YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 17 December 2014

DAP Tiada Hak Halang Hudud PAS



Bekas Naib Presiden DAP Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, parti itu tidak mempunyai hak menghalang, sebaliknya perlu menghormati PAS untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini, lapor Sinar Harian.

Tunku Aziz berkata, hudud merupakan pegangan dan perjuangan yang lama dibawa PAS dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.    

“Jika DAP menghalang PAS untuk laksana hudud, ia seolah-olah tidak menghormati dan menzalimi PAS selaku rakan dalam pakatan.

“Apa hak DAP untuk mengatakan tidak pada hukum hudud yang ingin dibawa PAS?” katanya sebagaimana dilaporkan laman online akhbar itu.

Kerajaan negeri Kelantan akan mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 29 Disember ini bagi membuat pindaan kepada Enakmen Jenayah Syariah II untuk membolehkan sebahagian hukum hudud dilaksanakan dulu di Kelantan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohd Abduh Nik Aziz berkata PAS tidak akan menarik kembali perjuangan untuk melaksanakan hudud walaupun mendapat tentangan daripada rakan komponen, DAP.

Nik Abduh berkata perjuangan PAS terhadap isu itu bukan baru tetapi sudah melangkaui tempoh 20 tahun.

Katanya, pelaksanaan hudud mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan pusat dan tiada sebab untuk PAS menghentikannya.

Tunku Aziz yang sangat vokal selepas keluar daripada DAP berkata, semua ini berlaku akibat tiada kesepaduan yang wujud dalam hubungan antara PAS, DAP dan PKR walaupun selepas sudah lama bersama.

Katanya, kini jelas ketara DAP dan PKR hanya menggunakan PAS untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum yang lalu.

No comments:

Post a Comment