YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Friday 17 January 2014

Kecaman Pelbagai Pihak Kerana Persenda Isu Kangkung


Pelbagai pihak mengutuk tindakan pemimpin parti pembangkang yang menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mempersendakan ucapan beliau mengenai penurunan harga kangkung baru-baru ini.
kushai kangkungPengerusi BNBBC negeri Perak, Datuk Khusairi Abdul Talib menyifatkan ia sebagai perbuatan biadap dan tidak bertamadun, yang tidak sepatutnya dilakukan oleh pemimpin pembangkang.
Menurut beliau, perbuatan menyumbat kangkung ke dalam mulut karikatur yang menyerupai Najib adalah tindakan kurang ajar sekaligus tidak menghormati institusi Perdana Menteri.
"Mereka mengeluarkan karikatur menyerupai Perdana Menteri dan perbuatan itu merupakan satu perkara yang sungguh tidak sopan dan tidak beradab, ditunjukkan oleh bukan sahaja penyokong parti pembangkang bahkan juga di kalangan pemimpin mereka," katanya pada sidang media khas di bangunan UMNO, di Ipoh pada Jumaat.
Ini berikutan sikap ADUN PKR Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang mengetuai sekumpulan remaja Cina bertindak melakukan bantahan dengan memasukkan kangkung ke dalam mulut karikatur Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Nasarudin Hashim turut mengecam perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan berpendapat penghinaan itu umpama barah yang kian menular dan perlu dibanteras segera.
"Kita boleh sahaja berbeza pendapat kerana memang sejak dahulu lagi tidak ada kesepakatan dalam isu tertentu, tetapi cara menegur itu biarlah menggunakan cara yang lebih baik dan beradab," kata Nasarudin.
Bagi Ketua Pegawai Operasi FELDA Global Venture, Datuk Khairil Anuar Aziz, pembangkang sepatutnya bersama-sama Kerajaan membangunkan negara dan bukannya memporak-perandakan rakyat.
"Jadilah pembangkang yang bersama membina negara, bukannya pembangkang yang hanya mahu meruntuhkan negara," katanya.

No comments:

Post a Comment