YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 25 September 2014

DAP, Kenapa Emosi Sangat Ni! - Pengarang Berita Lidah Rasmi Pas



KUALA LUMPUR - Tindakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menyifatkan empat daripada mereka “pengkhianat” kerana tidak menyokong rakan exco DAP dan PKR lain yang dipecat bekas menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mendapat perhatian Pengarang Berita Harakahdaily, Nazri Abdullah.

Nazri dalam kenyataannya, turut melahirkan rasa hairan dengan sikap Guan Eng yang terlalu emosi sehingga mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya.

"Sepatutnya penggerak ‘Kajang Move’ seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Rafizi Ramli yang perlu beremosi berbanding dengan DAP terhadap apa yang berlaku sekarang ini.

“Kalau betul mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz, Guan Eng bukan sahaja patut mencontohi dari sudut tatakelola pentadbiran yang baik.

“Malah juga perlu mencontohi sikap tawaduk dan warak cucu kepada Saidina Umar Al-Khatab itu.

“Orang yang warak tidak mengungkit hal-hal yang lalu, kecuali sebagai untuk mengoreksi diri. Tapi dari nada Guan Eng itu nampaknya bukan bermaksud begitu. Lebih kepada tidak puas hati,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor PAS Sallehen Mukhyi turut membidas Guan Eng dan menyifatkan pemimpin tertinggi DAP itu tidak memahami Undang-undang Tubuh Negeri.

"Guan Eng mungkin tak faham Undang-Undang Tubuh Negeri," kata exco agama itu kepada pemberita selepas menghadiri upacara majlis angkat sumpah menteri besar Selangor baharu Mohamed Azmin Ali hari ini.

Semalam, Guan Eng mengisytiharkan DAP menyokong penuh pelantikan Azmin dan menghormati pendirian Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menarik diri daripada pencalonan.

Bagaimanapun, Guan Eng menganggap empat exco PAS itu sebagai pengkhianat kerana gagal menunjukkan kesetiaan bersama enam exco yang dipecat secara tidak adil oleh Khalid.

Empat exco terbabit adalah Iskandar Samad (Chempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang), Dr Halimah Ali (Selat Klang) serta Sallehen (Sabak).

Sallehen mempertahankan kedudukannya dan tiga rakan PAS lain dalam kerajaan negeri sebagai benteng terakhir untuk Pakatan Rakyat (PR) bertahan menjadi kerajaan di Selangor sementara menunggu proses peralihan kuasa selesai.

"Guan Eng kena semak balik ucapan dia. Ucapan politik dia sendiri ada kepentingan untuk mempertahankan kerajaan Pulau Pinang.

"Jangan label exco PAS sebagai pengkhianat," tegasnya.
___________________________________________________________________________________________________
Berikut merupakan kenyataan Penuh Nazri Abdullah.
DAP, kenapa emosi sangat ni!

NAZRI ABDULLAH | 23 September 2014.

Saya hairan, apa lagi yang DAP tidak puas hati kepada PAS dalam isu perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

Kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang melabel empat exco Selangor sebagai pengkhianat, dalam keadaan Sultan Selangor telahpun menamakan menteri besar baharu, adalah tidak wajar.

Pada hemat saya, isu empat exco yang sebelum ini kekal bersama Tan Sri Khalid itu sudah ‘tiada merit’.

Jika DAP masih mengungkitnya, bermakna DAP ada niat tertentu.

Cuma apa yang saya tidak faham adalah, kenapa DAP yang lebih beremosi dalam isu ini?

Saya kira, mereka yang lebih wajar untuk beremosi selepas perlantikan Menteri Besar Selangor yang baharu ini adalah Anwar, Azizah, Rafizi mahupun Saifuddin Nasution.

Ini kerana mereka adalah watak penggerak utama dalam Langkah Kajang, dan bukannya Guan Eng.

Tetapi mereka ini tidak pula beremosi begitu, melainkan menyatakan tidak puas hati kepada Istana di atas cara dan kaedah perlantikan MB baru.

Kecuali Guan Eng dan DAP menyimpan dendam dengan PAS. Tapi saya rasa Guan Eng bukan jenis begitu. Beliau seorang yang berjiwa besar.

Kalau betul mencontohi Khalifah Umar Abdul Aziz, Guan Eng bukan sahaja patut mencontohi dari sudut tatakelola pentadbiran yang baik.

Malah juga perlu mencontohi sikap tawaduk dan warak cucu kepada Saidina Umar Al-Khatab itu.

Orang yang warak tidak mengungkit hal-hal yang lalu, kecuali sebagai untuk mengoreksi diri. Tapi dari nada Guan Eng itu nampaknya bukan bermaksud begitu. Lebih kepada tidak puas hati.

SD juga tiada merit

Seperkara lagi yang juga tidak wajar diungkit adalah isu tandatangan SD sokong Wan Azizah yang dibuat 30 orang Adun sebelum ini termasuk oleh dua Adun PAS.

Mungkin secara dalaman, isu SD dua Adun PAS itu akan diambil tindakan mengikut prosedur parti, namun dalam kerangka besar Pakatan Rakyat, isu ini juga sudah tidak releven.

Ini kerana nilai SD itu lebur selepas Sultan memperkenan Azmin sebagai MB baru sekaligus difahami baginda menolak Wan Azizah iaitu calon tunggal yang dikemukakan PKR dan DAP.

Kecuali PKR masih mahu menggunakan SD yang tinggal 29 orang tersebut sebagai senjata untuk undi tidak percaya kepada Azmin selepas ini. Tapi saya harap ia tidak akan berlaku.

PKR pun sudah menyatakan sokongan kepada Azmin. Majlis Pimpinan Pusat PKR juga sudah menerima penarikan diri Wan Azizah biarpun dibuat hanya selepas mengetahui Azmin menjadi pilihan sultan.

Tamatkan episod

Saya kira semua pemimpin dalam Pakatan Rakyat perlu melihat dan bergerak ke hadapan. Kita sudah tertinggal jauh dek kerana isu MB ini.

Usah lah lagi mengungkit apa berlaku di belakang. Jangan biarkan kita terus tersekat di sini.

Berapa ramai lagi yang harus cedera dengan isu MB ini. Saya kesian melihat mereka-mereka yang telah menjadi mangsa dalam isu ini.

Cukuplah sampai di sini. Dengan perlantikan baru ini biarlah episod ini ditamatkan.

Jika mahu meneruskan ‘Langkah’ lagi, tunggulah dahulu, biarlah reda satu-satu.

Kepada Guan Eng dan DAP, belajarlah terima hakikat. Ada benda PAS perlu berbeza pendapat. Tapi jangan mudah menuduh mereka ‘khianat’!

*Penulis adalah Pengarang Berita Harakahdaily

No comments:

Post a Comment