YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 21 January 2015

Pusat Penempatan Banjir Di Sekolah Ditutup



Semua sekolah yang digunakan sebagai pusat penempatan mangsa banjir di Perak telah ditutup sepenuhnya pada Ahad lepas dan boleh digunakan semula bagi tujuan sesi persekolahan.
Ketua Sektor Pembangunan dan Kemanusiaan Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Rozi Puteh Ismail berkata, semua murid dan pelajar kini boleh memulakan sesi pembelajaran mereka yang tertangguh dan kembali ke sekolah seperti sediakala.
“Berdasarkan laporan daripada setiap pejabat pendidikan daerah, semua sekolah telah mula beroperasi 100 peratus bermula pada hari Isnin dan kami berasa lega kerana ramai pelajar sudah tidak sabar untuk memulakan rutin persekolahan mereka,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui membuat tinjauan di SMK Sultan Muzaffar Shah I, Lambor Kanan pada pagi Isnin. SMK Sultan Muzaffar Shah yang menempatkan lebih daripada 700 mangsa banjir telah ditutup pada Ahad.
Menurut Rozi, pihaknya juga telah menyediakan sebuah pasukan bantuan kaunseling yang dikenali sebagai Smart Support Team (SST) untuk memberi khidmat nasihat dan sokongan kepada pelajar yang mengalami trauma akibat daripada banjir.
Jelasnya, setakat ini kesemua pelajar dilihat bersemangat untuk kembali ke bangku sekolah dan girang ditemani rakan-rakan setelah sekian lama sesi persekolahan mereka tertangguh.
Dalam pada itu, pengetua sekolah, Juriah Ismail berkata, terdapat beberapa kerosakan dari segi keperluan asas sekolah tersebut berikutan penggunaannya sebagai pusat penempatan banjir.
“Biasalah, apabila 700 orang datang dan menetap di sini memang keadaan akan jadi kotor dan kita perlu susun semula bangku dan meja di setiap kelas.
“Namun syukur alhamdullilah, berkat bantuan masyarakat yang prihatin, kita telah menjalankan gotong-royong sebanyak tiga kali dan Lembaga Air Perak (LAP) serta Indah Water turut datang menyelesaikan masalah tandas tersumbat,” katanya lagi.
Juriah berkata, pihaknya telah mengagihkan buku teks dan peralatan sekolah kepada semua pelajar di sekolah tersebut yang terlibat dengan banjir dan berharap mereka akan tabah menghadapi dugaan ini.
Salah seorang pelajar Tingkatan Satu, Yusoff Ahmad Ismail yang berasal dari Kampung Rimba Raja berkata, pengalaman musibah banjir ini membuka matanya terhadap pengorbanan ayahnya dalam membesarkan mereka.
"Sedih saya tengok ayah sebab mak dah tiada, ayah yang sara kami 7 beradik, gaji ayah tak banyak, tapi sebab baju dah tenggelam masa banjir ayah tak bising, beli lagi baju untuk kami.
"Saya janji, saya akan belajar tinggi-tinggi bagi ayah bangga, banyak sangat yang ayah bagi kepada kami semua," katanya yang dilihat masih boleh tersenyum di sebalik kesedihan tersebut.

No comments:

Post a Comment