YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Sunday 26 April 2015

Raja Permaisuri Luang Masa Ke Program Mari Membaca Bersama



Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat melawat Perpustakaan Awam Negeri Perak sempena program Mari Membaca Bersama yang dijalankan serentak di seluruh negara pada Khamis.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak, Salbiah Mohamed, Yang Dipertua Negeri Perak, Datuk Seri S.K. Devamany dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Nolee Ashilin Radzi.
Dalam lawatan itu, baginda meluangkan masa untuk Sesi Berkongsi Cerita yang merupakan sebahagian daripada aktiviti Jom Baca Bersama bersama murid-murid sekolah rendah dan memperdengarkan bacaan buku cerita "Awie dan Shasha ke Sekolah" selama 10 minit kepada kanak-kanak yang hadir.
Program membaca 10 minit tersebut adalah inisiatif yang diterapkan oleh negeri Perak sejak tahun 2008 sempena sambutan Hari Buku dan Hakcipta Sedunia pada 23 April.
Dalam pada itu, Tuanku Zara Salim turut menyampaikan hadiah kepada tiga orang penerima Anugerah Pembaca Aktif dan melancarkan E-Library Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Baginda kemudiannya berkesempatan meluangkan masa meninjau persekitaran perpustakaan tersebut di samping beramah mesra bersama murid-murid dari sekolah rendah di sekitar Ipoh.
Rata-rata pelajar dan pengunjung dan perpustakaan berbesar hati kerana berpeluang bersua muka dengan permaisuri kesayangan mereka yang sudi hadir untuk menyempurnakan program bertaraf kebangsaan itu.
Justin Chan Wei Hao, 13 tahun dan adiknya, Joan Chan She Yan, 10, merupakan penerima Anugerah Pembaca Aktif dan ada rahsia di sebalik kejayaan dua beradik ini disamping dorongan ibu bapa mereka.
"Setiap minggu bapa akan temani saya dan adik ke sini, buat latihan dan kerja sekolah. Selain itu kami turut meminjam empat buah buku setiap kali datang ke sini. Rasa seronok dan bangga sebab dapat jumpa Permaisuri dan terima anugerah," katanya.
Justin berjaya menerima anugerah dengan pinjaman dan bacaan sebanyak 233 buah buku dan Joan dengan 275 buah buku.
Chang Boon Kiat, 46 yang merupakan bapa kepada dua beradik itu berkata, galakan perlu diberikan kepada anak-anak dalam menyatakan sokongan dari sudut pembelajaran mereka.
"Minat boleh dipupuk, saya akan pastikan dapat temani mereka di sini mahupun ibu mereka. Ini penting untuk kita tunjuk keprihatinan, barulah mereka ada semangat untuk belajar," katanya.

No comments:

Post a Comment