YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 1 August 2015

Denggi: Tindakan Tegas Kepada Pihak Tidak Bertanggungjawab – DS Zambry



MANJUNG: Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab membiarkan kawasan kediaman atau premis mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan termasuklah dengan merampas kembali tanah berkenaan.
“Kita mendapati kawasan-kawasan yang menjadi pusat tempat pembiakan nyamuk ini terdiri daripada kawasan-kawasan yang terbiar dan kita tahu tanah itu tanah milik dan kita tahu rumah-rumah itu ada penghuninya.
“Sekiranya mereka ini membiarkan rumah mereka dan tidak membayar cukai, maka kita akan lakukan tindakan yang selaras dengan Kanun Tanah Negara dan termasuklah kemungkinan kita merampas tanah tersebut,” tegasnya.
Beliau berkata, tindakan kompaun maksimum juga akan dikenakan kepada penghuni yang tidak bertanggungjawab dengan membiarkan kawasan semak samun di tanah mereka sehingga boleh menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes.
Selain itu, beliau berkata, pihaknya turut mendapati bahawa pembiakan nyamuk aedes juga disebabkan oleh aktiviti pertanian yang dilakukan di kawasan tanah kerajaan yang telah diceroboh secara haram.
“Kita dapati tanah-tanah kerajaan yang diceroboh secara haram yang dijadikan tempat untuk mereka bercucuk tanam dan mereka membiarkan tempat-tempat tersebut bergenang air serta menjadi tempat pembiakan nyamuk,
“Saya mengarahkan supaya pihak berwajib untuk buru mereka kerana mereka telah membuat dua kesalahan iaitu yang pertama menceroboh tanah kerajaan dengan haram dan kedua mereka juga bertanggungjawab menyebabkan pembiakan nyamuk-nyamuk aedes di kawasan tersebut,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Zambry berkata, usaha yang diambil oleh Kerajaan Negeri termasuklah ketegasan pihak tersebut dalam menangani masalah denggi di negeri itu telah membuahkan hasil.
“Kerajaan Negeri tidak akan berlembut dalam mengatasi masalah ini kerana kita mendapati Perak merupakan salah satu daripada kawasan panas yang menghadapi masalah denggi di negara ini.
“Saya telah pun mengarahkan tindakan segera diambil dengan mewujudkan ‘task force’ yang dipengerusikan oleh Datuk Dr Mah Hang Soon dan sukacita saya maklumkan bahawa hanya dalam beberapa minggu sahaja, Kampung DAS Tambahan 2 telah dikeluarkan daripada senarai kawasan panas tersebut.
“Kita telah nampak ketegasan kerajaan itu berbaloi dan akhirnya beberapa kawasan lain juga dalam perhatian kita untuk kita keluarkan daripada kawasan panas di Malaysia,” kata Zambry lagi.
Ujarnya, ia menunjukkan bahawa masalah berkaitan denggi tersebut mampu dibendung dengan kerjasama daripada semua pihak termasuklah penguatkuasa serta masyarakat setempat.

No comments:

Post a Comment