YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 3 April 2014

Pembangkang Sokong Bina Lapangan Terbang di Utara Perak



Cadangan kerajaan negeri untuk membina sebuah lapangan terbang di kawasan Sungai Bogak, Utara Perak mendapat sokongan anggota pembangkang dalam sesi perbahasan dipersidangan Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan hari ini.
ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat semasa berbahas meminta kerajaan negeri mempercepatkan cadangan pembinaan lapangan terbang itu yang akan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan utara Perak khususnya di Alor Pongsu.
ADUN Canning, Wong Kah Woh yang bangun mencelah bersetuju agar lapangan terbang itu dibina kerana ia memberi peluang keemasan kepada Perak untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan pembinaannya.
Menurut Wong, ini kerana pada masa kini jumlah pengunjung ke Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas mencecah lima juta pengunjung setiap tahun.
"Ini satu peluang keemasan kerajaan Barisan Nasional di sini berunding dengan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan sebuah lapangan terbang di Utara Perak,'' katanya.
Sham dalam perbahasannya turut mencadangkan agar kerajaan negeri mewujudkan skim perumahan khusus untuk generasi kedua bersandarkan prinsip perumahan untuk rakyat yang mampu dimiliki.
Beliau berkata, mungkin skim ini boleh mengambil konsep Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang dilaksanakan seperti di Simpang Taiping baru-baru ini.
Beliau juga berharap rancangan untuk membangunkan Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) di Sungai Rawa dapat dipercepatkan kerana ia sudah lama dirancang.
"Saya difahamkan projek perumahan ini telah dilaksanakan pada tahun 2010 cuma pelaksanaannya agak begitu lembab,'' katanya.
                          

No comments:

Post a Comment