YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Monday 23 December 2013

Jaga nama baik, imej negara demi kejayaan lebih besar

Najib Tun Razak bersama Datin Seri Rosmah Mansor berdoa selepas melakukan tawaf mengelilingi Kaabah di Mekah, malam semalam. Perdana Menteri mengadakan lawatan kerja empat hari ke Arab Saudi bermula 21 hingga 24 Disember. - BERNAMA

MEKAH 23 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Malaysia mampu mencapai kejayaan lebih besar jika rakyat yang berada di luar negara atas apa jua urusan sentiasa menjaga nama baik dan imej negara.
Perdana Menteri berkata, cita-cita kerajaan menjadikan Malaysia negara Islam yang berjaya, moden dan progresif tetapi tetap berpaksi kepada syariat Islam, terbukti berjaya dengan penglibatan rakyat di luar negara.
Rakyat Malaysia telah membuktikan kemampuan di luar negara dengan penyertaan mereka dalam projek raksasa seperti projek pembesaran Masjidilharam dan Menara Jam Diraja Makkah atau Abraj Al-Bait setinggi 602 meter, katanya.

"Oleh itu, jika kita terus bersama-sama dan kekal bermuafakat dan bersatu sebagai umat Islam, sudah pasti akan mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa akan datang," katanya semasa bertemu dengan rakyat Malaysia di Restoran Felda D'Saji di sini.

Adalah menjadi harapan beliau, tegasnya, agar rakyat Malaysia yang berada di sini atas urusan perniagaan dan mengerjakan ibadat haji atau umrah supaya menjaga nama baik dan imej negara.
"Mereka (warga Arab Saudi) di sini meletakkan kita di tangga (kedudukan) yang begitu tinggi dari segi pandangan mereka terhadap kita dan sebut sahaja nama Malaysia, kita dapat lihat mereka menyambut kehadiran kita dengan baik," kata Najib.

Beliau berkata mereka (Arab Saudi) begitu senang hati menerima rakyat Malaysia sebab imej yang dipamerkan rakyat yang menghormati undang-undang dan peraturan negara mereka selain hubungan antara rakyat dengan rakyat
.
Najib berkata mereka melihat Malaysia sebagai negara yang berjaya.
"Oleh itu, saya harap bawa diri dengan baik dan jangan buat angkara membuatkan mereka tidak senang terhadap Malaysia dan boleh merosakkan nama baik negara pada pandangan mereka.

"Dalam mencari rezeki, belajar atau mengerjakan ibadat haji tunjukkanlah pembawaan diri yang baik dan jadikan mereka sebagai sahabat dan saudara kita dan dengan ini ia dapat memudahkan urusan pada masa akan datang," kata Perdana Menteri. - BERNAMA.


No comments:

Post a Comment