YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Tuesday 14 April 2015

Perak Mahu Laksana Pelan Tebatan Banjir Jangka Panjang Berdasarkan Modul Austria


Perak bakal dapat atasi bencana banjir di masa hadapan berikutan satu pelan jangka panjang yang lebih efektif berkaitan pengurusan tebatan berdasarkan modul daripada negara Austria, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Bercakap selepas menghadiri beberapa siri perbincangan dengan pihak pengurusan Austria’s Water Management Authority (WMA) dan International Commission for the Protection of the Danube River (ICPDR) di Vienna, beliau berkata, pelan jangka panjang itu perlu bagi memastikan kerajaan negeri dapat mengelak daripada menanggung kerugian akibat bencana banjir.
ICPDR merupakan satu badan dunia terbesar beroperasi di Pusat Antarabangsa Vienna yang bertanggungjawab dalam pengurusan lembangan sungai di Eropah dengan misi utamanya untuk menggalak serta menyelaras air yang mampan bagi penduduk manakala WMA berperanan menambahbaik pengurusan dan memelihara bekalan air bagi negara itu.
Dr Zambry berkata walaupun kerajaan Pusat memperuntukan RM450 juta bagi projek tebatan banjir di Utara Perak, masih banyak perlu dilakukan bagi mengelak bencana itu terus berulang.
“Austria mempunyai rancangan tebatan banjir 100 tahun dan 5,000 tahun, dan pelan itu dinilai semula setiap 10 tahun bagi memastikan ianya sentiasa efektif dan memenuhi keperluan semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Pengarah WMA dari Austria Wilfreid Schimon.
Badan itu yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian, Perhutanan, Alam Sekitar dan Pengurusan Air Austria, bukan sahaja bertanggungjawab untuk pengurusan bekalan air malah pengurusan tebatan banjir.
Dr Zambry berkata Perak juga akan melihat kemungkinan untuk mempelbagaikan sumber airnya dengan mendapatkan air daripada bawah tanah supaya ia tidak hanya bergantung dengan air sungai semata-mata.
Katanya sumber utama bekalan air Austria adalah daripada bawah tanah dan Negara itu juga telah berjaya mengatasi sebarang kesan negatif alam sekitar berhubung perlaksanaan itu.
“Kita juga ada mencadangkan perkara sama sebelum ini tetapi ada maklum balas negatif yang kita terima mengatakan pendekatan itu akan menyebabkan mendapan tanah,” katanya.
Dengan pengalaman Negara Austria itu, beliau berkata Lembaga Air Perak akan mengkaji semula pelan air bawah tanah.
Bercakap mengenai Non-Revenue water (NRW), Menteri Besar berkata walaupun Perak dan Vienna menggunakan dua modul berbeza dalam pembekalan air namun kejayaan badan pengurusan air Negara itu dalam menurunkan kadar NRW ke 11 peratus haruslah dikaji.
Sementara itu, Pengerus Besar Lembagai Air Perak Yusof Mohd Isa berkata ketika ini kadar NRW adalah pada 30 peratus namun kadar itu sentiasa menunjukkan penurunan sejak lima tahun kebelakangan ini.
Katanya kejayaan negara itu mengurangkan kadar NRW adalah kerana adanya penyelidikan dan kajian yang mendalam mengenainya.
“Kita masih menggunakan paip daripada bahan yang sama dalam membekalkan air, tetapi mereka telah membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi melaksanakan penyelidikan dan kajian bagi memantau NRW dan usaha ini ternyata berkesan sehingga mereka berjaya menurunkan kadar NRW kepada 11 peratus,” katanya.

No comments:

Post a Comment