YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Friday 18 April 2014

KDN Kerjasama Dengan Jabatan Peguam Negara Hantar Pulang PATI


Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berhubung aspek perundangan bagi mempermudah pendatang asing tanpa izin (Pati) dihantar pulang ke negara masing-masing tanpa perlu berada lama di depoh tahanan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penasihat perundangan daripada kementerian akan mengemukakan beberapa cadangan kepada jabatan itu agar Pati yang dilepaskan daripada tahanan atau penjara tidak perlu dibawa ke depoh tahanan sebelum dihantar pulang ke negara asal mereka.
"Ini memerlukan beberapa pindaan perundangan dan jika ia boleh dilakukan secara pentadbiran maka ini akan dilakukan secara pentadbiran.
"Begitu juga beberapa aspek dalam Akta Imigresen dan undang-undang yang berkaitan akan kami bincangkan dengan Jabatan Peguam Negara," katanya selepas melakukan lawatan kerja ke Depoh Tahanan Imigresen Langkap dekat Teluk Intan pada Jumaat.
Beliau berkata terdapat Pati yang sukar untuk dihantar pulang ke negara asal disebabkan identiti yang tidak dikenal pasti kerana mereka tidak membawa sebarang tanda pengenalan.
"Ini menyebabkan kesukaran untuk negara berkenaan (asal) menerima mereka bagi penghantaran pulang," katanya.
Ahmad Zahid berkata sebanyak 19,222 Pati diusir dari negara ini dalam 'Ops Bersepadu' yang bermula 21 Jan lepas hingga 16 April dan kira-kira 15,800 Pati yang masih ditahan di 16 depoh tahanan kini dalam proses untuk dihantar pulang.
"Proses penghantaran pulang ini memerlukan dokumentasi terutama kerjasama daripada kedutaan atau pejabat Pesuruhjaya Tinggiuntuk menyelesaikan dokumen sekurang-kurangnya perjalanan satu hala ke negara masing-masing," katanya.
Beliau berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM24 juta setahun bagi penyelenggaraan makanan untuk Pati di depoh tahanan.

No comments:

Post a Comment