YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Wednesday 27 November 2013

ADUN Alor Pongsu Mahu Projek Rumah Rakyat di Kawasannya



ADUN Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat mencadangkan agar Program Perumahan Rakyat (PPR) dikembangkan lagi ke kawasan Alor Pongsu untuk memenuhi keperluan rakyat dari golongan berpendapatan sederhana dan juga golongan muda.
Katanya, beliau mencadangkan supaya ianya dibina di Bandar Bagan Serai yang sudahpun dikenalpasti tempat yang sesuai untuk dilaksanakan.
"Ini membuktikan kerajaan negeri amat prihatin terhadap keperluan rakyat dan sentiasa berusaha menyediakan prasarana yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan tersebut.
"Bagaimanapun di DUN Alor Pongsu, keperluan ini masih perlu dipenuhi khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah dan golongan muda," katanya semasa membahaskan Bajet 2014 di Mesyuarat Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan hari ini.
Sham turut membangkitkan masalah pembinaan Hospital Daerah Kerian yang tertangguh begitu lama dan kini menjadi tajuk perbincangan.hangat di Daerah Kerian.
Menurut beliau, majlis pecah tanah projek hospital berkenaan telah lakukan pada tahun 2008, selepas itu terus senyap dan dalam lawatan Perdana Menteri ke Daerah Kerian pada 2011 sekali lagi diumumkan kelulusannya dan bulan Mei lalu lagi sekali diumumkan projek hospital ini.
"Tapi sampai hari ini projek tersebut tidak dilaksanakan dan sudah ada pihak-pihak yang mempersendakan projek ini," katanya.
Sham berkata, beliau amat memahami kekangan kewangan yang dihadapi dan juga memahami bahawa ini adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek berkenaan.
"Apa yang saya bangkitkan di sini ialah rayuan ikhlas daripada saya dan penduduk Daerah Kerian untuk meminta kerajaan negeri membantu dalam segala segi bagi mempercepatkan pembinaan projek Hospital Daerah Kerian,’’ katanya.
Beliau juga yakin projek tebatan banjir yang dijalankan di Daerah Kerian yang dijangka siap sepenuhnya dalam tahun 2015 akan mendatangkan banyak manfaat kepada penduduk dalam Daerah Kerian.
Dato’ Sham juga memohon kerajaan negeri supaya dapat mengambil sesuatu langkah untuk membantu para pengusaha ternakan ikan arowana yang kini mengalami masalah pemasaran yang agak kritikal.
"Boleh kiranya pegawai-pegawai yang mempunyai kepakaran mengenai arowana ini melawat ke kawasan Bukit Merah dengan memberi khidmat nasihat bagi memulihkan semangat pengusaha ini agar dapat terus menjalankan perusahaan itu selain menyusun strategi pemasaran yang betul dan berkesan." katanya.

No comments:

Post a Comment