YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 25 December 2013

Taktik lapuk guna nama rakyat


KUALA LUMPUR 25 Dis. - Bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ruslan Kassim menyelar tindakan kepemimpinan pembangkang yang menganjurkan himpunan rakyat pada 31 Disember ini dan menyifatkan penganjuran tersebut sebagai taktik lapuk dengan mempergunakan nama rakyat untuk kepentingan politik mereka.

Beliau seterusnya menyeru agar kepimpinan pembangkang berhenti daripada terus memperbodohkan rakyat di negara ini dengan anjuran himpunan yang sedemikian.
"Mereka ini saya lihat cuba membawa masuk budaya asing, budaya luar yang bertentangan dengan budaya kita. Mereka lihat apa yang berlaku di Thailand, Mesir dan banyak lagi negara luar, yang menjatuhkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, maka mereka cuba ciplak kaedah tersebut untuk dilaksanakan di negara ini.

"Saya juga menyeru rakyat di negara ini agar tidak terpengaruh dengan hasutan pembangkang untuk mengadakan demonstrasi seperti ini. Ini bukan budaya kita. Budaya kita adalah dengan bermuzakarah dan berbincang bagi menyelesaikan sesuatu masalah. Lagipun, sampai bila kita mahu berdemonstrasi?," tegasnya seperti dilaporkan oleh UMNO-Online.

Sepatutnya ujar beliau, pakatan pembangkang yang mendabik dada mendakwa mereka itulah juara demokrasi perlu akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
"Rakyat telah buat keputusan, maka mereka patut hormati keputusan majoriti rakyat di negara ini. Untuk apa lagi buat demo itu dan ini? Ini memperlihatkan pembangkang langsung tidak menghormati keputusan majoriti rakyat di negara ini.

"Negara kita mengamalkan sistem demokrasi di mana lima tahun sekali, rakyat akan memilih dan menentukan siapa yang layak untuk mentadbir negara ini, dan keputusan itu telah pun dibuat. Sistem pemilihan pemimpin di negara kita adalah berdasarkan sistem pilihan raya, dan bukannya sistem di jalan raya," ujarnya.

Justeru beliau berpendapat, sepatutnya kepemimpinan pembangkang mencari jalan yang lebih baik untuk memberikan pandangan dan pendapat, bukannya dengan cara menghasut rakyat ke jalan raya.
"Jangan kata kerajaan tidak mendengar suara pembangkang. Contohnya dalam penggunaan dakwat kekal yang didesak oleh pembangkang, kerajaan dengar dan laksanakan. Begitu juga dengan beberapa perkara lain lagi.

himpunan yang dianjurkan oleh pembangkang ini memperlihatkan sikap mereka yang rakuskan kuasa, dengki, khianat serta tidak mempedulikan nasib dan suara majoriti rakyat di negara ini.
"Majoriti rakyat di negara ini mahukan perpaduan dan bukannya perpecahan serta huru-hara. Tetapi kepimpinan pembangkang tidak peduli hasrat dan aspirasi rakyat terbanyak kerana apa yang penting, matlamat mereka untuk menjatuhkan kerajaan, dan dengan itu kuasa akan berpindah ke tangan mereka tercapai," jelasnya.


No comments:

Post a Comment