YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 2 January 2014

UMNO Selangor lapor polis

Muhamad Nizam Shith (tujuh dari kiri) dan Muhammad Faizal Sufar (sembilan dari kanan) bersama sebahagian ahli pergerakan Pemuda UMNO Ampang dan Pandan mengadakan bantahan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian di IPD Ampang, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR. - Kesemua 22 Bahagian UMNO Selangor hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan Paderi Lawrence Andrew supaya gereja Katolik di negeri itu menggunakan kalimah Allah dan bahasa Melayu dalam perhimpunan mingguan.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Johan Abdul Aziz berkata, pihaknya berharap dengan laporan tersebut, satu tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa khususnya Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
.
Menurut beliau, pihaknya sebelum ini memberi tempoh seminggu kepada Andrew supaya menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf kepada umat Islam.
"Sekarang tempoh untuk Andrew berbuat demikian hanya berbaki empat hari lagi iaitu sehingga Sabtu ini.
"Jika dia enggan, kita akan anjurkan gerakan bantahan secara besar-besaran menentang penggunaan kalimah Allah di gereja di Selangor," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini

Andrew dalam laporan sebuah portal berita baru-baru ini menyatakan gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan bahasa Melayu.
Di Shah Alam, Ketua UMNO bahagian itu, Azhari Shaari mendesak Peguam Negara agar mengambil tindakan terhadap paderi terbabit yang jelas melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris telah bertitah pada 14 Disember lalu agar semua pihak akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.
"Kami juga menuntut JAIS supaya mengambil tindakan mengikut Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

"Enakmen tersebut telah jelas menyatakan larangan untuk bukan Islam menggunakan kalimah Allah maka semua pihak harus akur dengan peruntukan undang-undang sedia ada," ujarnya.
Di Sabak Bernam, Ketua Wanita UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon berkata, kenyataan Andrew bukan sahaja mencabar sensitiviti umat Islam malah turut memperlekeh undang-undang sedia ada.
"Jika benar Andrew mengeluarkan kenyataan sedemikian, beliau jelas telah mencabar undang-undang serta menyebabkan suasana tidak harmoni atau memudaratkan perpaduan antara orang Islam dan bukan Islam," ujarnya.

Di Tanjung Karang, Ketua Pemuda UMNO bahagian berkenaan, Maruwan Ahmad tidak mahu isu tersebut dipandang ringan kerana melibatkan kesucian Islam di mana jika dibiarkan boleh membuka ruang kepada orang bukan Islam untuk terus mempersenda hak orang Islam.
Beliau sebelum itu mengetuai kira-kira 300 orang berhimpun secara aman bagi mendesak paderi terbabit menarik balik kenyataan sebelum ini dan memohon maaf.

Selain ahli UMNO, perhimpunan tersebut disertai oleh pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Persatuan Mahasiswa Tanjung Karang, Gerakan Belia 4B, Persatuan Ketua Kampung Tanjung Karang, Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Tanjung Karang dan Persatuan Alumni 4B.
Sementara itu di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, kira-kira 200 orang membuat bantahan serupa.

Di Sungai Buloh, UMNO Bahagian Subang yang diketuai oleh Ketuanya, Datuk Zein Isma Ismail turut tampil di IPD Sungai Buloh dekat sini hari ini bagi membuat laporan sama.
"Kami mencabar kerajaan negeri supaya bersuara dalam isu ini dan bertindak dengan segera demi memelihara kesucian agama Islam.

"Kami juga mahu Paderi Lawrence menarik semula kenyataan beliau yang bertegas untuk terus mengekalkan penggunaan kalimah suci Allah dalam gereja Katolik," katanya.
Di Keramat, Ketua Pemuda Bahagian Gombak, Aidi Haris Anuar hadir di Balai Polis AU2, Keramat bersama beberapa ahli UMNO bahagian pada kira-kira pukul 2.30 petang tadi mendesak paderi itu memohon maaf dan menarik balik kenyataannya sebelum Jumaat depan.

Di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ampang, Muhamad Nizam Shith dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pandan, Muhammad Faizal Sufar turut membuat laporan polis.
Menurut Muhamad Nizam, perkara tersebut dibuat bagi mempertahankan kesucian kalimah Allah sebagai hak umat Islam daripada terus diperkotak-katik segelintir pihak.
Beliau turut mencabar pemimpin Pas dan kerajaan negeri Selangor bertindak berhubung isu tersebut.





No comments:

Post a Comment