YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Sunday 2 March 2014

PRK Kajang : BN Guna Pendekatan Ofensif Berdepan Fitnah Anwar


KAJANG 3 Mac - Barisan Nasional (BN) akan menggunakan pendekatan ofensif dalam berhadapan fitnah yang bakal dibangkitkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerusi calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempen pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang bermula Selasa minggu depan.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sekalipun dilihat sebagai 'underdog', suhu politik ketika ini tidak memungkinkan BN hanya perlu bertahan, sebaliknya kelemahan parti lawan juga perlu didedahkan untuk pengetahuan umum.

"Kalau kita hanya bersikap 'defensive' kita akan dilihat lemah, sedangkan kita juga ada banyak maklumat berkenaan parti lawan termasuk wakil Bebas yang dikatakan bakal bertanding.

"Kita faham dan tahu kemelut yang dihadapi PKR (Parti Keadilan Rakyat) serta dasar-dasar yang dibawa di mana jelas tidak memberi kebaikan kepada rakyat, termasuk penduduk di Kajang," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jentera BN di pejabat Umno Hulu Langat, di sini.

Hadir sama Pengarah BN bagi PRK DUN Kajang Datuk Seri Noh Omar, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau menjelaskan, BN kini sudah bersedia sepenuhnya untuk berjuang habis-habisan, malah semua gerak kerja ke arah itu sudah dilaksanakan sepenuhnya.

 mesyuarat yang diadakan hari ini lebih kepada menyelaras gerak kerja serta menetapkan tanggungjawab mengikut Pusat Daerah Mengundi masing-masing.

"Lebih utama, saya tekankan dalam pilihan raya rakyat adalah raja, sebab itu jentera kempen perlu memberi keutamaan pengundi dan penduduk di mana mereka ditugaskan," katanya.

Pilihan raya kecil dijadual berlangsung 23 Mac ini menyaksikan Chew bakal berdepan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Bebas, antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan peletakan jawatan secara mengejut penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR pada 27 Januari lepas bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding.

No comments:

Post a Comment