YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Monday 2 December 2013

Rakyat Malaysia harus berbangga - Golkar



Para delegasi tekun mendengar ucapan Najib Tun Razak pada Forum Antarabangsa UMNO 2013 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Rakyat berbilang kaum di negara ini beruntung dan harus berbangga di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO kerana parti tersebut berjaya membawa kemajuan, pembangunan dan memerintah secara adil.
Ketua Partai Golkar Luar Negara, Dr. Musthafa Bakri berkata, gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan hala tuju yang jelas kepada negara ini dalam pelbagai bidang.
"Jelas gagasan 1Malaysia membawa kesatuan kepada rakyat Malaysia. Gagasan itu memberi makna yang besar iaitu satu bangsa, satu tujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, moden, berilmu dan beradap.
"Angka 1 juga menunjukkan kesungguhan Malaysia untuk menjadi negara yang nombor satu di Asia Tenggara. Saya yakin, dengan kekuatan dan kesatuan semua masyarakat majmuk di negara ini mampu merealisasikan Wawasan 2020 yang dibawa oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Beliau yang juga calon Parlimen bagi kawasan Jakarta Pusat dan Luar Negara pada Pilihan Raya Umum negara itu yang dijangka diadakan Ogos tahun depan berkata, rakyat negara ini harus memberi sokongan dan bersama-sama kerajaan BN yang telah terbukti berjaya membawa kemajuan, pembangunan, keharmonian dan keamanan kepada negara.
Dalam pada itu, Golkar kagum dengan UMNO yang turut mengadakan forum antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO kerana program itu bukan sahaja dapat mengumpulkan ramai pemimpin negara, malah menyatupadukan pendapat mereka dalam pelbagai isu yang melanda dunia sekarang.
"Forum ini juga mencari penyelesaian yang dirasakan terbaik bagi menangani masalah yang timbul. Jalan penyelesaian yang digariskan bukan sahaja diharap dapat menyelesaikan masalah, malah merapat dan mengeratkan lagi hubungan bilateral antara negara-negara yang terlibat," katanya.
Menurutnya, Presiden Golkar, Abu Rizal Bakri yang mengetuai rombongan parti itu ke Perhimpunan Agung UMNO kali ini turut akan menyampaikan ucaptama dalam forum antarabangsa esok.
"Selain itu, beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Antara perkara yang akan dibincangkan ialah isu-isu yang berkaitan kedua-dua negara dan usaha untuk mengukuhkan lagi hubungan antara parti dan negara," katanya.
Beliau berharap, hubungan antara Malaysia dan Indonesia serta UMNO-Golkar akan terus berkembang baik pada masa akan datang.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131203/po_01/Rakyat-Malaysia-harus-berbangga---Golkar#ixzz2mOF06RON
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment