YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 6 June 2015

Pendirian PAS Mengelirukan – DS Tajuddin



SUNGAI MANIK: PAS memberikan satu kenyataan yang mengelirukan dalam menetapkan pendirian mereka untuk bekerjasama dengan kepimpinan Parti Pakatan Rakyat (PKR) tetapi menolak DAP.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, parti tersebut tidak mempunyai pendirian yang tetap dalam memperjuangkan hak mereka sebagai sebuah parti.
“PAS telah mengusulkan kepada Dewan Ulama PAS supaya hubungan antara parti itu dengan DAP diputuskan kerana mereka sudah sedar bahawa DAP telah menjadi penghalang kepada perjuangan mereka.
“Tapi yang peliknya, mereka kata mereka masih nak kekal lagi dalam pakatan… Macam mana nak terus dalam pakatan kalau mereka nak putus dengan DAP,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Kenduri Sekampung yang diadakan di Kampung Sungai Lampam, di sini, hari ini.
Tambah beliau lagi, DAP merupakan salah satu parti yang turut berada dalam Pakatan Rakyat, dan disebabkan itu, PAS perlu membuat satu keputusan yang jelas.
“Seolah-olah mereka sebelah kanan kata tolak pakatan sebab masalah DAP, manakala sebelah kiri pula kata akan kekal dalam pakatan sedang DAP itu ada dalam pakatan.
“Takkan pula ada dua pakatan yang mana, satu pakatan tiga parti, manakala satu pakatan lagi bercakap soal dua parti sahaja iaitu antara PAS dengan PKR,” soal beliau lagi.
Tajuddin berkata, PAS seharusnya menolak kedua-dua parti berkenaan berikutan mereka mempunyai pendapat yang sama dengan menjadi penghalang kepada perjuangan PAS terutamanya dalam soal hudud.
“Kalau DAP bertindak sebagai penghalang, manakala PKR pun telah menyatakan pendirian mereka iaitu bersetuju dengan hudud tetapi tidak setuju dengan pindaan kanun jenayah syariah, jadi DAP dengan PKR itu sama dan PAS perlu tolak dua-dua sekali.
“Saya rasa keputusan yang dibuat itu mengelirukan dan juga menjadi tanda tanya keikhlasan pihak PAS sebenarnya daripada segi hala tuju perjuangan mereka,” ujar beliau lagi.
Terdahulu, Muktamar Dewan Ulama PAS telah sebulat suara meluluskan usul yang dibentangkan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Pahang, Mokhtar Senik iaitu membatalkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan DAP dan memutuskan hubungan dengan parti tersebut.
Mokhtar menyatakan bahawa tindakan tersebut perlu dilakukan berikutan DAP telah secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Namun, dalam usul yang sama juga, beliau juga mahu parti PAS meneruskan kerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat.

No comments:

Post a Comment