YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 22 January 2014

Zambry tempelak Kor Ming salahkan UMNO

Zambry , Nga Kor Ming

IPOH  - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menempelak Pengerusi DAP Negeri, Nga Kor Ming kerana mengaitkan UMNO serta Perdana Menteri dalam insiden membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilarang memasuki Jepun oleh jabatan imigresen negara itu.
Zambry memberitahu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping cuba memutar belit kejadian itu dan menuding jari ke arah UMNO seolah-olah parti itu yang mengarahkan kerajaan Jepun supaya menahan dan menghalang Anwar daripada memasuki negara matahari terbit tersebut.
“Sebenarnya saya tidak terkejut dengan kenyataan beliau (Kor Ming), saya hanya akan terkejut besar sekiranya beliau berkata baik tentang UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Walaupun kerajaan Jepun sudah jelaskan perkara sebenar mengapa Anwar dilarang masuk tetapi beliau cuba ‘spin’, kononnya apa yang menimpa Anwar di Jepun adalah disebabkan oleh UMNO dan BN. Sudah ada penjelasan, tidak perlulah masuk campur," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Semalam, Kor Ming menerusi akaun Twitter milik beliau berkata: “Kerajaan Jepun tunduk kepada UMNO sehingga @anwaribrahim dihalang masuk. Tahniah! Najib semakin berkuasa".
Dalam kejadian Ahad lalu, Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Jepun melarang Anwar daripada memasuki negara itu selain meminta beliau pulang semula ke Malaysia.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh dilarang memasuki negara itu kerana beliau tidak mematuhi prosedur dan peraturan imigresen iaitu mengemukakan visa perjalanan berikutan statusnya sebagai bekas banduan.

Pejabat Kedutaan Jepun di Malaysia memaklumkan, walaupun Jepun telah mengambil keputusan memansuhkan permohonan visa sejak tahun lalu, namun peraturan itu masih ditetapkan ke atas mana-mana bekas banduan.
Dalam pada itu, Zambry memberitahu, dakwaan yang dibuat oleh Kor Ming itu mengingatkan beliau kepada tuduhan yang dilemparkan oleh sebuah akhbar propembangkang terhadapnya beberapa tahun lalu kononnya beliau ditahan di Lapangan Terbang San Francisco, Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki sebagai pengganas.
Menurut Zambry, hakikatnya beliau tidak pernah ditahan di lapangan terbang berkenaan seperti didakwa oleh akhbar tersebut dan apa yang dilaporkan merupakan pembohongan semata-mata.

“Akhbar itu lapor saya ditahan sebab disyaki pengganas walaupun hakikatnya kejadian itu tidak pernah berlaku. Tengok bagaimana sampai begitu mereka menipu rakyat kerana mereka tahu rakyat akan percaya apa sahaja yang mereka cakap.
"Oleh sebab itu dalam isu Anwar ini, mereka cuba putar belit tuduh UMNO dan BN," jelas beliau.

No comments:

Post a Comment