik dalam membangunkan negeri ini.
Menurut beliau, andaian bersangka buruk itu tidak benar sama sekali yang telah berulang-ulang kali dihebahkan.
Beliau memberitahu bahawa kerajaan negeri telah menggubal Pelan Pembangunan Perak Amanjaya yang memberi fokus kepada tiga perkara iaitu Peluang Berkualiti, Pendapatan Berkualiti dan Kehidupan Berkualiti.
"Pelbagai program dan projek yang telah dirancang untuk dilaksanakan menumpukan keutamaan kepada pembangunan negeri yang mampan dan holistik Seperti Koridor Ipoh-Pengkalan Hulu, Koridor Tanjung Malim-Slim River-Tapah dan lima lagi koridor yang lain di sekitar negeri Perak," katanya ketika menggulung perbahasan pada Isnin.
Menurut Zahir, pelaksanaan pelan pembangunan itu mengguna pakai Model Pembangunan Bank Dunia dengan pendekatan 3D iaitu mengurangkan jarak (reducing distance), mewujudkan kepadatan (creating density) dan merapatkan jurang (narrowing division) antara luar bandar dan bandar.
Beliau berkata, hasil daripada perancangan sistematik dan usahasama konsisten di antara agensi dan jabatan, pertumbuhan ekonomi negeri Perak untuk tiga tahun terakhir yang direkodkan secara rasmi telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan melebihi pertumbuhan ekonomi di peringkat negara.
"Perak mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.0, 7.3 & 5.3 peratus bagi tahun 2011, 2012 dan 2013 berbanding pertumbuhan ekonomi nasional pada kadar 5.2, 5.6 dan 4.7 peratus bagi tahun-tahun tersebut justeru pertumbuhan ekonomi yang mampan ini dengan jelas menggambarkan bahawa negeri Perak berada pada landasan ekonomi yang kukuh ke arah mencapai sebuah negeri maju," ujarnya.
Beliau menambah, kutipan hasil negeri pada tahun 2014 juga meningkat kepada RM927.83 juta, dengan mencatat lebihan bajet RM7.73 juta. keadaan ini membolehkan kerajaan negeri memperuntukkan RM342.71 juta bagi tujuan pembangunan.
"Kerajaan negeri akan berusaha dari semasa ke semasa untuk meningkatkan ekonomi, namun ianya memerlukan penglibatan yang menyeluruh dan sokongan penuh daripada semua pihak yang berkepentingan terutamanya pihak kementerian, agensi kerajaan, pihak swasta, pihak akademik, pemimpin masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi merealisasikan hasrat menjadikan Perak sebuah negeri maju," kata beliau.

No comments:

Post a Comment