YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Friday 20 February 2015

Rumah Projek Mesra Rakyat Hadiah Tahun Baru Cina


Seorang warga emas, Lam Seiw Cheong, 75, menyifatkan projek pembaikan rumahnya di Kampung Baharu, Bukit Merah, Ipoh di bawah Projek Mesra Rakyat Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai hadiah sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini.
Katanya, projek itu berjaya mengubah masa depannya berbanding sebelum ini yang terpaksa tinggal di rumah usang yang sering dimasuki air hujan kerana atapnya bocor dan dinding reput akibat dimakan anai-anai.
"Saya tidak perlu bimbang lagi kerana rumah saya sudah berada dalam keadaan sempurna hasil pertolongan pihak TNB bagi membolehkan saya menyambut Tahun Baru Cina bersama empat orang anak dan tujuh cucu kesayangan saya," katanya.
Lam, bekas mekanik sebuah kilang di Ipoh berkata demikian kepada pemberita di Majlis Keraian Projek Mesra Rakyat TNB Peringkat Negeri Perak 2015 di rumahnya di Kampung Baharu, Bukit Merah, Ipoh pada Selasa.
Pada majlis itu, Lam menerima kunci rumah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. Hadir sama Pengurus Besar Bahagian Pembahagian TNB Perak, Datuk Mohd Zahir Md Nagor.
Zainol dalam ucapannya berkata, usaha TNB membantu memperbaiki kediaman golongan sasaran antaranya warga emas, ibu tunggal dan golongan miskin perlu dicontohi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain.
"Ini bagi membolehkan golongan sasaran seperti warga emas dan golongan miskin mengharungi kehidupan dengan lebih sempurna dan selesa," ujarnya.
Terdahulu Mohd Zahir pula berkata, bagi negeri Perak sebanyak dua buah rumah milik dua warga emas telah diperbaiki pada tahun ini yang menelan kos berjumlah RM40,000.
Katanya, dua warga emas itu ialah M. Appasamy dari Buntong dan Lam Seiw Chong dari Kampung Baharu Bukit Merah, Ipoh.

No comments:

Post a Comment