YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Sunday 8 December 2013

Perhimpunan Agung Khas Kaji Penambahbaikan UMNO

Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar Perhimpunan Agung Khas UMNO diadakan bagi mengkaji prosedur dan proses pemilihan, termasuk pindaan Perlembagaan parti itu.
tsmuhyifMenurut Timbalan Presiden UMNO itu, berdasarkan usul yang dibahaskan perwakilan pada Perhimpunan Agung kali ini, beberapa fasal dalam Perlembagaan dan Tata Etika Pemilihan UMNO perlu ditambah baik.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya Pengerusi Perhubungan UMNO negeri meneliti proses pemilihan yang dilaksanakan Oktober lalu.
“Apakah perlu ada penambahbaikan dari segi sistem dan syarat untuk bertanding,” katanya ketika ucapan penggulungan Timbalan Presiden pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2013 (PAU13) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
UMNO pernah mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2009 bagi meminda Perlembagaan parti itu yang membolehkan perwakilan di peringkat akar umbi memilih pemimpin di peringkat pusat.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran seterusnya berkata, kerajaan akan tetap bertegas untuk meneruskan segala perakuan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025
Justeru itu, kata beliau, Biro Pendidikan UMNO di semua bahagian disaran mengambil peranan utama dan bergerak ke depan dalam melaksanakan PPPM 2013-2015 supaya ia dapat diterjemahkan di semua peringkat.
Beliau berkata selepas mengadakan perbincangan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan memperhalusi Laporan Razak yang dibuat 40 tahun lalu, satu kajian menyeluruh dilaksanakan bagi mengukuhkan sistem pendidikan negara.
“Apakah proses penambahbaikan yang perlu dilaksanakan supaya tempoh akan datang, kita dapat lahirkan generasi yang bukan saja terdidik dengan ilmu dan kepakaran, tetapi juga berakhlak, beretika dan mempunyai adab sopan santun yang sesuai dengan kehendak masyarakat kita,” ujarnya.
Katanya, sebagai menteri yang diamanahkan untuk menjaga sistem pendidikan negara, kerajaan tidak akan berdolak dalih dan tetap bertegas dalam melaksanakan pelan pendidikan itu.
“Tidak kira suara mana yang datang pun, kerana tujuan dan matlamat kita dalam pelan ini adalah untuk meningkatkan martabat masyarakat Malaysia ke suatu tahap lebih tinggi,” katanya.

No comments:

Post a Comment