YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

YB Sham Adun Yang Berjiwa Rakyat

Thursday 30 October 2014

Bajet2015 : Inspirasi Kepimpinan Nabi Yusuf a.s



Apa yang tersurat dan tersirat dalam Bajet 2015 telah diketahui umum setelah pembentangannya dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 10 Oktober lalu. Ramai pihak termasuk pakar ekonomi, penganalisis, ahli akademik dan orang awam telah memberikan pandangan masing-masing.

Pelbagai perkara telah disentuh mengenai bajet ini. Ia meliputi isu perancangan untuk tempoh 12 bulan akan datang, peruntukan untuk pembangunan, pihak-pihak yang mendapat manfaat langsung dan tidak langsung, kesan makro dan mikro ekonomi dan banyak lagi.

Sebagai contoh, banyak pihak akan mendapat manfaat daripada Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang telah dinaikkan kadarnya kepada RM950. Begitu juga dengan bonus kepada penjawat awam yang dibayar sebanyak setengah bulan gaji di samping bantuan-bantuan lain yang telah diumumkan.

Persoalannya sekarang, bagaimanakah masyarakat harus memanfaatkan bantuan yang diterima ini agar kesannya dapat dinikmati sebaik mungkin? Adakah model pengurusan ekonomi yang boleh dijadikan panduan?

Bagi penulis, sedar atau tidak urusan bajet ini telah lama dibicarakan dan dilaksana sejak zaman dahulu. Masyarakat harus mencontohi dan mempelajari perancangan kewangan yang dicetuskan oleh Nabi Yusuf a.s. Hebatnya perancangan kewangan ini sehingga ia tercatat di dalam al-Quran Surah Yusuf ayat 47 hingga 49.

Intipati daripada ayat ini adalah sangat besar dan luas yang merangkumi pelbagai aspek seperti model ekonomi, perancangan jangka panjang, kemahiran, teknologi, penyelidikan dan pembangunan, tenaga kerja yang cekap, pengeluaran yang optimum dan lain-lain lagi. Setiap perancangan yang dibuat akan melalui dua fasa, iaitu fasa ekonomi sedang berkembang dan fasa kemelesetan ekonomi. Setiap fasa mengambil tempoh masa selama tujuh tahun.

Model ekonomi yang diasaskan oleh Nabi Yusuf ini adalah satu model yang terbaik dan sesuai diaplikasi pada setiap zaman termasuklah sekarang. Walaupun model ini lebih merujuk kepada perancangan ekonomi negara, namun ia juga sesuai untuk dipraktikkan dalam pengurusan ekonomi keluarga.

Bagi penerima BR1M misalnya, perancangan jangka panjang perlu dilakukan bagi tujuan pengurusan wang yang diterima. Bantuan BR1M tidak seharusnya dijadikan sebagai sumber pendapatan tetap walaupun ia diterima setiap tahun. Ia harus dianggap sebagai bonus atau wang tambahan.

Seharusnya perlu ada perancangan bagi manfaat wang tersebut. Para penerima wajar bertanya pada diri masing-masing apa yang telah dilakukan dengan wang BR1M yang diterima pada tahun lepas? Adakah manfaat daripada wang tersebut dapat dirasai sehingga sekarang atau dapat duit pada waktu pagi, sebelah petangnya sudah habis dibelanjakan?

Pemerhatian rambang penulis mendapati kebanyakan penerima menggunakan wang tersebut untuk membeli barang-barang yang kurang penting. Misalnya, ada yang menggunakan wang tersebut untuk menukar telefon bimbit yang baru. Ada yang menggunakannya untuk membeli pakaian dan sebagainya yang bukan merupakan keperluan asas harian.

Hal ini seharusnya wajar difikirkan semula. Fikirkan tentang bagaimana wang ini perlu dibelanja agar ia boleh memberi manfaat untuk tempoh masa yang lama. Setidak-tidaknya perlu ada perancangan masa hadapan terhadap wang tersebut. Jika dahulu sebelum BR1M diberikan masyarakat masih boleh berbelanja sebagaimana biasa. Apa kata jika pada masa BR1M diberikan ini perbelanjaan dilakukan sebagaimana sebelum mendapat BR1M ini.

Jika perkara ini boleh dilakukan maka wang BR1M tersebut boleh disimpan untuk digunakan pada hal-hal kecemasan dan situasi yang mendesak. Wang yang kecil ini jika kena perancangannya bukan sahaja boleh memberi manfaat kepada diri sendiri malah boleh membantu orang lain.

Dalam kisah Nabi Yusuf misalnya, masyarakat dari negara-negara jiran memohon bantuan Mesir ketika berhadapan dengan masalah kemelesetan ekonomi pada waktu tersebut. Pada masa ekonomi meruncing sudah pasti golongan berpendapatan rendah dan orang miskin akan mendapat kesan yang paling besar. Namun, atas kebijaksanaan Nabi Yusuf A.S. golongan-golongan ini tidak berhadapan dengan masalah tersebut.

Inilah yang sewajarnya dilakukan oleh setiap ketua keluarga pada waktu sekarang. Wang bantuan dan bonus yang diterima boleh digunakan untuk manfaat masa kesusahan. Jangan terburu-buru berbelanja dan menghabiskannya dalam tempoh yang singkat. Simpan wang tersebut atau jadikannya sebagai modal permulaan perniagaan kecil-kecilan.

Nabi Yusuf juga mengajar tentang pentingnya penguasaan teknologi dan kemahiran tertentu oleh sesebuah masyarakat. Jangan hanya mengharap dan bergantung kepada orang lain selama-lamanya. Kecanggihan teknologi dan kemahiran ini merupakan perkara penting yang harus ada pada setiap masyarakat untuk sekurang-kurangnya boleh mengeluarkan makanan untuk kegunaan sendiri.

Sebagai contoh, masyarakat boleh cuba menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri dan mengelak kebergantungan kepada pihak lain. Sayuran ini mungkin boleh disimpan, dikongsi bersama jiran atau dijual bagi menambah pendapatan.

Teknologi tanaman terkini menjadikan proses penanaman sayur-sayuran kini lebih mudah dan tidak memerlukan ruang luas untuk bercucuk-tanam. Curahkan sedikit tenaga dan hasil yang besar tentu menanti kita.

Manfaat musim hujan pada masa sekarang juga boleh digunakan bagi tujuan penyimpanan air. Jika awal tahun lalu masyarakat sedih dengan kekurangan air sehingga menyebabkan catuan dilakukan, sekarang air hujan turun dengan banyak.

Mungkin satu perancangan besar boleh dirangka sama ada di peringkat keluarga mahupun negara. Tong-tong simpanan air yang dibeli pada waktu catuan air boleh digunakan untuk mengisi air hujan ini untuk manfaat pada bulan atau tahun hadapan.

Sebagai kesimpulannya penulis menyeru kepada semua ketua keluarga agar sama-sama menghayati prinsip-prinsip yang terdapat dalam model ekonomi Nabi Yusuf. Pemimpin-pemimpin negara juga wajar menjadikan model ini sebagai asas setiap kali bajet dirangka. Moga-moga setiap daripada kita mendapat manfaatnya.
*Penulis artikel Ram Al Jafri Saad yang dipetik dari Utusan Online ini merupakan Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia (UUM).

No comments:

Post a Comment