YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Saturday 29 November 2014

Perwakilan Gesa UMNO Perkasa Usaha Raih Undi Melayu



- Dalam memastikan survival Barisan Nasional (BN), UMNO, sebagai tonggak parti perlu memperkasakan usaha meraih sokongan tuntas kaum Melayu dan Bumiputera, demikian menurut beberapa perwakilan.

Mengakui pentingnya sokongan kaum lain kepada UMNO, mereka berkata UMNO sebagai parti Melayu terbesar di negara ini seharusnya mendapatkan sokongan padu daripada kaumnya sendiri terlebih dahulu.

Seorang daripada perwakilan yang membahaskan perkara itu, Datuk Mohd Radzi Manan, berkata sokongan itu penting untuk diterjemahkan dalam pilihan raya, dan memastikan UMNO terus menerajui BN dan kekal memerintah negara dalam pilihan raya akan datang.

"UMNO mesti berbalik pada bangsa sendiri. Mari kita kenal pasti penyokong tegar Melayu Bumiputera, di desa dan di bandar. Sungguhpun mereka susah, sudah pandang sepi terhadap UMNO, mereka masih sayangkan kita," kata wakil Perak itu semasa membahaskan usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, di sini hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, dalam Ucapan Dasar Presiden semalam menegaskan perjuangan UMNO membela untung nasib orang Melayu dan Bumiputera wajib disempurnakan.

Dalam usaha mengekalkan undi masyarakat di luar bandar, yang menyumbang kepada kemenangan UMNO dalam pilihan raya umum, Mohd Radzi berkata UMNO perlu mengenal pasti masalah yang menyebabkan sokongan rakyat tidak sehebat dahulu.

Ketua UMNO Bahagian Kampar itu berkata, golongan yang masih setia menyokong UMNO dan BN, tidak boleh dibiarkan terus hidup dalam kesusahan di sebalik kekayaan dan kejayaan yang banyak dinikmati negara ini.

"Sungguhpun kita memerlukan undi semua pihak, kita mesti bertindak mengikut keutamaan. Mana satu penyokong yang perlu kita jaga, yang perlu kita hampiri dan suburkan, di situlah kita pergi," katanya.

Senada dengan Mohd Radzi, Naib Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Dr Awaludin Said menekankan kepentingan usaha memperkasakan pusat daerah mengundi (PDM) di seluruh negara untuk benar-benar mendekati masyarakat di akar umbi dan memastikan kejayaan pada pilihan raya umum akan datang.

Awaludin turut berkongsi kejayaan strategi itu apabila BN berjaya menguasai 22 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 hasil daripada langkah pemimpin parti mendekati rakyat di akar umbi melalui saluran PDM.

"Untuk kami (pucuk pimpinan) bergerak di PDM tidak perlu perkara lain, kami hanya memerlukan bantuan orang ramai.

"Sekiranya setiap anggota memberi sumbangan berupa bantuan mengikut saluran mereka di PDM, maka parti akan kuat dan seterusnya membawa kepada kejayaan pada setiap pilihan raya yang dihadapi," kata Awaludin.

Wakil Kedah dari Bahagian Pokok Sena, Dr Mohammad Nawar Ariffin, semasa perbahasannya pula mahu UMNO terus menyuntik aspek kualiti dalam barisan kepimpinan, anggota dan program-program yang dijalankan parti mahupun kerajaan.

Menggunakan analogi 'doktor mengubati pesakit', beliau berkata kualiti dan keaslian parti akan menjamin kedudukan UMNO di hati rakyat kerana kesannya dapat benar-benar dirasai.

"Kalau kita beri ubat kepada pesakit, kita mesti beri yang asli dan berkualiti, begitu juga dengan kualiti dalam kepimpinan parti yang perlu 'asli' supaya generasi akan datang lebih menghormati kita," katanya.

Ketua Cawangan Kampung Menerong itu mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan dalam meningkatkan kualiti kepimpinan iaitu meningkatkan integriti, melakukan kerja dari hati dan melalui dasar yang ditetapkan, memberi penekanan terhadap setiap perkara dengan lebih terperinci dan mengutamakan hasil yang memberi kesan menyeluruh.

No comments:

Post a Comment