YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 18 December 2014

Perak Realisasikan 30 Peratus Wanita Dalam Sektor Pekerjaan



Perak menjadi negeri pertama di negara ini yang menubuhkan Jawatankuasa Pengupayaan 30 peratus wanita dalam semua sektor.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan oleh Exco kerajaan negeri, Datuk Rusnah Kassim pada dasarnya akan diwakili oleh semua tujuj ADUN wanita negeri Perak termasuk daripada pembangkang.
Menurut Dr Zambry, beliau difahamkan tokoh-tokoh yang difikirkan layak untuk mengisi jawatan anggota jawatankuasa berkenaan bertujuan memastikan penglibatan wanita sama ada dalam peringkat membuat dasar, pengurusan dan peringkat-peringkat lain diberi keutamaan.
"Sudah sampai masanya kerajaan mengambil satu langkah ke hadapan bagi mengiktiraf penglibatan wanita dengan mewujudkan jawatankuasa ini,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat minggu Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Rabu.
Dr Zambry berkata, jawatankuasa ini diwujudkan bagi membuat kajian-kajian terperinci dan cadangan kepada kerajaan negeri dan ia juga boleh dibawa ke peringkat sidang dewan.
Di peringkat kerajaan negeri, terdapat sejumlah 703 kakitangan memegang jawatan di peringkat pembuat dasar dan pengurusan tertinggi dengan 167 mereka atau 24 peratus adalah wanita.
Manakala bagi kakitangan sokongan pula, peratusan wanita adalah pada 23.4 peratus ataupun 3,119 daripada jumlah keseluruhan 13,280 penjawat awam yang ada.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Integrasi Nasional, Datuk Rusnah Kassim pula menganggap penubuhan jawatankuasa tersebut sebagai satu perkembangan yang begitu baik sekali khususnya untuk mengupayakan kaum wanita di negeri Perak.
Katanya, bidang tugas jawatankuasa baru yang diumumkan ini ialah untuk mengkaji apa dia kaedah yang boleh diambil untuk mempercepatkan pembabitan wanita di dalam semua sektor 30 peratus ini.
"Kami telahpun berbincang dan jawatankuasanya akan dibabitkan kesemua Adun wanita di negeri Perak ini tidak kira sama ada pembangkang ataupun adun kerajaan,'' katanya.
Menurut Rusnah, beliau sedang mengenal pasti beberapa orang wanita yang sudah berjaya untuk membantu bagi menjayakan matlamat pengupayaan wanita dinegeri ini.
Katanya, pihaknya sedang mengubal Pelan Tindakan Wanita untuk enam tahun dan sebagai permulaan bagi mencapai 30 peratus ini setiap tahun mesti ada pergerakan penambahan peratusannya supaya pada 2015 sudah mencapai minima 30 peratus.
Menurut Rusnah, Pelan Tindakan ini akan mula pada minggu pertama Januari yang akan membabitkan lima tongak iaitu wanita dengan kepimpinan, membuat dasar, wanita di dalam keusahawanan, wanita di dalam keluarga dan wanita di dalam keselamatan.
"Tapi yang paling pentingnya kalaulah kita tidak mempunyai persetujuan daripada pucuk pimpinan kita khususnya daripada Menteri Besar tidak mungkin perkara ini dapat kita capai,'' katanya.
Sementara Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Bahagian Korporat, Nor Aniza Mansur menganggap penubuhan jawatankuasa itu sebagai mengiktiraf peranan kaum wanita di negeri perak.
"Saya berbesar hatilah dengan kerajaan negeri Perak kerana memberi peluang kepada wanita-wanita di negeri ini dengan memberi 30 peratus lebih peluang kepada kami untuk berkhidmat di negeri ini,'' katanya.

No comments:

Post a Comment