YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Tuesday 15 April 2014

PAS Ketandusan Modal Tuduh UMNO Guna Premis Kerajaan



Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat mengecam kepimpinan PAS kerana masih membuat tohmahan kononnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) menggunakan premis milik kerajaan untuk kepentingan parti.
Sambil menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas, beliau menganggap PAS sudah ketandusan modal sehingga sanggup memainkan isu tersebut untuk meraih sokongan rakyat agar membenci kerajaan.
Menurut beliau, UMNO dan BN tidak pernah menggunakan premis kerajaan seperti balai raya dengan sewenang-wenangnya untuk kepentingan politik.
''Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini dan sebenarnya kita mengikut peraturan yang ditetapkan oleh pihak pentadbir daerah Kerian sebelum menggunakan premis kerajaan.
''Sekiranya kita hendak menggunakan dewan orang ramai, kita perlu terlebih dahulu menulis surat kepada Pegawai Daerah Kerian dan sekiranya mendapat kelulusan baru kita menggunakannya jika tidak kita tidak boleh menggunakannya,'' ujarnya.
Sham yang juga ADUN Alor Pongsu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian watikah pelantikan ketua kampung bagi kawasan Parlimen Bagan Serai dan Parit Buntar di Dewan Orang Ramai Bagan Serai pada Selasa.
Pegawai Daerah Kerian, Shahril Datuk Ismail telah menyampaikan watikah pelantikan kepada kesemua 135 ketua kampung terbabit di majlis itu.
Menurut Sham, dalam sidang Dewan Undangan Negeri Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan baru-baru ini beliau juga telah menafikan dakwaan Husin Din (PAS-Selinsing) kononnya UMNO dan BN menggunakan sewenang-wenang premis milik kerajaan untuk kepentingan politik.
Sementara itu, Shahril dalam ucapannya meminta semua ketua kampung yang baru dilantik supaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi agar penduduk kampung yang mereka wakili benar-benar mendapat manfaatnya.
Katanya, mereka tidak seharusnya berbangga dengan jawatan yang disandang tetapi harus melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan penuh ikhlas dan berintegriti.

No comments:

Post a Comment