YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 10 May 2014

Perak Mula Tunjukkan Permainan Bola Sepak Sebenar



Selepas dikritik hebat dan selepas beberapa penambah baikan, akhirnya pasukan bola sepak Perak mempamerkan pemainan bola sepak sebenar untuk mengembalikan semula kecemerlangan The Bos Gaurus (TBG).
Ini diakui sendiri oleh Penasihat Teknikal, Karl-Heinz Weigang yang baru beberapa hari membantu Ketua Jurulatihan, Abu Bakar Fadzim (Burn) yang juga merupakan salah seorang bekas pemain yang pernah dibimbingnya.
Menurut Weigang yang pernah melatih pasukan Perak pada 1997 – 2001, dia datang ke Perak untuk membantu bekas anak buahnya, Abu Bakar
"Anda telah melihat permainan malam ini dan anda juga tahu bagaimana pasukan Perak bermain sebelum ini dan saya yakin anda perasan pemain cuba bermain bola sepak hari ini," katanya ketika ditemui selepas TBG menewaskan ATM 2 – 1 di Stadium Perak pada Sabtu.
Weigang bagaimanapun menganggap kemenangan ke atas ATM adalah usaha semua pihak yang terlibat dengan Persatuan Bola Sepan Perak, khususnya pemain yang memberi komitmen serta kesungguhan yang cukup tinggi.
"Kami hanya ada empat hari untuk berlatih dan apa yang dibuat dalam separuh masa kedua, kami hanya berlatih semalam, jaringan gol kedua kami berlatih pagi semalam," tambah beliau.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Azhar Ahmad menyifatkan kehadiran jurulatih dari Jerman itu sebagai tonik tambahan yang penuh dengan taktikal dan strategi.
"Pasukan bermain bola sepak sebenar, tahap keyakinan yang tinggi, bermula dari kawasan sendiri, sangat berbeza, dahulu banyak menghantar bola tinggi dan hilang sebelum masuk ke dalam kotak penalti lawan tetapi kali ini taktikal dan strategi berubah," ujarnya.
Menurut beliau, kemenangan 2 – 0 ke atas Terengganu di tempat lawan tempoh hari telah membakar semangat pemain dan kemenangan dengan ATM akan menjadi titik tolak untuk keluar daripada dasar Liga Super.
"Menang dengan ATM terlalu berharga untuk kita kerana kita telah berganjak daripada angka 12 kepada angka 11, inilah titik tolak untuk kita terus bergerak ke hadapan," katanya.
Beliau yakin, sekiranya pemain menunjukkan kesungguhan dan komitmen tinggi seperti bermain dengan ATM, pasukan Perak mampu mengutip mata apabila bertemu Kelantan di tempat lawan pada 17 Mei ini.
"Inilah bola sepak, kalau kena ramuan dan gayanya, ditambah dengan disiplin pemain yang diterapkan oleh Burn dan Weigang, hari ini kita telah mula melihatkan kejayaan," tambahnya.
Azhar memberitahu, pihak pengurusan PAFA, menerima apa sahaja kritikan dan teguran yang membina daripada peminat serta penyokong dan telah melakukan perubahan.
"Minta kita tukarkan pemain import, setelah kita teliti, kita telah tukar semua pemain import, peminat mahu kita orang yang boleh membantu Burn, tonik baru, kita bawa Weigang," ujarnya.
Sementara itu, Burn turut yakin dengan bantuan yang diberikan oleh bekas 'sifu' nya yang kaya dengan taktikal dan strategi.

No comments:

Post a Comment