YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 22 January 2014

Pertukaran Lima Pegawai Kanan Kerajaan


Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Puhat Mat Nayan akan mengumumkan pertukaran lima orang pegawai kanan kerajaan yang membabitkan pegawai-pegawai daerah dan Yang Dipertua Perbandaran (YDP) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pengumuman itu akan dibuat  dalam masa terdekat ini.
Menurut beliau, pertukaran setara (lateral) ini merupakan sebahagian daripada proses untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan lebih baik dan mewujudkan sistem penyampaian kerajaan yang lebih efisyen.
“Ini tidak bermakna apabila berlaku pertukaran pegawai-pegawai kerajaan dalam negeri, seolah-olah memberi  satu mesej yang tidak baik kepada pegawai yang berkenaan.
"Apabila berlaku pertukaran itu, bermakna juga ada yang naik pangkat, jadi kalau dulu dia memegang jawatan ketua penolong pegawai daerah (CADO) sekarang dia dinaikkan pangkat menjadi pegawai daerah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan , Ipoh hari ini.
Sehubungan dengan itu, Dr Zambry meminta para pegawai dan anggota kerajaan di negeri ini supaya menghapuskan tanggapan negatif kononnya pertukaran lateral membawa maksud ditukarkan tanpa ada kenaikkan disebabkan  perkhidmatan mereka yang tidak baik.
“Saya ingin menegaskan aspek ini kerana pandangan seperti ini hendaklah dihapuskan kerana kita tidak mahu melihat sebarang pertukaran yang melibatkan anggota atau pegawai kerajaan ada kaitan dari segi perkhidmatan mereka.
“Kerajaan negeri telah membuat penilaian untuk selama beberapa tahun ini kerana kita mahu melihat proses pentadbiran yang lebih efisyen untuk mewujudkan sistem penyampaian yang lebih baik,” katanya.
Beliau juga menafikan tentang kemungkinan  ada pihak yang memikirkan bahawa pertukaran ini adalah disebabkan faktor tertentu termasuk juga perkiraan politik.
“Kita ingin menunjukkan satu budaya baru dalam sistem pentadbiran kita supaya keberkesanan setiap pegawai itu dan pergerakan pegawai dalam negeri itu akan memberi kelebihan kepada mereka dan juga kepada kelicinan perjalanan  kerajaan negeri sendiri,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment