YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 9 January 2014

Tiga maut kemalangan ngeri

ANGGOTA polis dan bomba memeriksa kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 70, Jalan Ipoh-Gerik, Kuala Kangsar, Perak, semalam - BERNAMA

KUALA KANGSAR 8 Jan. - Tiga maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah van pekerja, kereta jenis Toyota Camry dan sebuah motosikal di Kilometer 70, Jalan Ipoh-Gerik, di sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa yang maut ialah pemandu van, Rosmainiezal Mat Ani, 37; penumpang hadapan van, Syed Idris Syed Nordin, 42; dan penumpang di bahagian belakang, Aminah Kamarudin, 53.

Tiga lagi penumpang van tersebut iaitu Masthura Ali, 47; Sarina Ibrahim, 35; dan Norzakiah Awang, 48, hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Kuala Kangsar di sini.
Turut cedera ialah penunggang motosikal yang identitinya masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad berkata, kemalangan berlaku apabila van dipandu Rosmainiezal yang dalam perjalanan ke Kuala Kangsar dari Gerik, bertembung dengan sebuah kereta jenis Toyota Camry dari arah bertentangan.
Beliau berkata, akibat pertembungan itu, pemandu van tersebut yang turut membawa lima penumpang tersepit di tempat duduknya.
Menurutnya, sebuah motosikal yang mengekori van tersebut turut gagal mengelak lalu terlanggar kereta berkenaan.

"Akibatnya tiga mangsa di dalam van termasuk pemandu dan dua penumpang maut di tempat kejadian.
"Tiga penumpang van yang lain terselamat dan dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala penunggang motosikal pula hanya cedera ringan dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Abdul Ghaffar, kesemua jenazah dibawa ke hospital sama untuk bedah siasat sebelum dikebumikan di kampung masing-masing.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman meluangkan masa menziarahi keluarga mangsa di Bilik Mayat, Hospital Kuala Kangsar sebaik sahaja menerima berita berhubung kejadian tersebut.
Beliau turut menyampaikan sumbangan daripada Parlimen Kuala Kangsar dan DUN Bukit Chandan kepada keluarga mangsa.

No comments:

Post a Comment