YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Monday 13 April 2015

Sultan Perak Cipta Sejarah Berangkat Rumah Terbuka Vaisakhi


Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sekali lagi mencipta sejarah apabila menjadi sultan pertama berkenan mencemar duli berangkat ke rumah terbuka sambutan Vaisakhi di kediaman persendirian.
Sambutan Vaisakhi itu diadakan di kediaman Presiden Pergerakan Kebangsaan Sikh Malaysia (Geraksikh), Tan Sri Darshan Singh Gill di Ipoh pada Selasa.
Menurut Darshan, keberangkatan Sultan Nazrin diiringi Raja Permaisuri, Tuanku Zara Salim ke kediamannya itu membuktikan baginda adalah sultan berjiwa rakyat dan mempunyai hubungan baik dengan penduduk di negeri ini.
Tambah beliau, sebelum ini sambutan Vaisakhi lazimnya diadakan di dewan besar dan ataupun hotel tetapi beliau tidak menyangka Sultan Nazrin akan mencemar duli untuk berangkat ke kediamannya.
"Keberangkatan Sultan Nazrin bersama-sama dengan Permaisuri Perak adalah satu tanda yang cukup baik bahawa Tuanku turun ke rumah rakyat biasa.
"Saya cukup gembira dan ini merupakan sejarah, bukan sahaja untuk rakyat Perak tetapi untuk kaum Sikh khususnya kerana pemerintah negeri sudi untuk berangkat ke rumah kami," katanya ketika ditemui selepas majlis rumah terbuka itu.
Turut hadir pada rumah terbuka tersebut ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan dan pembesar negeri dan barisan Exco kerajaan negeri.
Hampir 300 tetamu daripada pelbagai bangsa turut telah memeriahkan majlis rumah terbuka itu.
Sementara itu, seorang pengunjung, Dr Harjit Singh, 39 berkata, tetamu yang hadir juga menunjukkan konsep 1Malaysia itu kini telah diterima pakai oleh rakyat di negara ini.
"Ini menunjukkan usaha kerajaan untuk menyemai konsep 1Malaysia di kalangan kita telah berjaya, contohnya adalah hari ini.
"Saya juga rasa kita patut berbangga kerana Tuanku Sultan turut sudi datang ke rumah seorang rakyat biasa, ini contoh yang cukup bagus," katanya.

No comments:

Post a Comment