YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 31 May 2014

Siew Keong : 'Terima Kasih Rakyat Teluk Intan'



TELUK INTAN - Ahli Parlimen Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat di Teluk Intan kerana memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat mewakili kawasan tersebut.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada kesemua pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang telah banyak membantu memberi dorongan dan nasihat terhadapnya sepanjang tempoh berkempen PRK kali ini.

"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada para pengundi di Teluk Intan yang telah memberi peluang kepada saya pada kali ini.

Saya juga mahu ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dan juga Setiausaha Agung BN yang telah banyak memberi nasihat dan bimbingan dalam perjuangan kali ini,"katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Pengiraan Undi, di sini malam tadi.

Beliau turut berbangga dengan sokongan dan kerja keras kesemua jentera parti komponen dalam memastikan BN merampas kembali kerusi parlimen di sini.

"Sebenarnya, ini merupakan satu perkara yang saya banggakan kerana dengan kerjasama semua parti komponen BN pada kali ini sehingga kita dapat melakar kejayaan yang amat baik.

"Ini adalah satu titik permulaan buat saya dan parti Gerakan. Sekali saya katakan, saya bangga dengan kerjasama antara parti komponen UMNO, MCA dan banyak lagi sehingga kita berjaya dalam kempen kali ini. Terima kasih juga buat pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah bertungkus lumus tidak mengira waktu," katanya lagi.

BN berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan selepas calon mereka, Datuk Mah Siew Keong diumumkan menang dengan majoriti sebanyak 238 undi.

Datuk Mah Siew Keong yang juga merupakan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) memperolehi 20,157 undi menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang mendapat undian sebanyak 19,919.

No comments:

Post a Comment