YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 18 February 2015

Lubuk Timah Hotspring Tarikan Terbaharu Pelancongan



Lubuk Timah Hotspring yang terletak di Simpang Pulai, Ipoh, mampu menjadi satu lagi tarikan pelancongan terbaharu di negeri Perak.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kedudukannya yang strategik antara Ipoh dan Cameron Highlands mampu menjadi tumpuan pelancong yang berulang-alik antara kedua-dua tempat itu.
Sehubungan itu, beliau berharap syarikat yang menguruskan pusat rekreasi itu, Pusat Rekreasi Lubuk Timah Sdn Bhd dapat meningkatkan kemudahan yang disediakan, sekaligus menarik lebih ramai pengunjung.
"Bagi masyarakat kota, pusat rekreasi inilah yang menjadi tumpuan keluarga setiap hujung minggu, tambah-tambah lagi apabila pihak pengurusan menyediakan lebih banyak kemudahan seperti chalet, surau dan sebagainya, sudah tentu ia menarik lebih ramai pengunjung, termasuk dari luar Perak," katanya ketika merasmikan pusat rekreasi itu pada Ahad.
Hadir sama Pegawai Daerah Batu Gajah, Tarmidzi Abd Manap, Pengerusi Eksekutif Pusat Rekreasi Lubuk Timah Sdn Bhd, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim dan Pengarah Urusannya, Fadzil Datuk Wira Mohd Yusoff.
Tarmidzi memberitahu, pengurusan pusat peranginan seluas 3.095 hektar itu telah diserahkan kepada syarikat berkenaan pada tahun 2014.
Sementara itu, Mohd Yusoff memberitahu, program pembangunan Lubuk Timah Hotspring akan dilaksanakan dalam empat peringkat yang melibatkan kos antara RM15 juta dan RM20 juta dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun.
Menurut beliau, melalui pembangunan fasa pertama yang telah dirasmikan itu, pihaknya menyediakan enam chalet berharga antara RM113 dan RM313 semalam di samping kemudahan lain seperti surau, wakaf dan gerai.
Bagaimanapun, kata beliau, apabila siap sepenuhnya kelak, pusat rekreasi itu mungkin mempunyai 100 bilik dari pelbagai kategori termasuk dewan serbaguna, hostel dan bajet chalet berharga antara RM50 dan RM80 semalam.
Mohd Yusoff berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan pihak Felcra untuk menaik taraf jalan masuk sepanjang 800 meter dari jalan Simpang Pulai – Cameron Highlands ke pusat rekreasi itu.
"Kami berharap pusat rekreasi ini juga dapat dimasukkan ke dalam peta pelancongan negeri Perak bagi menarik lebih ramai pelancong," katanya sambil memberitahu kira-kira 1,300 orang mengunjungi pusat itu pada hari-hari hujung minggu.
Beliau memberitahu, ketika lawatan ke empangan di kawasan itu, Dr Zambry telah meminta pihak Pejabat Daerah menjalankan kerja-kerja baik pulih empangan itu yang telah pecah di kedua-dua bahagian kiri dan kanannya.
Katanya, memandangkan beberapa kemudahan telah dinaiktaraf, pihaknya mengenakan bayaran masuk sebanyak RM3 untuk dewasa dan RM1.50 untuk kanak-kanak dan warga emas.
Mereka yang ingin membuat tempahan boleh melayari facebook PUSAT REKREASI LUBUK TIMAH atau laman sesawang www.pusatrekreasilubuktimah.com untuk keterangan lanjut.


No comments:

Post a Comment