YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 11 April 2015

Pendekatan Kerajaan Melalui MB Inc. Tambah Hasil Negeri




Pendekatan kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) adalah untuk memastikan hasil negeri bertambah, bukannya untuk diberi kepada kroni.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan, MB Inc merupakan sebuah agensi yang bertanggungjawab untuk menguruskan sumber mineral dan juga pasir bagi memastikan tidak berlaku ketirisan.
"Berkali-kali saya telah menyebut bahawa pendekatan kerajaan negeri melalui MB Inc adalah untuk memastikan hasil negeri kita bertambah dan bukan untuk memberi kepada kroni," katanya kepada pemberita di bilik media Dewan Negeri Perak, Ipoh pada Jumaat.
Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan negeri Perak telah membuat beberapa kajian untuk mencari model yang terbaik bagi menambah hasil.
Tambah beliau, salah satu daripada model yang dianggap terbaik ialah dengan menggunakan pendekatan MB Inc, sebab itulah perbadanan itu diaktifkan semula.
Menurut Dr Zambry, setiap negeri mempunyai Perbadanan Menteri Besar masing-masing, contohnyaPerbadanan Menteri Besar Selangor.
"Kita melihat contoh yang ada, sewaktu Tan Sri Khalid Ibrahim mengurus semula untuk mengelakkan daripada ketirisan yang besar dan telah memberikan pulangan yang baik kepada kerajaan negeri Selangor," ujarnya.
Dr Zambry berkata, menerusi beberapa pendekatan yang digunakan kerajaan melalui MB Inc telah menambah hasil negeri daripada RM7.6 juta sebelum ini, meningkat kepada RM8.1 juta.
Beliau mengambil contoh, hasil usaha yang dijalankan MB Inc berhubung penggunaan tanah liat di sebuah kawasan di Trong yang sebelum ini memberikan hasil kepada negeri hanya RM40,000 setahun tetapi dengan adanya pendekatan baru melalui MB Inc, hasilnya meningkat kepada RM40,000 sebulan secara purata.
Dr Zambry juga menafikan tuduhan berulang kali oleh pihak pembangkang, seolah-olah kerajaan tidak mengamalkan tender terbuka dan sebagainya.
"Jadi membuat tuduhan seolah-olah kita tidak mengamalkan 'open tender' dan sebagainya adalah tidak benar dan kita perlu mengambil beberapa pendekatan yang lebih bagi menambahkan hasil negeri," ujarnya.
Menurut beliau, sistem tender terbuka terdedah kepada kemungkinan harga yang mereka tawarkan lebih rendah daripada yang sepatutnya.
Beliau memberi contoh, apabila tender terbuka dilaksanakan untuk kawasan pembalakan, harga yang ditawarkan lebih rendah daripada anggaran Jabatan Perhutanan.

No comments:

Post a Comment