YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 18 April 2015

UMNO Perak Sebulat Suara Berdiri di Belakang PM

UMNO Perak sebulat suara mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meneruskan kepimpinan mentadbir Negara bagi kepentingan Negara dan keutuhan parti.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Negeri berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu mesyuarat pada Jumaat juga bersetuju bahawa pendekatan Perdana Menteri dalam menerajui Negara tidak wajar dipertikai dan dikaburi dengan pelbagai persepsi sehingga membawa kepada tuduhan serta fitnah melampau.
Katanya kritikan sedemikian adalah tidak wajar meskipun keterbukaan menerima pandangan, nasihat dan kritikan membina dialu-alukan Perdana Menteri.
Menurutnya lagi kepimpinan beliau dalam membawa perjuangan UMNO yang digagaskan pemimpin terdahulu, merupakan kesinambungan dan menjadi tanggungjawab seluruh ahli parti untuk sama-sama membantu beliau menjayakan agenda parti.
“Maka dengan itu, Badan Perhubungan UMNO Perak berpendapat, kesediaan Perdana Menteri tampil secara terbuka menjawab kritikan, tuduhan dan dakwaan memperlihatkan sikap keterbukaan dan bertanggungjawab beliau sebagai pemimpin.
Justeru, UMNO Perak menyeru semua pihak agar memberikan ruang kepada kepimpinan negara dan parti sekarang untuk melaksanakan agenda transformasi yang sedang berjalan,” kata Menteri Besar itu dalam satu kenyataan medianya.
Katanya lagi UMNO Perak akan memastikan kesatuan keluarga besar UMNO negeri ini terus dimantapkan dan mengelakkan serangan dari dalam terhadap kepimpinan yang boleh melemah serta memporak perandakan parti.
Sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri, UMNO Perak bertekad untuk memastikan Barisan Nasional terus menerajui pentadbiran negeri ini, kata beliau.

No comments:

Post a Comment