YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 7 February 2015

Perak Mulakan Langkah Kanan Dengan Tiga Mata



Perak di bawah bimbingan jurulatih baru, Datuk M. Karathu memulakan langkah kanan dalam aksi pembukaan Liga Super di Ipoh malam kelmarin.
Perak yang lebih dikenali The Bos Gaurus berjaya melakar kemenangan manis membenam pasukan berstatus kelab, Sime Darby 2-0 di Stadium Ipoh.
Hasrat The Bos Gaurus mengutip tiga mata penuh yang pertama berbunga apabila Muhd Nurridzuan Abu Hassan menyumbangkan gol pertama Perak pada minit ke-28.
Selepas itu, anak buah Karathu terus mengasak kubu lawan bagi menambahkan jaringan gol.
Namun begitu, jentera serangan Perak yang diketuai oleh pemain import, Charles Sauza Chad gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan bagi menambahkan jaringan gol.
Sauza Chad juga gagal menyempurnakan sepakan penalti setelah dikasari oleh ketua pasukan Sime Darby, Ivan Dragicevic pada minit ke-56.
Dragicevic dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah menyebabkan Sime Darby terpaksa mengharungi 36 minit dengan sepuluh pemain sahaja.
Harapan Perak mendapat kemenangan pertama semakin cerah apabila pemain import dari Korea Selatan, Namkung Woong menambah gol kedua pada minit ke-84.
Karathu berpuas hati dengan kemenangan pertama itu sebagai cetusan semangat untuk perlawanan akan datang.
Sementara itu, dua kuasa Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan telah memulakan kempen Liga Super 2015 dengan kemenangan bermakna.
Terengganu menggunakan sepenuhnya aksi di laman sendiri, Stadium Sultan Ismail dengan membenam Selangor juga dengan keputusan 2-0.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan, ATM gagal menggunakan kelebihan di laman sendiri apabila tumbang 2-0 kepada Kelantan.
Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, pendatang baharu Liga Super, FELDA United diikat seri 3-3 oleh Sarawak.
Pada aksi lebih awal, Lions XII menewaskan juara Liga Perdana, PDRM 5-3 di Stadium Jalan Besar.

No comments:

Post a Comment