YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Friday 14 February 2014

MyHome: Subsidi RM30,000

Najib Tun Razak ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perumahan Negara (MPN) di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Abdul Rahman Dahlan; timbalannya, Datuk Halimah Mohd. Sadique dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. 

PUTRAJAYA 13 Feb. - Program MyHome yang akan dilancarkan kerajaan pada 1 April ini akan memberikan subsidi maksimum sehingga RM30,000 kepada mereka yang layak untuk membeli rumah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, program tersebut akan melibatkan kira-kira 10,000 unit rumah yang dibina oleh pihak swasta dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM300 juta.
Beliau berkata, langkah yang bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Majlis Perumahan Negara yang dipengerusikannya hari ini.

"Program MyHome merupakan satu usaha yang mana kerajaan akan memberi insentif kepada sektor swasta untuk membina rumah-rumah kos rendah yang sangat dikehendaki oleh rakyat.
"Jika pemaju mengambil bahagian dalam skim ini, rumah berharga RM70,000 akan dijual pada harga RM40,000 dan ini bermakna kerajaan akan memberi subsidi kepada pembeli yang layak sebanyak RM30,000," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Program MyHome merupakan sebuah projek khas bagi membantu golongan berpendapatan rendah yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2014 tahun lalu.
Najib berkata, penentuan jumlah subsidi kepada pembeli yang layak bergantung kepada harga sebuah rumah kos rendah yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.
"Mungkin ada yang dapat subsidi RM20,000 dan ada juga yang mendapat subsidi RM10,000. Semuanya ini bergantung kepada harga rumah murah yang ditetapkan oleh kerajaan negeri," ujarnya.
Perdana Menteri berkata, mesyuarat itu turut menetapkan syarat-syarat pembeli yang layak menyertai program tersebut iaitu mereka yang berpendapatan isi rumah RM3,000 dan ke bawah.
"Syarat-syarat lain rumah tersebut mestilah rumah yang pertama dan mereka dilarang menjual rumah itu dalam tempoh 10 tahun," ujarnya.

Najib berkata, subsidi berkenaan akan dibayar terus ke akaun pembeli.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pemaju mesti memohon untuk menyertai skim itu dan pemilihan akan tentukan oleh sebuah jawatankuasa di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Katanya, senarai pembeli juga akan dipertimbangkan oleh pihak kementerian.

Sementara itu, Najib berkata, satu pangkalan data yang dikenali sebagai Rumahku Exchange akan diwujudkan supaya segala perkara berkaitan dengan perumahan mudah diperoleh.
"Mana-mana pemaju yang ingin menyertai program ini bolehlah memohon kepada pihak kementerian dan seterusnya orang ramai boleh memohon selepas pelancarannya pada 1 April ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment