YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 8 January 2015

Sesi Persekolahan Beberapa Buah Sekolah Di Perak Tengah Mungkin Ditunda



Sesi persekolahan beberapa buah sekolah di daerah Perak Tengah yang dijadualkan bermula Isnin depan mungkin terpaksa ditunda kerana masih digunakan sebagai pusat pemindahan sementara mangsa banjir.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang tidak menolak kemungkinan itu bagaimanapun menegaskan, perkara tersebut akan diputuskan oleh pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan MARA.
Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan secara tidak rasmi dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melawat Perak baru-baru ini.
Menurut beliau, semasa lawatan itu, Timbalan Perdana Menteri menyedari mungkin ada beberapa buah sekolah yang berkemungkinan terus menjadi pusat pemindahan banjir.
Bagaimanapun, kata Dr Zambry, perkara itu akan dikaji mengikut kes tertentu di kawasan berkenaan.
“Kita akan mendapatkan maklumat lanjut tentang kedudukan semasa dan sekiranya ia masih lagi tidak dapat kita selesaikan, atau mereka tidak dapat pulang ke rumah masing-masing, Jabatan Pendidikan dan pihak MARA sendiri akan mengambil tindakan selanjutnya samada tarikh persekolahan akan dilanjutkan ataupun tidak.
Pengumuman rasmi akan dikeluarkan oleh pihak jabatan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika melawat kerjasama gotong royong membersihkan beberapa buah rumah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manong pada Selasa.
Hampir 100 sukarelawan daripada Yayasan Bina Upaya (YBU), Yayasan Pembangunan Islam Darul Ridzuan (KADIR), Amanah Raya Berhad mengambil bahagian di dalam program gotong royong itu di samping 100 sukarelawan daripada UMNO Bahagian Bukit Katil, Melaka yang menghantar bantuan.
Hadir sama Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Reezal Marican Naina Marican dan Ketua Eksekutif YBU, Datuk Ismail Saffian.
Menteri Besar memberi contoh, antara pusat pemindahan banjir yang masih menempatkan bilangan mangsa yang ramai ialah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Pasir Salak dan Pusat Latihan UiTM Sungai Galah.
Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, beliau telah meminta pegawai-pegawai daerah memaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta beberapa jabatan lain bagi membantu mengatasi masalah air bertakung di rumah mangsa atau kawasan tertentu.
Menurut beliau, takungan air itu berlaku adalah disebabkan kawasan yang terlibat terbentuk seperti kawah dan air tidak dapat bergerak.
“Kita ada mesin pam untuk mengeluarkan air daripada rumah mereka dan juga di kawasan tompokan-tompokan air yang mungkin tak dapat keluar,” ujarnya.
Di samping itu, kata beliau, kerajaan melalui pelbagai agensi telah mula membuat penilaian terhadap kerosakan yang berlaku terhadap jeti, jambatan dan jalan-jalan di seluruh negeri, termasuk di kawasan perkampungan Orang Asli.
Dr Zambry seterusnya merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu usaha membersihkan rumah-rumah mangsa banjir dan beberapa kawasan di ditenggelami air sebelum ini.
Beliau memberi contoh, dua hari lalu, sepasukan 300 sukarelawan dan UMNO Bahagian Kepala Batas, Pulau Pinang, datang untuk bersama-sama untuk membantu sukarelawan di negeri Perak untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

No comments:

Post a Comment